Home » Muamalah » Bank Negara akan lancar kad skor kewangan Islam

Bank Negara akan lancar kad skor kewangan Islam

Mohd Zabidi Md Nor

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan melancarkan kad skor inisiatif berasaskan nilai (VBI) pada Oktober depan semasa Forum Kewangan Islam Global 2018 (GIFF 2018).

Pengarah Perbankan Islamik dan Takaful BNM, Mohd Zabidi Md Nor berkata kad skor berkenaan sedang dimuktamadkan dengan bantuan beberapa bank yang mengambil bahagian.

“VBI disifatkan sebagai pencetus perubahan dalam kewangan Islam kerana ia memberikan nilai yang sama kepada pencipataan nilai ekonomi dan dalam masa yang sama menegakkan nilai etika,” katanya pada forum Standard Chartered Saadiq (Saadiq) bertajuk “VBI di teras perbankan mampan” katanya di sini, hari ini.

“Kami dalam proses membangunkan kad skor berkenaan dengan bantuan Komuniti Pengamal (COP) VBI. Ia penting untuk kami mendapatkan maklumat daripada pengamal berkenaan supaya kad skor itu kekal praktikal dan boleh direalisasikan,” katanya.

Sehingga kini, terdapat sembilan institusi perbankan Islamik dalam VBI COP iaitu Bank Islam, Bank Muamalat, CIMB Islamic, Agrobank, HSBC Amanah, Maybank Islamic, AmBank Islamic, Alliance Islamic dan Saadiq.

“Semua bank berkenaan sudah berusaha bagi mendapat skor yang baik dalam kad skor VBI yang akan diumumkan pada GIFF2018, Oktober depan,” kata Zabidi.

Beliau menjelaskan bahawa kad skor berkenaan mengandungi elemen kuantitatif dan kualitatif yang mengukur segmen berbeza.

“Bagi elemen kuantitatif, ia menyerlahkan elemen kewangan yang memberi fokus kepada tiga unsur utama iaitu sosial, persekitaran dan kewangan,” kata Zabidi sambil menambah bahawa maklumat lanjut akan didedahkan dalam pengumuman rasmi Oktober depan.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Ekuiti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nor Azam Yahya berkata KWSP menunjukkan contoh yang baik berhubung VBI dan ESG.

“Seperti yang diketahui, KWSP adalah pemegang saham majoriti dalam kebanyakan syarikat senaraian awam (PLC) di negara ini dan sejak dulu kami telah mengamalkan ketelusan dalam pelaporan kewangan bersepadu di syarikat-syarikat ini,” katanya.

“Bagaimanapun, VBI adalah melangkaui laporan kewangan dan banyak kerja yang perlu dijalankan dengan PLC dan syarikat lain yang bersaiz lebih kecil.

“KWSP memimpin dengan contoh dan kami berharap kesannya akan berlaku daripadapemain yang lebih besar kepada pemain yang lebih kecil,” katanya.

Penerapan VBI ke dalam kewangan Islam tempatan mula diumumkan oleh bank pusat pada akhir tahun lalu dan ia secara perlahan-lahan telah meningkatkan daya tarikan di kalangan pemain industri. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *