Home » Persuasif » Ibrahim, perang dan murtad

Ibrahim, perang dan murtad

Oleh  NURUL AIEN

Namanya Ibrahim Ali. Tapi ops!… bukan Ibrahim Ali Malaysia, ya. Ini Ibrahim Ali dari Aleppo, Syria. Diceritakan bahawa tidak lama selepas berlaku kekacauan politik dan pencerobohan kumpulan militan Islamic State (IS) di negara berkenaan, Ibrahim Ali meninggalkan rumahnya di Aleppo.

Ibrahim melarikan diri ke Lebanon, negara jiran Syria. Isteri dan tujuh orang anaknya ditinggalkan kerana Ibrahim mahu mencari wang dan memulakan penghidupan baru di sana terlebih dahulu. Dapat duit, dia akan menghantarnya pulang.

Di Lebanon, Ibrahim bekerja membersihkan jalanraya. Tempat tinggal disediakan oleh majikannya dengan kemudahan yang paling asas. Semua wang gaji, Ibrahim amanahkan kepada majikannya untuk disimpan kerana dia tidak mempunyai akaun bank.

Kita hanya mampu merancang. Selepas tiga tahun bekerja, Ibrahim bercadang untuk pulang ke Aleppo bertemu keluarganya. Namun tanpa diduga,impian itu terbantut apabila majikan Ibrahim enggan memulangkan wang gajinya yang berjumah AS10,000.

Sudah jatuh ditimpa tangga, oleh kerana tarafnya sebagai pelarian dan peraturan serta undang-undang yang semakin ketat, Ibrahim dikategorikan pula sebagai pendatang tanpa izin.

Ibrahim terperangkap. Wang simpanan sudah`hilang’ dalam sekelip mata. Dia hidup merempat. Hendak pulang ke Aleppo, bandar itu sedang dilanda perang. Nasib keluarganya sendiri pun tidak diketahui. Kini apa yang patut dilakukannya?

Suatu hari Ibrahim diberitahu oleh seorang kenalan dari Iraq bahawa ada sebuah gereja yang memberi bantuan makanan kepada pelarian. Ibrahim bersetuju untuk memohon bantuan dan gereja berkenaan menawarkannya tempat tinggal, makan dua kali sehari serta gaji. Tetapi dengan syarat, dia perlu menghadiri kelas pengajian Bible yang diadakan sekali seminggu.

Oppsss! Jangan… jangan anda berprasangka! Ini bukan tulisan hendak menghentam mana-mana agama, menanam kebencian atau menuduh agama tertentu menjalankan usaha untuk memurtadkan orang Islam.Tidak! Bukan itu tujuan artikel ini ditulis. Baca dulu…

Apabila masuk ke gereja berkenaan, Ibrahim dapati ramai di antara yang menghadiri kelas Bible itu adalah penganut Islam. Kebanyakannya berasal dari Syria dan Iraq. Mereka juga mengalami nasib yang hampir serupa dengannya. Diringkaskan cerita, pada April 2016 Ibrahim, 57, menukar agamanya, bersama lebih 10 orang lagi pelarian beragama Islam… (baca kisahnya di sini https://www.telegraph.co.uk/news/2017/01/30/muslim-refugees-converting-christianity-find-safety/)

Di Lebanon terdapat kira-kira 1.5 juta orang pelarian yang berasal dari Syria, iaitu 25 peratus daripada keseluruhan pelarian yang mendapat perlindungan di negara berkenaan.

Kehidupan sebagai pelarian bukanlah indah. Tekanan kemiskinan yang dihadapi dan kehendak untuk kelangsungan hidup membuatkan segelintir daripada mereka sanggup melakukan apa saja. Yang penting perut perlu diisi, ada tempat tidur dan punya wang untuk kehidupan seharian. Dalam keadaan inilah segelintir daripada mereka tewas dan keluar daripada Islam.

Tetapi murtad di kalangan pelarian ini bukan sahaja kerana perut. Sebahagian yang lain melakukannya bagi membolehkan mereka mudah diterima di negara-negara bukan Islam yang maju dan tinggi taraf hidupnya seperti Amerika Syarikat (AS), Kanada serta Eropah.

Untuk itu mereka sanggup meninggalkan Islam supaya permohonan mendapatkan perlindungan di negara-negara tersebut mendapat sokongan daripada pihak-pihak yang terlibat.

Ada dakwaan mengatakan kerajaan Lebanon tidak begitu mesra pelarian. Ia mengenakan pelbagai peraturan dan undang-undang menyebabkan pelarian-pelarian ini menghadapi pelbagai kesulitan. Maka, untuk keluar daripada kehidupan sebagai pelarian yang serba sulit dan membina hidup baharu di negara yang aman, damai serta maju, pelarian-pelarian ini mengambil keputusan menukar agama.

Tetapi adakah semua yang murtad itu benar-benar telah menukar keimanan?

Tidak juga. Memang diakui ramai yang menukar agama bukan dengan hati yang ikhlas. Mereka tidak kisah tentang agama, ia hanya di mulut saja, bukan di hati. Yang penting segera terbangkan mereka ke negara-negara maju.

Pun begitu ada juga kritikan yang mengatakan ada pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan menekan pelarian-pelarian yang sedang terdesak ini supaya menukar agama, barulah mereka dibantu, sama ada untuk terus hidup di negara berkenaan atau diterbangkan ke negara lain.

Dari situ terbitlah istilah “Kristian nasi’ iaitu pelarian yang `memeluk Kristian’ atas tujuan material, bukannya dengan keimanan (hati).

Selain di Lebanon, dikatakan bahawa sejak 2015 terdapat kira-kira 900,000 orang pelarian dari negara-negara Islam masuk ke Jerman untuk mendapatkan perlindungan. Majoritinya berasal dari Iraq, Syria, Afghanistan, Eritrea dan Iran.

Mereka ini sanggup meninggalkan tanah air, keluarga, pekerjaan dan segelintirnya malah sanggup menukar agama. Jumlahnya agak sukar untuk dipastikan, tetapi dikatakan mencecah angka ribu.

Kisah tentang pelarian Islam menukar agama memang sudah diketahui dan pernah dilaporkan oleh media-media arus perdana di negara kita. Antara yang dilaporkan berlaku di Berlin, Jerman. Cuma angka sebenar yang terlibat tidak diketahui.

Apa yang perlu kita renungkan di sini ialah, maklumat yang diperolehi menyatakan bahawa selain daripada desakan hidup, antara punca utama pelarian-pelarian ini murtad adalah kerana menyaksikan pembunuhan, peperangan, kekejaman, penindasan serta kacau-bilau di negara asal, yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu atas nama Islam.

Antaranya kekejaman pemerintah, pertelagahan antara mazhab, permusuhan etnik dan serangan kumpulan militan. Kekacauan dan pembunuhan ini tidak pernah berhenti. Ia memakan korban yang bukan sedikit, memusnahkan tempat tinggal dan prasarana serta menjejaskan kesihatan dan pendidikan untuk rakyat.

Sedangkan, pelarian-pelarian ini melihat keamanan, toleransi, kasih sayang, keprihatinan serta kemajuan di negara-negara lain yang bukan Islam. Mereka mahu hidup bahagia dan gembira dalam negara Islam, namun apa yang berlaku di hadapan mata amat mengecewakan.

Pun begitu, dikesan juga sebahagian daripada pelarian ini sengaja menukar agama supaya dapat terus berada di Jerman dan tidak dihantar pulang ke negara asal. Ini kerana kalau dihantar pulang, nyawa dan keselamatan mereka serta keluarga pasti terancam.

Dikatakan fenomena ini turut berlaku di negara-negara lain seperti Austria. Cuma jumlahnya masih kecil dan belum didedahkan lagi.

Demikianlah kesan perang dan kemiskinan kepada akidah umat Islam. Tiada siapa dapat menafikan, sebahagian besar daripada negara-negara yang dilanda peperangan, kekacauan dan huru-hara adalah negara-negara Islam. Antara yang paling teruk ialah Syria, Iraq, Sudan, Republik Afrika Tengah, Pakistan, Afghanistan, Yaman dan Somalia.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi, setakat akhir 2015 sahaja, jumlah pelarian di seluruh dunia adalah di sekitar 65.3 juta orang. Kebanyakannya dari negara-negara Islam yang disebutkan tadi. Mislanya, Palestin (5.2 juta orang), Syria (5 juta orang), Afghanistan (2.7 juta orang) dan Somalia (1.1 juta orang).

Mereka ini bertebaran mendapatkan perlindungan di negara-negara jiran, juga di Eropah seperti Jerman, Sweden, Hungary dan Austria serta AS dan Kanada.

Fenomena pelarian Islam menukar agama demi perut dan kelangsungan hidup amatlah memalukan. Ia benar-benar menjatuhkan imej Islam, seolah-olah umat Islam ini mudah saja dijual beli imannya. Begitu murah harga iman dan akidah mereka.

Tetapi kita tidak sepatutnya menyalahkan pelarian-pelarian tersebut seratus-peratus. Mereka bukan Bilal bin Rabbah, keluarga Yasir atau para sahabat yang kekal teguh keimanannya sekalipun teruk diseksa kafir Quraisy.

Maka di sinilah letaknya peranan pemerintah negara-negara Islam untuk memastikan negara mereka kekal aman dan harmoni. Kuasa adalah amanah Allah dan dilaksanakan demi kebahagiaan rakyat, bukan untuk meraih kemewahan.

Amatlah tidak wajar kuasa diperolehi melalui perang. Perang demi ego dan ekstremisme hanya akan membawa kehancuran. Ia bukan saja menghancurkan bumi dan tamadun, malah akidah serta keimanan rakyat. Imej Islam yang indah dan suci juga hancur lebur.

Itulah yang berlaku di negara-negara yang suatu ketika dahulu kita begitu kagum dengan Islamnya seperti Syria, Iraq dan Afghanistan. Perang menyebabkan mereka hidup miskin, dan kemiskinan menyebabkan iman mereka tergadai.

Imam al-Ghazali pernah mengatakan kefakiran mendekatkan kita ke dalam kekufuran, “Kerana kefakiran (kemiskinan) menyebabkan orang untuk berhasad dengki kepada orang kaya. Sedangkan hasad dengki akan memakan kebaikan. Juga kerana kemiskinan mendorongnya untuk tunduk kepada mereka dengan sesuatu yang merosakkan kehormatannya dan membuat cacat agamanya, dan membuatnya tidak reda kepada qada’ (ketetapan Allah) dan membenci rezeki. Yang demikian itu jika tidak menjadikannya kufur maka itu mendorongnya ke sana. Kerananya Al-Musthafa Shallallahu ‘Alaihi Wasallam berlindung daripada kefakiran.”

Kemiskinan juga boleh mendorong seseorang melakukan tindakan-tindakan yang tidak dibenarkan oleh agama seperti mencuri, merompak, menipu serta melacur. Dan kini, murtad.

Berdoalah kita agar negara yang tercinta ini terus aman dan harmoni. Sebelum terlambat, banteraslah fahaman-fahaman ekstrem, radikal dan militan yang mula muncul di negara ini, sebelum ia merebak dan mencetuskan huru-hara.

Ingatlah, Islam tidak tertegak dengan mata pedang. Tetapi mata pedanglah yang kelak akan menghancurkan Islam.

  • MAJALAH DAKWAH

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *