Home » Citra Yadim » Berinfak melalui Tabung Dana Dakwah

Berinfak melalui Tabung Dana Dakwah

Ustaz Mohd Zaidi Ramli (tengah) dan Redhauddin Kamaruzaman ketika muncul dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, RTM1 bagi membicarakan mengenai Tabung Dana Dakwah.

PUTRAJAYA – Bagi memudahkan orang ramai untuk turut menyumbang dalam aktiviti dakwah di negara ini, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah menubuhkan Tabung Dana Dakwah.

Timbalan Yang Dipertua YADIM, Ustaz Mohd Zaidi Ramli berkata, YADIM mempelawa orang ramai yang mahu membantu dalam aktiviti dakwah untuk sama-sama menyumbang kepada tabung berkenaan dengan pelbagai cara termasuk secara atas talian.

“YADIM percaya banyak pihak yang mahu memberikan sumbangan mereka dalam aktiviti dakwah islamiah namun tidak tahu bagaimana caranya.

“Oleh yang demikian, YADIM telah menginisiatifkan penubuhan Tabung Dana Dakwah yang secara langsung menggalakkan umat Islam di negara ini berinfak dan terlibat secara tidak langsung dalam program-program dakwah yang dijalankan,’’ katanya ketika muncul dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di stesen RTM1, baru-baru ini.

Beliau berkata, sumbangan yang dikumpulkan daripada dana berkenaan akan menumpukan program-program dakwah dalam pelbagai bentuk termasuk hal-hal kebajikan, sosial dan pendidikan.

Jelasnya, program dakwah YADIM tidak terhad kepada aktivit berbentuk ceramah, wacana dan sebagainya semata-mata, tetapi juga program yang berbentuk kebajikan, penyampaian sumbangan, pendidikan dan sebagainya.

“Program-program dakwah YADIM turut memfokuskan bantuan kepada penduduk-penduduk di kawasan pedalaman yang menghadapi pelbagai kesukaran bukan sahaja dari segi mendapatkan ilmu agama tetapi juga bantuan dari segi ekonomi.

“Justeru, penubuhan dana ini amat penting kerana ia turut memberi faedah kepada golongan berkenaan dari segi sosial dan kebajikan,’’ katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pengurusan dan Kewangan YADIM, Redhauddin Kamaruzaman berkata, sememangnya asas program YADIM adalah dakwah tetapi ia dilaksanakan menggunakan pelbagai pendekatan.

Katanya, YADIM melalui pasukan Sukarelawan Al-Falah sememangnya aktif melaksanakan kerja-kerja kemanusiaan terutama dalam membantu mangsa-mangsa bencana serta melaksanakan program berbentuk khidmat komuniti.

“Pasukan ini sentiasa komited membantu ketika bencana berlaku seperti yang ditunjukkan dalam beberapa kejadian seperti tanah runtuh dan banjir,’’ katanya.

Beliau berkata, penyumbang boleh memberikan sumbangan mereka kepada Tabung Dana Dakwah melalui pelbagai cara termasuk penjualan kupon ketika program-program YADIM dilaksanakan atau melalui pembayaran atas talian dengan melayari laman web YADIM (www.yadim.com.my).

Selain itu, YADIM juga akan melaksanakan pelbagai inisiatif lain termasuk menerusi program sumbangan telaga air di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *