Home » Langit Terbuka » Contohi Etika, Nilai Kerja Orang Jepun – PM

Contohi Etika, Nilai Kerja Orang Jepun – PM

Perdana Menteri Malayis, Tun Dr Mahathir berkata, kejayaan Jepun itu didorong oleh sistem kehidupan dan nilai kerja mereka, dengan sikap ambil mudah dan malas pasti menjanjikan kegagalan

TOKYO – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkannya pada 1982 bukan semata-mata untuk belajar dan bekerja di Jepun, tetapi juga untuk mencontohi etika kerja serta nilai kehidupan masyarakat negara itu.

Bercakap kepada lebih 250 rakyat Malaysia ketika makan malam di sini, malam tadi, Perdana Menteri berkata, walaupun banyak nilai dari Barat yang semakin terhakis, nilai positif masih diamalkan di Timur.

“Ketika saya datang ke Jepun pada 1961, negara ini dalam keadaan kucar-kacir selepas perang dan saya melihat rakyat Jepun bekerja keras untuk membina semula negara mereka dan akhirnya menjadi negara dengan ekonomi kedua terbesar dunia,” katanya.

Dr Mahathir berkata, kejayaan Jepun itu didorong oleh sistem kehidupan dan nilai kerja mereka, dengan sikap ambil mudah dan malas pasti menjanjikan kegagalan.

“Orang Jepun memiliki rasa malu yang kuat. Dahulu, jika mereka rasa malu dengan apa yang dibuat, mereka akan melakukan hara-kiri (bunuh diri).

“Perasaan untuk tidak mahu menanggung malu atas apa yang kita lakukan adalah satu kekuatan untuk kita berusaha melakukan yang terbaik.

“Di Malaysia, kita tidak ada nilai ini. Kita tidak rasa malu jika menghasilkan produk yang tidak berkualiti. Kita perlu ada rasa malu seperti ini di Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri berkata, jika rakyat Malaysia di sini dapat membawa pulang etika kerja ini, Malaysia akan menjadi seperti Jepun dalam tempoh yang singkat.

Seramai 5,500 rakyat Malaysia di Jepun berdaftar dengan kedutaan Malaysia, dengan kira-kira 2,900 adalah pelajar universiti dan bakinya adalah golongan profesional dan usahawan.

Terdahulu, Dr Mahathir memaklumkan kepada hadirin mengenai perubahan yang sedang dilakukan kerajaan baharu di Malaysia selepas menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bulan lalu.

“Kali ini tidak mudah. Kita perlu benar-benar membina satu kerajaan baharu dan kita tidak pernah menyaksikan perubahan kerajaan dalam tempoh 60 tahun selepas kemerdekaan.

“Rakyat mengharapkan kami bukan untuk mengambil alih kerajaan semata-mata, tapi juga mengubah beberapa perkara, antaranya nilai yang kita ada, undang-undang, memansuhkan sekatan tertentu pada rakyat dan mengurangkan birokrasi,” katanya.

Dr Mahathir berkata, satu isu utama yang perlu diselesaikan adalah hutang Kerajaan Persekutuan yang mencecah RM1 trilion, dan kerajaan tidak akan mengulangi tindakan pimpinan terdahulu yang menjual tanah untuk mendapatkan wang bagi melangsaikan hutang.

“Kami akan cuba menyelesaikan masalah kewangan ini tanpa ‘menyakitkan’ negara.

“Hutang RM1 trilion ini akan menyusahkan kita dan kita tidak memiliki duit yang cukup untuk memerintah seperti sebelum ini. Ada orang yang akan terjejas, tapi ada harga yang perlu dibayar semua orang,” katanya, sambil menegaskan masalah itu lebih besar daripada yang dijangka dan perlu lebih masa untuk diselesaikan.

Namun, katanya, kerajaan disokong oleh rakyat Malaysia yang memutuskan untuk membantu menyumbang wang kepada kerajaan menerusi Tabung Harapan Malaysia (THM).

“Walaupun sumbangan yang dikumpul tidak besar jika dibandingkan dengan hutang RM1 trilion, usaha ini amat dihargai. Saya sangat berterima kasih kepada mereka,” katanya.

Dr Mahathir yang ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan pegawai dari Kementerian Luar, tiba ke Jepun sempena lawatan kerja selama tiga hari di negara itu. – BERITA HARIAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *