Home » Persuasif » Galakkan anak-anak ke masjid, surau

Galakkan anak-anak ke masjid, surau

Ali yang berumur 5 tahun apabila melangkah masuk ke masjid terus sahaja mendirikan solat sunat tahiyatul masjid. Selesai memberi salam, dibacanya al-Quran hingga bilal iqamat. Solat sunat rawatib juga tidak pernah ketinggalan.

Kadang-kadang anak bertuah itu beriktikaf di masjid bagi mengisi malam dengan qiyamullail. Ini adalah luar biasa, mungkinkah dia jelmaan malaikat? Lumrahnya kanak-kanak pada usia itu pasti ‘terlompat-lompat’ tidak kira tempat termasuk di masjid. Kualiti aktifnya semakin meningkat apabila dikelilingi rakan sebaya.

Ini adalah realiti, proses membesar ada peringkat. Seorang cendekiawan, bukan sejurus dilahirkan ke dunia terus mampu membuahkan pemikiran hebat, dia wajib mengenali A, B dan C terlebih dahulu.

Sementara itu, di saf belakang. Pakcik A membeliakkan biji matanya yang merah menyala, sambil mengacah untuk ‘menangankan’ sekumpulan kanak-kanak belum mumayyiz (tidak tahu membezakan antara buruk dan baik) yang sekadar berlari-lari tanpa membunyikan bunyi bising ala konsert rock.

Sambil mengherdik, dia membebel mengatakan boleh masuk neraka jika buat bising dalam masjid! Rasa­nya kanak-kanak berkenaan ‘taubat’ enggan lagi menjejakkan kaki ke rumah Allah itu kerana takutkan pakcik itu.

Tolonglah, jangan matikan semangat kanak-kanak untuk mencintai dan mendampingi rumah Allah, didik serta bimbing mereka sebaik mungkin. Modal insan yang selalu mengingati dan merasai diperhatikan Allah pasti satu hari nanti bakal menjadi manusia berguna di dunia dan akhirat. Tidak mahukah orang dewasa ‘mumayyiz’ untuk memiliki kanak-kanak terdidik seperti itu?

Sedikit maklumat untuk manfaat bersama. Rasulullah SAW melantik Zaid bin Thabit yang hanya berusia 11 tahun sebagai ketua penulis wahyu semasa baginda tiba di Madinah. Usamah bin Zaid hanya berusia 18 tahun semasa dipilih baginda mengetuai angkatan tentera.

Sultan Muhammad al-Fateh hanya berusia 21 tahun semasa membebaskan Kota Konstantinopel. Menurut riwayat, baginda tidak pernah meninggalkan solat fardu, solat sunat rawatib dan tahajud sejak baligh lagi. ­Kesemua manusia ini bukannya celik-celik mata terus jadi warak dan hebat tetapi telah melalui proses lazim.

Kembali kepada cerita asal, kanak-kanak di masjid tadi mungkin salah, namun tindakan lelaki itu juga tidak semestinya betul. Maka, orang dewasa yang mumayyiz kenalah buat sesuatu untuk memastikan masjid atau surau menjadi mesra kanak-kanak dan pada masa sama tidak mengganggu jemaah lain.

Rasanya semua jemaah dan ahli jawatankuasa masjid arif dengan apa perlu dilakukan, jadi tidak perlulah penulis menghuraikannya. Namun janganlah pula pilih jalan singkat iaitu ‘haramkan’ terus kanak-kanak daripada memijak kaki ke masjid bagi menyelesaikan masalah!

Misalannya, jalan utama di Kuala Lumpur mengalami kesesakan teruk pada waktu puncak. Untuk mengatasinya, pihak berkuasa mengharamkan penggunaan jalan raya pada waktu berkenaan. Memang tidak akan kedengaran lagi masalah kesesakan tetapi adakah masalah sebenar telah selesai?

Tersirat dalam masjid ilmu yang amat berguna untuk kanak-kanak iaitu ‘persamaan’ yang jarang diperoleh di tempat lain. Tanpa disedari kanak-kanak mampu melihat orang tua duduk bersebelahan kanak-kanak, orang kaya bersentuh bahu dengan si miskin, menteri atau raja di samping rakyat.

Realiti hidup di luar masjid, bukan semua orang boleh letak kereta di petak khas VVIP, makan bersama orang kenamaan atau menteri dalam satu meja (kecuali semasa musim pilihan raya). Tetapi semasa dalam saf solat masjid, semuanya sama dan tiada beza di hadapan Allah. Pernahkah semasa memasuki saf solat, jemaah terlebih dahulu bertanyakan status jemaah di sebelah?

Kena ingat, semua ini diperhatikan oleh kanak-kanak. Penulis ingin berkongsi pertanyaan seorang kanak-kanak yang pada Disember ini genap usianya lapan tahun. Katanya: “Selalu dengar ustaz mengajar di masjid dan daripada lagu nasyid, malaikat ada 10 (mungkin berdasarkan nama dan tugasan), ada dua malaikat kerjanya catat amalan baik dan jahat manusia. Manusia ni ramai…jadi macam mana hanya dua malaikat nak catat semua?.” Penulis agak terkedu. Pembaca tahu jawapan? – https://www.tv14.my

Artikel Berkaitan

Jelajah Seminar Kenegaraan Madani

YADIM Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 17 April memulakan penganjuran Jelajah Seminar Kenegaraan Madani untuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *