Home » Langit Terbuka » Gelaran ‘terrorist’ tidak halang usaha Aman Palestin

Gelaran ‘terrorist’ tidak halang usaha Aman Palestin

Tindakan Kementerian Pertahanan Israel menyenaraikan Aman Palestin sebagai pertubuhan pengganas menjadi pembakar semangat pertubuhan bukan kerajaan tersebut yang sehingga kini telah menyalurkan bantuan lebih RM80 juta ke Palestin dan juga Syria

KOTA BHARU – Tindakan Kementerian Pertahanan Israel menyenaraikan Aman Palestin sebagai salah sebuah pertubuhan pengganas tidak membantutkan perjuangannya dalam membantu rakyat Palestin.

Pengarah Media Aman Palestin, Anas Abdul Wahad berkata, ‘pengiktirafan’ itu sebaliknya menjadi pembakar semangat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut yang sehingga kini telah berjaya menyalurkan bantuan lebih RM80 juta ke Palestin dan juga Syria.

“Kita terima emel daripada Kementerian Pertahanan Israel pada 2013 yang mendakwa dan ‘mengiktiraf’ Aman Palestin sebagai pertubuhan ‘terrorist’ atau pengganas.

“Kita percaya tindakan itu dibuat kerana usaha kita selama ini menghulurkan bantuan daripada rakyat Malaysia kepada Palestin sebenarnya telah menggerunkan Israel dan memberi kesan kepada mereka,” katanya dalam majlis penutup Kayuhan Amal Berbasikal Al-Aqsa 2.0 anjuran Masjid Sultan Muhammad II (Masjid Telipot) dan Aman Palestin, di sini hari ini.

Seramai 1,055 peserta dari Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Perak dan Johor menyertai acara kayuhan sejauh 33 kilometer tersebut.

Terdahulu, upacara pelepasan peserta disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Tengku Mohammed Faziharudean Tengku Feissal.

Sementara itu, Tengku Mohammed Faziharudean berkata, program kayuhan amal yang bertujuan mengutip dana untuk rakyat Palestin itu telah berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM80,000.

“Antara objektif program juga adalah adalah usaha kita imarahkan masjid, kita nak orang tahu bahawa masjid ini bukan tempat untuk menunaikan solat sahaja tetapi juga kerja-kerja kemasyarakatan,” katanya. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *