Home » Citra Yadim » Burukkan kerajaan dalam media sosial, ciri Khawarij

Burukkan kerajaan dalam media sosial, ciri Khawarij

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Wan Zahidi Wan Teh ketika menyampaikan kertas kerjanya.

KUALA LUMPUR: Tindakan menjatuhkan kerajaan secara tidak sah seperti melalui demonstrasi, memburuk-burukkan pemerintah dan melemparkan kecaman di laman sosial adalah percikan kecil kepada ciri pemikiran khawarij.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Wan Zahidi Wan Teh, berkata perbuatan sebegitu tidak boleh dibenarkan kerana percikan pada peringkat awal itu boleh menjadi ancaman, selain bertentangan dengan kaedah Ahli Sunah Waljamaah.

“Tindakan khuruj atau penderhakaan terhadap pemerintah ialah fahaman bidaah pertama yang lahir dalam umat Islam.

“Jika diteliti, ia hanya bermula ekoran perbezaan pendapat dalam menguruskan negara dan hal ehwal umat.

“Namun puak Khawarij menjadikan perbezaan ini sebagai satu akidah yang kemudiannya menelurkan rentetan fahaman dan tindakan yang menyimpang jauh dari fahaman Islam wasati yang menjadi pegangan Ahli Sunah Waljamaah,” katanya pada Simposium Siasah Syar’iyyah dalam Konteks Peradaban Politik Masa Kini di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam pembentangan kertas kerja bertajuk Bahaya Pemikiran Khawarij dalam Konteks Kenegaraan Malaysia pada simposium anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yayasan Dakwah (YADIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), hari ini.

Wan Zahidi berkata, rakyat wajib taat kepada kerajaan yang dipilih secara sah kerana keputusan yang dibuat adalah mandat daripada rakyat untuk kemaslahatan semua.

“Kita dilarang menentang keputusan kerajaan kecuali peraturan yang menjurus kepada maksiat atau yang jelas salah. Penentangan hendaklah dilakukan menggunakan saluran yang betul.

“Rakyat boleh memberi pandangan secara beradab tetapi bukan memaksa kerajaan mengikut pandangan mereka,” katanya.

Terdahulu daripada itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Tan Sri Othman Mustapha dalam ucapan perasmian berkata, kemunculan kumpulan yang cuba merombak asas yang terbina kukuh hanya kerana dendam, berupaya mengancam kesejahteraan ummah.

Katanya, politik perebutan kuasa menjerumuskan umat ke kancah polemik persengketaan antara faktor melingkari perpecahan umat hingga lahirnya pelbagai kelompok dalam Islam.

“Sama ada sedar atau tidak, dunia politik hari ini semakin tercabut nilai moral dan etika hingga menyeret umat kepada fenomena permusuhan sesama sendiri.

“Islam tidak pernah melarang umatnya berpolitik, malah politik sebahagian tuntutan agama.

“Bagaimanapun politik dalam kerangka Islam tidak sama dengan pendekatan politik Barat yang menghalalkan apa juga cara demi matlamat pangkat dan kuasa,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *