Home » Resensi » CIA: Islam Agama Perdamaian

CIA: Islam Agama Perdamaian

Oleh  NURUL AIEN

Barat mengatakan Islam agama ganas. Umatnya pengganas. Kitabnya mengajar keganasan. Serangan 9/11, Taliban, Al-Qaeda, Islamic State (IS), Abu Sayaf, Bako Haram, Houthi dan pelbagai lagi keganasan yang dilakukan oleh penganut agama Islam adalah bukti Islam itu agama ganas.

Melihat kepada situasi sekarang ini, maka ramai yang berasa yakin bahawa benarlah, sekarang ini dekad pertembungan dua tamadun – Islam dan Barat – seperti yang digembar-gemburkan oleh cendekiawan Universiti Harvard, Samuel P. Huntington dalam bukunya “The Clash of Civilizations.”

Begitulah berkesannya propaganda Barat. Ia berjaya melakarkan persepsi bahawa Islam itu agama yang menghancurkan, justeru ia perlu dihancurkan walau dengan apa cara sekali pun. Umatnya pula perlu dihenyak-henyak kerana mereka manusia yang berfikiran gasar.

Oleh kerana berkesannya sikap prejudis itulah maka baru-baru ini saya membeli sebuah buku berjudul “A World Without Islam.” Saya tertarik dengan tajuknya kerana ia membangkitkan dua andaian.

Andaian pertama, buku ini mungkin akan menghentam Islam habis-habisan dan penulisnya mahukan sebuah dunia baru tanpa Islam. Andaian kedua, apa agaknya keadaan dunia kalau Islam tidak wujud sama sekali. Aman? Atau huru-hara? Andaian ini lebih bersifat imaginasi.

Saya menjadi tambah tertarik kerana penulisnya, Graham E. Fuller, adalah bekas Naib Pengerusi Majlis Perisikan Kebangsaan, Agensi Perisikan Amerika Syarikat (CIA). Kalau sudah namanya CIA, tentulah kerjanya menyebarkan propaganda. Prejudis. Provokasi.

Lalu saya sambar buku ini. Saya mahu lihat, apakah bentuk provokasi, kecaman, tuduhan dan prejudis yang hendak dilakukannya lagi. Mudah-mudahan apabila saya tahu tuduhan-tuduhan jahat itu, saya dapat memikirkan pula hujah-hujah penafiannya.

Helaian pertama dibaca. Beralih ke halaman kedua. Halaman ketiga pula diselak, keempat, kelima, keenam… dan seterusnya. Tanpa dipaksa, saya menjadi leka dan tertarik untuk terus membacanya, hinggalah selesai pada halaman 364! Aduhai, amat jarang saya dapat menghabiskan buku yang sebegini akademik dengan minat yang mendalam dan dalam waktu yang singkat.

Ini kerana, apa yang saya temui di dalam buku ini amat mengejutkan. Saya tidak menyangka, seorang kulit putih bukan beragama Islam dan pernah menduduki jawatan yang tinggi di dalam CIA, akan melihat Islam dengan adil.

Untuk pertama kalinya, saya melihat ada penulis Barat yang menggunakan perkataan Prophet Muhammad sebagai ganti diri Rasulullah, dengan nada penghormatan. Sedangkan biasanya mereka hanya menggunakan perkataan Mohamed sahaja, penuh sarkastik.

Buku ini membuka tirai perbincangannya dari sejak zaman sebelum Kristian, permulaan Islam hinggalah ke zaman ini. Amat menarik apabila Graham memberikan latar belakang sejarah betapa pertarungan merebut wilayah dan kekuasaan sebenarnya sentiasa berlaku sejak zaman berzaman (Pagan), hinggalah apabila Kristian sudah tersebar.

Tidak kira di Eropah, Afrika, Asia dan semua belahan dunia, setiap raja berusaha meluaskan jajahannya. Perang, keganasan, kekejaman serta pembunuhan adalah perkara normal. Namun ketika menegakkan agama dan melebarkan kekuasaan politik, Islam ternyata berbeza dengan penganut-penganut pagan, Kristian, Zoroaster dan sebagainya.

Sebagai contoh, Graham mencatatkan peristiwa tentera Arab Islam menakluk Damascus pada 634 Masihi. Mereka terlebih dahulu mengadakan rundingan dan mahukan tentera Kristian Byzantin menyerah diri secara aman supaya kematian dapat dielakkan.

Tentera Byzantin akhirnya setuju selepas panglima Khalid al-Walid berjanji akan memastikan keselamatan nyawa setiap tentera dan penyokong kerajaan Kristian Byzantin serta rumah ibadat mereka tidak dirosakkan.

Jerusalem ditakluk tentera Islam pada 637 Masihi. Juga dilakukan secara aman dan berdisiplin. Khalifah Umar memasuki kota itu dengan menunggang unta putih sambil diiringi pemimpin-pemimpin Kristian Ortodoks. Mereka menandatangani perjanjian bahawa penganut Kristian, Yahudi dan Pagan tidak akan diapa-apakan dan mereka diberikan kebebasan untuk kekal dalam agama masing-masing.

Malah, Khalifah Umar turut sama membantu membersihkan kuil Yahudi yang telah dijadikan tempat membuang sampah dan kemudian bersolat di situ. Beliau kemudian mengarahkan agar sebuah masjid dibina di satu sudut kota.

Pelebaran kuasa Islam diteruskan lagi meliputi kawasan sekitar Mediterranean, Utara Afrika, Anatolia hinggalah ke sempadan Pakistan. Para pembenci Islam mengatakan Islam ditegakkan dengan mata pedang. Sedangkan hakikat sebenarnya ialah pelebaran kuasa itu berlaku dengan mudah kerana reputasi Islam yang begitu tinggi dan rakyat wilayah-wilayah tersebut tidak menyenangi kerajaan serta penjajah masing-masing.

Islam ditohmah memaksa rakyat jajahan barunya menukar agama. Tetapi Graham melalui bukti-buktinya menunjukkan, Islam tidak pernah memaksa rakyat jajahannya memeluk Islam. Tidak pernah ada istilah nyawa atau Islam.

Proses Islamisasi itu bukan saja lambat, malah dibuat dengan bentuk tawaran. Mereka boleh memilih sama ada mahu memeluk Islam secara sukarela atau membayar jizyah (cukai), dan terus kekal dengan agama masing-masing. Itu saja. Dengan membayar jizyah, mereka akan dilindungi sebagai warganegara.

Graham malah mencatatkan, atas dasar kebebasan beragama itu, penyelidikan yang dilakukan oleh Richard Bulliet dari Universiti Colombia mendapati, kadar pemelukan agama Islam di kalangan masyarakat bukan Arab pada abad pertama Islam adalah sangat-sangat perlahan.

Pada zaman Empayar Bani Umaiyah, hanya sekitar sepuluh peratus sahaja rakyat jajahannya yang bukan beragama Islam, memeluk Islam. Begitu juga apabila Empayar Uthmaniah melebarkan kuasanya hingga ke Balkan. Ini berlaku kerana Islam tidak dikembangkan secara paksaan.

Benar, Kesatuan Soviet (USSR – kini Rusia) mengamalkan komunis dan Kristian Ortodok.  Pun begitu Graham mencatatkan bagaimana pelebaran kuasa Islam di wilayah Kaukasus oleh kerajaan Turki, Mongol dan Tatar telah mengislamkan berjuta-juta rakyatnya. Bagaimanapun, masyarakat Islam ini merupakan rakyat yang setia.

Sewaktu Perang Dunia Pertama dan Kedua, USSR mempunyai lebih sejuta tentera yang beragama Islam, sebahagian besarnya berketurunan campuran Turki-Tatar-Mongol dan tinggal di wilayah yang kini menjadi negara Tajikistan, Uzbekistan, Kazakhstan, Turkmenistan, Azerbaijan dan Kyrgyzstan. Tentera ini tidak pernah berpaling tadah, sekalipun dihantar untuk berperang menentang kerajaan Uthmaniyah.

Masyarakat dunia sering menyalahkan penduduk Islam atas ketegangan dan pertumpahan darah yang berlaku di Kashmir dan sempadan India-Pakistan. Prejudis ini berlaku kerana mereka tidak tahu sejarahnya.

Menurut Graham, sebelum kolonialisasi, masyarakat Islam dan Hindu hidup aman damai di India. Baik ketika kerajaan Islam Mughal mahupun kerajaan Hindu yang memerintah, mereka hidup harmoni dan saling menghormati. Namun segalanya mula jadi berantakan apabila Inggeris datang menjajah. Idea pemecahan wilayah pada 1947 bagi mewujudkan Pakistan dan Bangladesh adalah punca segala masalah.

Pemisahan ini sebenarnya mendapat penentangan masyarakat Islam, Hindu dan Sikh yang terpaksa meninggalkan kampung halaman untuk berpindah ke negara baru. Kerajaan India pula memerintah Kashmir secara kuku besi dan sering melakukan penindasan serta kekejaman terhadap penduduknya. Ini menimbulkan kemarahan masyarakat Islam di wilayah berkenaan, juga di Pakistan.

Gerakan pemisah muncul di Kashmir. Pertempuran demi pertempuran berlaku, yang akhirnya memakan korban berjuta-juta nyawa, sejak dahulu sampailah sekarang. Pertempuran ini tentu sekali tidak berlaku jika Inggeris tidak melaksanakan dasar pemisahan tadi.

Begitu jugalah di China. Etnik Uygur yang bersusur galur dari bangsa Turki, mempunyai budaya yang berbeza dengan etnik Han yang berjumlah lebih 1.2 bilion daripada rakyat China. Apabila etnik Han berpindah ke Xinjiang, ia menyebabkan kehidupan masyarakat Uygur yang berjumlah lebih 10 juta orang dan mempunyai banyak persamaan budaya dengan penduduk Uzbekistan, mula terancam.

Ini kerana masyarakat Han mendapat pelbagai kelebihan dan perlindungan daripada kerajaan China. Dalam masa yang sama, kerajaan negara berkenaan mengambil kesempatan di atas gerakan membasmi keganasan yang dilakukan oleh barat untuk menekan etnik Uygur serta para pejuang pemisahnya.

Amatlah menarik apabila di dalam bukunya Graham menyimpulkan, Islam bukan punca masalah dunia. Pertempuran dan pertelagahan geo-politik yang berlaku sejak dulu sebenarnya disebabkan oleh faktor perbezaan etnik dan budaya, bukannya kerana Islam.

Malah, kata Graham, tanpa Islam pun dunia sejak dulu memang tidak pernah sunyi daripada peperangan dan keganasan. Baik pada zaman pagan hinggalah wujudnya Kristian, peperangan sentiasa berlaku, berpunca daripada perebutan kuasa, wilayah dan ekonomi. Apabila lahirnya Kristian, berlaku pula pertelagahan antara Kristian Katolik dan Ortodoks mengakibatkan banyak nyawa terkorban sia-sia.

Pada zaman Kolonialisme dan Imperialisme, entah berapa ratus juta nyawa melayang demi mempertahankan negara masing-masing. Di Amerika Latin sahaja, berjuta-juta orang penduduk asalnya terbunuh, baik dalam peperangan, serangan penyakit, menentang penjajahan atau dipaksa supaya memeluk Kristian.

Baik kapitalisme, komunisme mahupun fasisme, semua ideologi ini kata Graham mencetuskan peperangan. Perang Dunia Pertama dan Kedua bukan kerana Islam, tetapi pertempuran ideologi-ideologi tadi. Pasca-Perang Dunia, pertempuran ini mencetuskan pelbagai peperangan lagi misalnya Perang Vietnam, Korea dan Kemboja, yang memakan jutaan korban. Islam tidak terlibat dalam peperangan ini.

Perseteruan dan rasa curiga ini terus berlanjutan sampai sekarang kerana Barat melaksanakan dasar luar neo-kolonialisme demi meluaskan pengaruh mereka di seluruh dunia, khususnya di negara-negara Islam yang terkenal kaya dengan hasil bumi. Semua ini mencetuskan kemarahan umat Islam, lantas mencetuskan tindak balas fizikal.

Dan bagi saya, yang paling menarik dalam tulisan Graham itu ialah, di atas segala persengketaan Islam – Barat, ia sebenarnya berpunca daripada pihak Kristian sendiri, kerana merekalah yang memulakan Perang Salib (1095-1272) dan melakukan kezaliman yang sangat teruk kepada umat Islam.

Perang Salib merupakan pencerobohan pertama Kristian terhadap tempat suci masyarakat Islam dan mereka melakukannya dengan amat kejam sekali. Dan ia berlanjutan dengan penubuhan negara Israel oleh Amerika, Britain dan sekutunya pada 1948. Inilah yang menjadi dendam serta kemarahan umat Islam, sejak dulu sampailah sekarang.

Tetapi malangnya, Islam yang dituduh pengganas!

Membaca buku A World Without Islam ini membuka fikiran kita tentang wajah Barat yang sebenarnya. Tulisan Graham sukar dipertikaikan kerana beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas berkaitan Islam dan Asia Barat.

Graham pernah berkhidmat dan tinggal di negara-negara Islam selama hampir dua dekad, malah pernah menjadi Ketua Stesen CIA di Kabul, Afghanistan. Selepas meninggalkan CIA pada 1988, Graham menyertai RAND Corporation sebagai Pakar Sains Politik, dan kini menjadi Profesor Adjung di Simon Fraser Universiti. Beliau telah menulis pelbagai buku berkaitan Islam dan Asia Barat, termasuk The Future of Political Islam.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *