Home » Langit Terbuka » Azizi cipta aplikasi Hafaz al-Quran

Azizi cipta aplikasi Hafaz al-Quran

Azizi Khalid, mencipta aplikasi pertama di dunia bagi memudahkan umat Islam menghafaz al-Quran.

KEYAKINAN kepada mukjizat al-Quran mendorong Azizi Khalid, 36, mencipta aplikasi pertama di dunia bagi memudahkan umat Islam menghafaz al-Quran.

Lulusan jurusan undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu yang kini menetap di Perth, Australia sejak 2011, mahu lebih ramai umat Islam di seluruh dunia membaca dan memahami al-Quran. Azizi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TwentyEight Labs merupakan imam dan pengasas madrasah di University of West Australia (UWA).

Madrasah tersebut kini mampu menempatkan seramai 40 anak Muslim setempat yang berusia 5 hingga 17 tahun yang memberi ruang untuk golongan kanak-kanak, remaja dan dewasa mempelajari agama khususnya al-Quran.Melalui pengajian di madrasah tersebut, Azizi mengajar golongan remaja manakala isterinya, Safiyyah Abdul Aziz, 34, seorang pakar psikologi turut bersamanya mengajar kanak-kanak.

Idea mewujudkan aplikasi menghafaz al-Quran itu bermula pada tahun 2012, apabila beliau bertemu Syeikh Muhammad Abdul Latiff Al-Farfour, rektor dari sebuah universiti di Damsyik, Syria yang datang melawat bekas muridnya di negara ini.

Kebetulan murid yang ditemui syeikh itu sahabat baik Azizi. Semasa bertemu, Azizi mengambil peluang untuk belajar al-Quran daripada Syeikh Abdul Latiff.

“Ayat pertama yang ditanya Syeikh itu adakah saya hafal al-Quran? Saya terus jawab tidak. Syeikh itu tanya lagi, boleh baca al-Quran? Saya jawab boleh!” cerita Azizi.

Apabila mendengar jawapan Azizi, Syeikh itu bertanya lagi: “Kenapa kamu tidak menghafaz al-Quran?”

Syeikh itu menyatakan sebelum belajar apa-apa dengannya, Azizi disyaratkan menghafaz al-Quran, sehari satu muka surat sebagai amalan harian.

Akhirnya dipendekkan cerita, Azizi terus menghafal mengikut arahan Syeikh itu. Masalah yang dihadapi Azizi ialah apabila menghafal surah yang baru, surah yang lama mudah lupa.

Bagi mengatasi masalah itu, pada tahun 2015, Azizi berjaya mencipta ‘aplikasi mobile’ yang dinamakan ‘Hifz’ bagi memudahkannya menghafaz al-Quran mengikut kemampuannya.

Memahami

Aplikasi Hifz boleh dibuka di laman web www.twentyeight.xyz. Sambutannya amat menggalakkan dan sebanyak 1,000 pelanggan telah memuat turun aplikasi itu melalui telefon bimbit dalam tempoh dua hari pertama. Aplikasi itu kini memiliki 5,000 pengguna.

Selepas kejayaan aplikasi Hifz, Azizi membangunkan sebuah aplikasi baru yang dinamakan sebagai ‘Baqarah’ sempena Surah al-Baqarah. Sama seperti Hifz, aplikai Baqarah ditawar secara eksklusif untuk pengguna iPhone dan android sahaja.

Melalui Baqarah, Azizi ingin memudahkan pengguna memahami perkataan Arab yang digunakan dalam al-Quran satu ayat sehari. Azizi berpendapat kebanyakan orang boleh membaca ayat suci al-Quran, tetapi tidak semua boleh memahami maksudnya.

“Oleh itu saya membina aplikasi Baqarah bagi memudahkan pengguna untuk membaca seterusnya memahami makna ayat al-Quran daripada surah al-Baqarah.

“Melalui aplikasi tersebut pengguna boleh memahami bahasa Arab melalui terjemahan dalam bahasa Inggeris dengan lebih mudah. Ini kerana surah al-Baqarah mempunyai 70 peratus daripada penguasaan ayat al-Quran,” katanya.

Menurutnya, program ini menggunakan konsep iaitu pengguna hanya perlu menghafal sekitar satu ayat sehari dari surah al-Baqarah dan dalam masa 300 hari, pengguna akan memahami sekitar 70 peratus daripada perkataan diguna dalam al-Quran.

“Kelebihan menggunakan aplikasi ini ialah selepas mengajar pengguna dengan perkataan bahasa Arab, ia juga akan menawarkan kuiz ringkas untuk menguji pemahaman pengguna,” kata Azizi yang ditemui di majlis pelancaran Program Malaysia #QuranHour 2018.

Aplikasi ini ditawarkan secara berbayar dan boleh didapati daripada AppStore pada harga RM19.90. Pada tahun 2017, Azizi bersama penduduk setempat dan pelajar turut mengikuti aktiviti membaca, bertadabbur dan bertazakkur al-Quran di padang Winthrop Hall, University of West Australia (UWA) sempena #QuranHour.

Projek #QuranHour itu julung kali diadakan dalam komuniti Perth anjuran TwentyEight Labs, Radio Melayu Perth dan Malaysian Postgraduate Students Association Western Australia tahun lalu. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *