Home » Muamalah » Cari rezeki dari sumber halal

Cari rezeki dari sumber halal

Macam–macam manusia ada di dunia ini. Ada yang baik. Ada yang jahat. Ada yang kaya dan ada yang miskin. Ada yang telah diberikan rezeki lebih sehingga dilantik memegang pelbagai jawatan tinggi dalam organisasi, syarikat mahupun agensi. Malangnya pula sanggup menyeleweng meskipun gaji bulanannya mencecah puluhan ribu ringgit. Puncanya perbelanjaan melebihi pendapatan.

Pendek kata, inilah gambaran ringkas jenis-jenis manusia yang mungkin boleh ditemukan dalam kehidupan kita seharian. Kalam terpanggil untuk membincangkan isu ini bagi menggambarkan betapa rakusnya manusia di zaman mutakhir mencari harta dunia tanpa mengira halal atau haram.

Dalam satu hadis iaitu daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang suatu zaman di mana seseorang itu tidak mempedulikan dari mana dia mendapatkan harta, apakah daripada sumber halal atau haram.”

Berkaitan dengan isu yang dibincangkan ini, wujud sekelompok manusia yang menampilkan diri sebagai kuat agama sama ada lelaki mahupun wanita tetapi sanggup menipu orang kerana duit.

Sememangnya kisah ini berlaku dalam masyarakat kita dan Kalam sendiri pernah mendengar luahan seorang sahabat berhubung nasib abangnya yang menjadi mang­sa penipuan umrah murah dua tahun lalu. Orang yang ­menipu abangnya itu adalah seorang ustaz.

Abangnya itu bukan orang senang. Namun disebabkan terpengaruh dengan kata-kata manis ustaz berkenaan, dia dan isterinya bulat-bulat menyerahkan wang sebanyak RM7,000 (RM3,500 seorang) kepada ustaz itu bagi menguruskan umrah mereka.

Setelah menunggu beberapa lama, tiba-tiba ustaz tersebut hilang tanpa berita. Telefon langsung tidak dijawab. Macam-macam ikhtiar untuk menjejaki ustaz ini tetapi gagal sehinggalah satu hari, abang sahabat Kalam ini terlihat ustaz tersebut berceramah di sebuah kampung lain.

Siapa yang tidak marah tetapi dia tidak mengambil sebarang tindakan. Kata sahabat Kalam, abangnya itu jenis orang yang sabar. Bagi Kalam, ustaz sebegini adalah jenis manusia yang zalim. Ingat, Allah itu Maha Adil dan Allah tidak akan mempersia-siakan doa orang yang dizalimi.

Namun dalam kesedihan ada juga kegembiraan apabila atas kehendak Allah jua, abang kepada sahabat Kalam ini serta isterinya telah dijemput menunaikan umrah baru-baru ini. Boleh dikatakan semua ahli keluarga yang menghantarnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menitis air mata kerana terlalu gembira setelah hajat mereka suami isteri untuk ke tanah suci dimakbulkan oleh Allah.

Satu kisah lain pula melibatkan seorang nenek yang menjadi mangsa penipuan seorang kenalannya. Kenalannya ini adalah seorang wanita. Hendak dijadikan cerita, satu hari kenalannya melawat nenek tersebut di rumah. Tujuannya untuk memujuk nenek berkenaan melabur dalam satu skim melalui pelaburan barang kemas.

Kenalan nenek ini menzahirkan dirinya sebagai seorang yang warak. Dengan penampilan sebegitu sudah tentu nenek berkenaan percaya dan mengambil keputusan menyerahkan segala barang kemasnya yang dianggarkan bernilai kira-kira RM15,000.

Ringkas cerita, pada dua bulan pertama, nenek itu memperoleh dividen pelaburan seperti dijanjikan tetapi apabila masuk bulan ketiga janji tinggal janji. Satu sen pun tak masuk. Masuk bulan keempat dan seterusnya, satu sen pun tak masuk. Nenek ini berkali-kali menghubungi kenalannya itu tetapi langsung tidak dijawab. Senang cerita nenek tersebut telah ditipu.

Berdasarkan dua kisah ini, Kalam sekadar mengingatkan diri ini serta pembaca sekalian agar kita sentiasa berhati-hati. Jangan mudah terpengaruh dengan kata-kata orang walaupun pada zahirnya mereka dilihat cukup warak. Perlu buat siasatan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Hakikatnya Rasulullah SAW dalam hal ini pernah mengingatkan kita bahawa akan keluar di akhir zaman ini orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka berpakaian dengan pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud) untuk mendapat simpati orang dan perkataan mereka lebih manis daripada gula. Padahal, hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang buruk). Renung-renungkanlah – UtusanOnline

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *