Home » Wacana » Al Fatihah : Pembuka segala cinta dan harapan

Al Fatihah : Pembuka segala cinta dan harapan

Oleh AMIZA KHUSYRI YUSOF

Kita teruskan perbincangan dengan surah yang diturunkan di Mekah (makkiyah) dan mendapat gelaran sebagai Umm al-Kitab atau Umm al-Qur’an iaitu surah al-Fatihah. Surah yang mendapat gelaran sebagai ‘ibu segala surah’ ini perlu kita baca paling kurang sebanyak 17 kali sehari semalam setiap rakaat ketika solat fardu. Malah surah al-Fatihah termasuk dalam syarat sahnya solat, dengan maksud bahawa tanpa membacanya solat kita menjadi tidak sah.

Surah al-Fatihah mempunyai pelbagai nama seperti al-Kafiyah, al-Wafiyah, Umm al-Qur’an, al-Thab’u al-Mathani,dan semua nama-nama yang dinisbahkan merupakan ciri-ciri surah al-Fatihah. Sebagai contoh nama al-Kafiyah (pelengkap) memberi isyarat bahawa surah ini tidak memerlukan surah yang lain untuk menyempurnakan maksudnya, tetapi surah yang lain menjadi lengkap kerana surah al-Fatihah. Buktinya ialah ketika kita solat, surah al-Fatihah perlu dibaca dahulu dari surah yang lain, dan tanpa membaca surah yang lain (dari surah al-Fatihah) maka solat kita tetap sah.

Surah al-Fatihah juga merupakan kunci untuk memahami al-Quran. Maksud yang terkandung dalam surah al-Fatihah berfungsi sebagai pengenalan umum pada seluruh isi kandungan al-Quran. Ini bermakna, sebelum kita ingin memahami dan menghayati al-Quran maka kita hendaklah terlebih dahulu memahami dan menghayati maksud surah al-Fatihah.

Surah ini menjadi pembukaan segala ibadah, kerana ia menjadi syarat pada sahnya solat, sedangkan solat merupakan amalan terpenting dalam hidup seorang Muslim. Solat adalah tiang agama dan menjadi pembeza antara seorang Muslim dan kafir dan ibadah ini dibuka dengan surah al-Fatihah. Surah ini begitu istimewa kerana Baginda Rasulullah SAW sendiri menegaskan dalam sabda Baginda: “Demi jiwaku dalam genggaman-Nya, Allah tidak menurunkan dalam Taurat, Injil, Zabur dan al-Quran yang sepertinya. Ia adalah al-Thab’u al-Mathani.” (Hadis Sahih riwayat Ahmad).

Kepentingan Adab

Perhatikan bagaimana surah ini dimulakan dengan puji-pujian kepada Allah SWT. Pujian itu pula diakhiri dengan “Tuhan sekalian alam” yang melambangkan keperkasaan dan kegagahan Allah SWT. Permulaan surah ini jika dihayati sudah cukup menjadi cahaya untuk kita menghadirkan hati apabila melafazkan pujian itu kepada yang selayaknya dan tiada lagi yang lebih layak untuk dipuji dan dipuja melainkan yang memiliki seluruh alam ini.

Apabila timbul persoalan untuk apa kita memuji maka dengan mudah permulaan surah telah memberi jawapannya iaitu kerana Dia Pemilik seluruh alam ini termasuk diri kita yang memuji. Justeru, apakah Dia memerlukan pujian kita itu? Jawapannya tentu tidak, kerana pujian kita tadi langsung tidak memberi kesan apa-apa terhadap-Nya, bahkan kembali semula manfaatnya untuk kita.

Jangan disangka bahawa pujian kita itu adalah suatu bentuk ‘pemberian’ kita kepada Tuhan, kerana hakikatnya sedari kita diciptakan sampailah ke daerah abadi, kita hanya menjadi penerima nikmat-nikmat-Nya tanpa henti. Dalam ayat yang lain Allah memberi isyarat bahawa nikmat-nikmat-Nya kepada manusia tidak akan mampu dihitung.

Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al-Nahl: 18).

Permulaan surah yang kita baca minima 17 kali sehari ini menjadi penanda aras pertama terhadap kesyukuran kita kepada Pencipta dan diikuti dengan amalan-amalan tambahan yang lain. Allah memberi ancaman sekiranya kita tidak bersyukur dengan menjadi manusia yang mendustakan segala nikmat Allah.

Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (nikmat-nikmat pemberian Kami)!” (al-Mursalat: 28).

Permulaan syukur itu semudah lafaz ‘Alhamdulillah’, dan secara tidak langsung surah ini telah menghindarkan kita dari percubaan mendustakan ayat-ayat Allah. Malah permulaan ayat ini mengajar kita untuk bersyukur seawal peringkat kanak-kanak kerana perintah menunaikan solat secara tegas bermula dari umur kita sepuluh tahun. Justeru, setelah lafaz syukur bermula, maka wajiblah kita berusaha pula untuk menghadirkan hati dengan penuh tawaduk dan rasa mengharap.

Surah ini diakhiri dengan doa, maka lafaz syukur yang menatijahkan tawaduk dan rasa mengharap yang kita hadirkan sangat signifikan dengan pengakhiran surah ini. Malah surah ini mengajar kita tentang adab berdoa. Adab seorang hamba untuk meminta kepada Tuhannya perlulah bermula dengan kata-kata puji dan puja sebagai pengakuan bahawa kita hanya hamba-Nya yang lemah dan berdosa, kemudian barulah kita berdoa dengan semahu-mahunya. Lihatlah bagaimana ayat-ayat surah ini saling berkait dan berhubung antara satu sama lain, dan inilah bukti kemukjizatan al-Quran. Indah, bukan?

Luasnya kasih sayang Allah

Surah al-Fatihah dimulakan dengan Bismillah dan dua nama Allah yang mulia (asma’ Allah al-Husna) al-Rahman al-Rahim, kemudian diikuti dengan ayat pujian iaitu ‘segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam’. Perhatikan susunan ayat surah ini dan fokus pada ayat ketiga yang mengulangi nama Allah yang telah dibaca pada ayat yang pertama.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.” (al-Fatihah: 1-3).

Pengulangan ini sebagai penegasan bahawa rahmat dan kasih sayang Allah meliputi segala sesuatu. Kalimah ‘Tuhan sekalian alam’ diapit dengan dua nama Allah yang menggambarkan kasih sayang-Nya terhadap makhluk ciptaan-Nya. Ini bermaksud bahawa keperkasaan dan kegagahan Allah meliputi kasih sayang-Nya terhadap kita dan segala urusan dan kewujudan di atas muka bumi ini berjalan dengan rahmat dan kasih sayang-Nya semata-mata. Kenyataan ini seterusnya ditegaskan melalui ayat yang lain.

…dan rahmat-Ku meliputi segala sesuatu.”(al-A’raf : 156).

Tiada suatu pun yang terlepas dari rahmat atau kasih sayang Allah sebagai Tuhan sekalian alam ini. Sebagaimana tiada suatu pun yang akan terlepas dari ‘pandangan’ Allah SWT meski sebesar biji sawi yang tertanam di perut bumi.

Allah mengiringi nama-Nya dengan dua sifat-Nya yang mulia iaitu al-Rahman dan al-Rahim sebagai suatu metode dakwah untuk memperkenalkan diri-Nya dengan keluasan kasih sayang, kelembutan, perdampingan, pergantungan seterusnya mendekatkan golongan sasar atau mad’u kepada Islam dan manhajnya. Jika Allah memperkenalkan dirinya dengan kegarangan, kegerunan, kekuatan, keperkasaan maka orang akan memuji dan memuja Allah hanya kerana takut murka-Nya bukan kerana kasih dan cinta.

Justeru, adalah penting untuk kita memulakan segala pekerjaan dan perbuatan dengan nama-Nya. Apabila nama Allah dinisbahkan dengan sifat pemurah dan penyayang maka secara tidak langsung ia menjadi doa pengharapan dan penguat jiwa supaya apa yang kita laksanakan itu akan beroleh ‘Rahmat dan Rahim’ daripada Tuhan, seterusnya cita yang tercapai akan memperoleh berkat dan manfaat untuk kita di dunia dan akhirat.

Sesungguhnya begitu banyak teladan dan ibrah yang boleh digali dalam surah al-Fatihah ini. Namun, apabila kita menelusuri surah-surah yang lain kelak, kita bakal menemukan keterikatan surah-surah yang lain dengan surah al-Fatihah. Benarlah seperti kata buya HAMKA:  “Dahulu mukjizat untuk dilihat oleh mata, tetapi sekarang (al-Quran) adalah mukjizat untuk dilihat oleh akal.” – ABABIL

 

 

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *