Home » Langit Terbuka » Dunia kutuk Israel

Dunia kutuk Israel

PENUNJUK perasaan Palestin bertempiaran menyelamatkan diri daripada tembakan tentera Israel di sempadan Gaza-Israel, kelmarin. REUTERS

Bayi, kanak-kanak mangsa kekejaman Yahudi

BAITULMUQADDIS 15 Mei – Masyarakat dunia mengecam Israeal apabila tentera yahudinya telah menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 59 penduduk Palestin termasuk seorang bayi berusia lapan tahun di sempadan Gaza ketika bantahan terhadap pembukaan rasmi kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini hari ini.

Bayi bernama Leila al-Ghandour terbunuh selepas terhidu gas pemedih mata selain lapan lagi kanak-kanak di bawah 16 tahun ketika 58 rakyat Palestin terkorban akibat tembakan termasuk dilakukan penembak tepat tentera Israel.

Dalam perkembangan itu, lebih 2,400 penduduk Palestin cedera pada hari paling berdarah dalam konflik Palestin-Israel sejak berlakunya Perang Gaza pada 2014.

Hari ini, rakyat Palestin dijangka mengadakan bantahan baharu sempena Hari Nakba atau Hari Malapetaka sebagai mengingati lebih 700,000 rakyat Palestin melarikan diri atau dihalau dalam pereang pada 1948 untuk membentuk Israel.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza sambil mengulangi penegasannya AS bukan lagi orang tengah dalam rundingan damai Asia Barat.

Pergerakan Hamas pula berikrar meneruskan tunjuk perasaan di sempadan Gaza-Israel.

Sementara itu, para diplomat berkata, AS menghalang Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengeluar­kan kenya­taan supaya diadakan satu siasatan bebas terhadap keganasan Israel.

Di sebalik tindakan AS itu, Jerman dan Britain menyatakan sokongan mereka supaya siasatan bebas dilakukan.

Dalam perkembangan sama, Turki membantah tindakan Israel dengan bertindak memanggil pulang dutanya di AS dan Tel Aviv. Tindakan sama juga dilakukan Afrika Selatan.

Ankara yang juga merupakan pengerusi secara bergilir Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada masa sama menggesa satu mesyua­rat tergempar diadakan pada Jumaat ini susulan situasi terbaharu di Gaza.

Liga Arab pula meminta supaya pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) segera menyiasat jenayah yang dilakukan Israel terhadap Palestin.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan tindakan tentera Israel sebagai pembunuhan beramai-ramai dan menegaskan Tel Aviv sebagai sebuah negara pengganas.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron juga mengecam keganasan terbaharu Israel dalam perbualan telefon dengan Mahmoud dan Raja Jordan, Raja Abdullah II selain mengkritik langkah Amerika memindahkan kedutaannya ke Baitulmuqaddis.

Perdana Menteri Britain, Theresa May juga menggesa keadaan di Gaza kembali aman dan terka­wal bagi mengelak tindakan yang menjejaskan usaha damai.

Arab Saudi mengecam tindakan tentera Israel menggunakan senjata api terhadap orang awam Palestin tidak bersenjata.

Seperti biasa, AS seperti mana Israel menyalahkan pergerakan Hamas yang mentadbir Genting Gaza sebagai punca kepada kematian penduduk Palestin ber­kenaan.– AFP/REUTERS

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *