Home » Langit Terbuka » Duta janji bawa suara Malaysia

Duta janji bawa suara Malaysia

WAKIL NGO dan orang ramai menunjukkan solidariti terhadap nasib umat Islam Palestin di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN

KUALA LUMPUR 18 Mei – Sebanyak 32 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan ratusan orang awam berkumpul di hadapan kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini hari ini untuk menyampaikan memorandum bantahan mereka terhadap sokongan Presiden AS, Donald Trump terhadap negara haram Israel dengan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

Presiden Majlis Perun­dingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, memorandum ber­kenaan telah selamat di­serahkan kepada wakil kedutaan AS di Malaysia.

Katanya, wakil berkenaan berjanji untuk memastikan dokumen yang mengandungi suara rakyat Malaysia itu sampai kepada pengetahuan Trump.

“Dengan sokongan kuat dari AS, Israel semakin mengganas. Pemindahan kedutaan dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis ini seolah-olah memberi restu kekejaman terhadap rakyat Palestin.

“Kita mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan berkenaan kerana Trump masih berdegil walaupun cadangannya itu telah ditolak oleh 128 buah negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan dokumen berkenaan.

Yang turut hadir, Penasihat Umum PAN, Ahmad Awang serta beberapa wakil NGO seperti Persatuan Ulama Malaysia, Humantarian Care Malaysia (MyCare) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan).

Perhimpunan atas nama solidariti terhadap nasib umat Islam Palestin itu dimulakan dengan perarakan dengan berjalan kaki dari bangunan Tabung Haji di sini sebaik sahaja selesai menunaikan solat Jumaat

Tindakan nekad AS yang berbuat demikian pada 14 Mei lalu iaitu beberapa hari sebelum ketibaan Ramadan telah mendatangkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Mohd. Azmi berkata, AS juga perlu bertanggungjawab penuh terhadap apa sahaja tindakan kejam yang dilakukan rejim Zionis selepas ini kerana Trump tidak boleh berlepas tangan terhadap sokongan terbukanya itu.

“AS dan Trump bersepakat membiarkan kekejaman terus dilakukan terhadap rakyat Pa­lestin. Kita tidak akan berhenti menuntut supaya AS mesti melakukan sesuatu untuk menghentikan keganasan yang sudah berlarutan hampir 70 tahun,” katanya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *