Home » Langit Terbuka » Pembunuh kucing direman 4 hari

Pembunuh kucing direman 4 hari

Ketua Polis Daerah Gombak berkata, perintah reman terhadap dua suspek dikeluarkan Mahkamah Majistret Gombak hari ini bagi membantu kes yang disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana menganiaya dan membunuh haiwan

KUALA LUMPUR – DUA lelaki terbabit dalam kes bunuh kucing bunting dalam mesin pengering kedai dobi layan diri di Taman Gombak Ria, Gombak, direman selama empat hari bermula hari ini hingga Isnin depan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, perintah reman terhadap dua suspek dikeluarkan Mahkamah Majistret Gombak hari ini bagi membantu kes yang disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana menganiaya dan membunuh haiwan.

Katanya, kedua-dua suspek berkenaan ditahan sekitar Gombak oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak awal pagi hari ini.

“Kedua-duanya ditahan awal pagi tadi di sekitar Gombak hasil risikan dilakukan polis selain maklumat orang ramai.

“Malah, kami sudah mendapat perintah daripada Mahkamah Majistret Gombak untuk menahan reman suspek selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan terhadap kes itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, katanya seorang lagi suspek masih bebas dan polis berusaha memburu suspek yang turut berada di lokasi ketika kejadian kejam itu dilakukan.

Semalam, polis mendedahkan gambar tiga suspek berkenaan yang dikehendaki kerana melakukan penganiayaan dan membunuh haiwan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga suspek diburu selepas mereka membunuh seekor kucing bunting terbiar dengan ‘memanggangnya’ dalam mesin pengering pakaian di kedai dobi layan diri di Taman Gombak Ria, 12.30 tengah malam, Selasa lalu.

Bangkai kucing berkenaan ditemui seorang pelanggan pada 10.30 pagi ketika ingin menggunakan mesin pengering berkenaan sebelum sebuah pertubuhan membela haiwan bertindak melaporkan kejadian kepada polis.

Perlakuan kejam serta tidak bertamadun mereka dirakam CCTV premis berkenaan serta tular di media sosial mendapat kecaman masyarakat di negara ini yang berharap agar hukuman berat dikenakan kepada pelaku termasuk penjara dan bukan sekadar hanya dikenakan denda.

Ini kerana rata-rata berpendapat bahawa perlakuan kumpulan lelaki itu tidak bertamadun, kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Terdahulu, Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor menggesa semua pihak membantu polis dalam usaha memburu dua lelaki yang baru-baru ini dirakam kamera litar tertutup memasukkan seekor kucing ke dalam mesin pengering kain di sebuah premis dobi layan diri di Gombak. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *