Home » Langit Terbuka » ‘Himpunan solat hajat, doa selamat buat Malaysia’

‘Himpunan solat hajat, doa selamat buat Malaysia’

Mohd Zahid Mahmod Al-Hafiz

KIRA-KIRA 70,000 pelajar dan tenaga pengajar pusat tahfiz seluruh negara dijangka menyertai program solat hajat dan doa selamat secara serentak di madrasah masing-masing, malam ini.

Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) Mohd Zahid Mahmod Al-Hafiz berkata, program berkenaan dijadualkan berlangsung selepas solat sunat terawih.

Menurutnya, pihaknya menjangka lebih 1,200 pusat tahfiz seluruh negara menyertai program itu bagi mendoakan kesejahteraan kepimpinan negara yang baharu pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), baru-baru ini.

Katanya, program itu juga akan turut disertai lapan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Muafakat Malaysia dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

“Solat hajat dan doa selamat akan diadakan sejurus solat sunat terawih oleh semua pelajar dan tenaga pengajar pusat tahfiz di madrasah masing-masing.

“Ini adalah penganjuran kali pertama untuk mendoakan kesejahteraan pemimpin Islam di Malaysia. Kita mahu Allah SWT memberi kekuatan kepada pemimpin dan meletakkan kepentingan Islam sebagai keutamaan dalam pemerintahan baharu ini.

“Semoga objektif program ini dapat menyatukan umat Islam dan dalam masa sama pemimpin tidak mengenepikan agama Islam dalam setiap keputusan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Mohd Zahid berkata, pelajar tahfiz yang terselamat dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah tahun lalu kini menjalani kehidupan seperti biasa dan pihaknya menerima permohonan tinggi daripada ibu bapa untuk memasukkan anak mereka ke pusat tahfiz terbabit selepas tragedi berkenaan.

“Selepas kebakaran itu, kami mengalami waktu sukar bagi tempoh beberapa bulan, namun kami berjaya bangkit semula malah menerima banyak permintaan daripada ibu bapa untuk memasukkan anak mereka ke pusat tahfiz ini.

“Kita berjaya bangkit semula kerana keprihatinan kerajaan ketika itu memberi banyak bantuan daripada segi kewangan dan lain-lain bagi kemudahan pelajar serta pengajar.

“Saya berharap di bawah kerajaan baharu ini bantuan sedia ada dilanjutkan dan ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya. – HARIAN METRO

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *