Home » Persuasif » Hijrah ilmu, dari Fardu Kifayah kepada Fardu Ain

Hijrah ilmu, dari Fardu Kifayah kepada Fardu Ain

Oleh BURHANUDDIN JALAL

Kita baru sahaja menyambut tahun baru hijrah 1438. Memperingati peristiwa hijrah tidak sekadar menyorot kembali sirah hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah dan peristiwa tersebut diperingati sebagai peristiwa semata-mata, tetapi ia perlu memberikan kesan kepada kita umat Islam sekali gus memberikan ilmu dan pengertian untuk kita fikirkan bersama.

Dalam konteks umat Islam pada hari ini, konsep ‘hijrah’ perlu diteruskan sebagaimana sebuah hadis Nabi yang bermaksud: “Hijrah belum berakhir sehingga berakhirnya taubat, dan taubat tidak akan berakhir sehingga matahari terbit dari sebelah barat.” (HR Ahmad).

Secara konsepnya, hijrah bermaksud perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain atau berpindah dari perbuatan buruk ke arah kebaikan atau dari kekalahan menuju kemenangan. Ketika Rasulullah SAW bersama para sahabatnya berhijrah ke Madinah, dakwah Islamiah terus berkembang pesat. Pengetahuan para sahabat tentang Islam juga bertambah seiring dengan turunnya wahyu Allah berkaitan hukum-hakam Islam khususnya berkaitan dengan syariah.

Dalam konteks ilmu pengetahuan, hijrah bermaksud tidak sedar penambahan atau peningkatan ilmu tetapi dengan ilmu yang diperoleh itu menjadikan bertambah tawaduk serta takut (khasyyah) kepada Allah. Ilmu yang salah, tidak tepat atau menyeleweng perlu dijauhkan atau dihijrahkan dari dalam diri sebab ia boleh merosakkan diri. Ini seperti yang telah diperingatkan oleh Nabi Muhammad SAW melalui hadis Baginda yang bermaksud: “Barang siapa yang bertambah ilmunya tetapi tidak bertambah hidayahnya, maka dia tidak bertambah dekat kepada Allah melainkan bertambah jauh.” (HR Ibnu Hibban).

Sebelum kita melakukan hijrah terhadap ilmu, ada baiknya kita melakukan pemeriksaan diri atau muhasabah terhadap tahap ilmu serta sejauh mana dekatnya diri kita dengan ilmu yang ada pada diri. Dalam erti kata lain, sudahkah kita menempatkan tahap ilmu yang kita ada itu benar-benar bermanfaat terhadap diri atau masyarakat sekeliling?

 

Fardu Ain dan Fardu Kifayah

Dalam Islam, kita mengenal dua hierarki ilmu iaitu ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah. Ilmu fardu ain ialah ilmu yang wajib bagi setiap individu Muslim mengetahuinya. Ini mencakupi ilmu berkaitan dengan iktikad atau keyakinan kepada Allah SWT iaitu ilmu yang dapat menyelamatkan keraguan atau syak iman kepada Allah. Tujuan menguasai ilmu ini ialah untuk menghilangkan kekeliruan iman serta bagi membezakan antara yang haq (benar) dengan yang batil (salah).

Perkara yang termasuk dalam ilmu-ilmu fardu ain ini ialah berkenaan dengan pengetahuan atau kesedaran terhadap sesuatu perbuatan yang wajib untuk dilakukan. Sebagai contohnya, orang yang berniaga wajib mengetahui hukum-hakam dalam fikah perniagaan atau fiqh tijarah dalam Islam. Bagi orang yang melakukan kerja-kerja ibadah haji, wajib bagi dirinya untuk mengetahui dan memahami hal-hal yang berkaitan dengan ibadah haji. Selain dari aspek ilmu fardu ain ini, setiap individu juga perlu mengetahui ilmu-ilmu yang berkaitan dengan sifat-sifat yang terpuji, sifat-sifat yang tercela dan sebagainya.

Manakala ilmu fardu kifayah ialah ilmu yang wajib dipelajari oleh sebahagian masyarakat Islam dan bukan seluruhnya. Dalam aspek fardu kifayah, kesatuan masyarakat Islam secara bersama memikul tanggungjawab kefarduan untuk mempelajarinya atau menguasai ilmu tersebut seperti ilmu perubatan, ilmu pertanian, ilmu kejuruteraan dan sebagainya. Ini yang telah dijelaskan oleh Imam Ghazali dalam bukunya Ihya Ulumuddin.

Kita mengakui pada masa kini secara majoritinya umat Islam masih keliru terhadap kedudukan ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah ini. Secara umumnya umat Islam lebih memberikan keutamaan terhadap ilmu fardu kifayah sedangkan ilmu fardu ain dikesampingkan atau diremehkan.

Menurut Profesor Syed Naquib al-Attas, kekeliruan terhadap ilmu berlaku dalam kalangan para pelajar kerana mendapat pengajaran atau penjelasan yang tidak tepat mengenai konsep fardu ain dan fardu kifayah. Kesalahan tersebut terletak pada strategi pembelajaran iaitu menekankan pembelajaran fardu kifayah secara total, tetapi dalam masa sama melepaskan pembelajaran ilmu fardu ain. Ini bermaksud ilmu yang berhubung dengan matematik, biologi, kimia, geografi, sejarah dan lain-lainnya misalnya diajar secara serius dan bersungguh dengan sukatan yang jelas dan tahap yang tertentu serta perakuan yang tertentu. Perkara ini mempunyai kebaikan kepada umat Islam tetapi tidak bernilai positif jika ilmu agama tidak dipelajari dengan mendalam dan menyeluruh. Keadaan yang berlaku ialah kesibukan dan kesungguhan mendalami atau menekuni ilmu matematik, biologi, kimia dan geografi tetapi masih gagal untuk memahami solat, zakat, haji, puasa dan ilmu berkaitan fardu ain yang lain.

Kita dapat melihat bahawa terdapatnya segolongan ibu bapa yang sangat menekankan anak-anaknya untuk belajar bahasa-bahasa lain, muzik, tarian atau sebagainya dengan perbelanjaan yang tinggi tetapi lupa anaknya masih belum menguasai al-Quran, ibadah sembahyang yang merangkumi kaedah serta bacaannya serta tidak tahu apa itu rukun iman dan rukun Islam.

Sekiranya umat Islam masih berpandangan sedemikian, tiba waktunya untuk kita bersama melakukan hijrah terhadap ilmu. Ilmu fardu ain wajar mendapat perhatian yang serius dari semua pihak. Kedua-dua ilmu, iaitu ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah perlu berjalan secara sinergi. Islam tidak meminggirkan salah satu daripadanya dan dalam tradisi Islam juga tidak pernah membuang atau meminggirkan ilmu-ilmu yang bersifat umum atau ilmu fardu kifayah itu.

Secara jelasnya ilmu fardu ain sebagai falsafah dasar dari ilmu fardu kifayah, dan ilmu fardu kifayah di sokong oleh ilmu fardu ain. Masalah akhlak serta pemikiran menyebabkan terdapat kekeliruan dalam menempatkan kedudukan ilmu fardu ain.

Secara umumnya juga umat Islam telah berjaya menekuni ilmu-ilmu fardu kifayah dan sudah tiba masanya untuk menambah nisbah atau bahagian ilmu dalam diri umat Islam tentang ilmu-ilmu agama seperti syariah, fiqh, akhlak, akidah dan lain-lainnya. Daya intelektual umat perlu terus dimanfaatkan dan ditambah dengan ilmu-ilmu yang terbaik. Sangat membanggakan jika ilmuwan sosiologi umpamanya memahami agama, beriman dan beradab sekali gus dapat membantu membangunkan masyarakat dan negara ke arah kesejahteraan.

Leftenan Kolonel Dr. Burhanuddin bin Jalal ialah Profesor Madya di Jabatan Kenegaraan, Kepemimpinan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Kuala Lumpur.

MAJALAH DAKWAH

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *