Home » Ensiklopedia » Ijtimak Ulama Se-Malaysia

Ijtimak Ulama Se-Malaysia

Ijtimak Ulama yang dilaksanakan oleh YADIM adalah sebagai suatu usaha bagi meletakkan ulama yang sebenar dalam satu kedudukan yang sebenar. Ia juga sebagai suatu pendedahan dan percambahan ilmu agar mereka dapat memberi jawapan yang sahih kepada persoalan-persoalan yang dihadapi oleh masyarakat.

Arus perkembangan dan gelombang perubahan sosial rakyat Malaysia berlaku dengan begitu pesat sekali. Banyak perkara baru telah dan sedang tumbuh dalam masyarakat.  Umat Islam khususnya tidak dapat melarikan diri daripada perkembangan ini dan terpaksa menghadapinya dengan penuh berani. Situasi ini berlaku kesan daripada pembangunan negara yang begitu pesat dan kemajuan ilmu moden dan teknologi maklumat yang begitu pantas menguasai fikiran orang ramai, khususnya dalam bidang muamalat yang melibatkan politik, ekonomi, pelajaran, kemasyarakatan dan bidang-bidang lain.

Banyak pihak yang celaru dan keliru dengan perkembangan ini. Sebilangannya menolak secara total dengan anggapan pekembangan ini adalah asing daripada Islam dan ada pula yang menerimanya secara total kerana tidak sabar mengejar kemajuan itu. Kesan daripada itu lahirlah golongan yang mengakhiratkan perkara-perkara dunia dan menduniakan perkara-perkara akhirat, lalu terjebak dengan gelomnbang mengharamkan benda-benda halal dan menghalalkan perkara-perkara haram.

Paling malang sekali ada pihak tertentu bersikap fanatik melulu lalu menjahilkan ulama yang tidak sependapat dengan mereka dan mengulamakkan juhalak yang bersama mereka. Kemudiannya disimpulkan dengan slogan dan pakaian sehingga sebilangan orang ramai terpedaya semacam dia adalah benar-benar ulama.

Ijtimak Ulama yang dilaksanakan oleh YADIM adalah sebagai suatu usaha bagi meletakkan ulama yang sebenar dalam satu kedudukan yang sebenar. Ia juga sebagai suatu pendedahan dan percambahan ilmu agar mereka dapat memberi jawapan yang sahih kepada persoalan-persoalan yang dihadapi oleh masyarakat. Dengan demikian ulama perlu didedahkan dengan perkembangan mutakhir. Mereka perlu meneliti dan menganalisa perkembangan yang ada, kemudian memberi jawapan yang tepat kepada kekeliruan yang dihadapi oleh masyarakat. Dengan kata lain ulama-ulama mesti merasai denyut jantung yang dirasakan oleh masyarakat.

Ijtimak ini disertai oleh ulama-ulama muktabar yang mempunyai pondok-pondok pengajian, mufti-mufti dan kadi besar-kadi besar di negeri-negeri, hakim-hakim mahkamah syariah, pensyarah-pensyarah pengajian Islam di pusat-pusat pengajian tinggi dan tokoh-tokoh ulama tertentu. Turut dijemput adalah ulama-ulama dan aktivis Islam dari Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand. Pensyarah-pensyarah dan pembentang isu-isu semasa yang dijemput antaranya ialah Syeikh Yusuf Qardawi, Dr Jabir Hilwani, Muhammad al Ghazali, Kiyai Haji Ali Yapi, Ketua Majlis Ulama Indonesia, Dato Dr Mahmud Saidon, pakar perundangan Islam di Kementerian Halehwan Agama Brunei  dan lain-lain.

Sebanyak lapan kali ijtimak telah berjaya diadakan. Ijtimak pertama diadakan pada 12 hingga 15 Muharam 1403 bersamaan 1 November  hingga 29 Oktober 1982 di Kota Bharu, Kelantan bertempat di Hotel Perdana yang dirasmikan oleh YAB Dato Musa Hitam, Timbalan Perdana Menteri.  Manakala ijtimak yang kelapan, juga diadakan di Kota Bharu bertempat di Dewan Besar Balai Islam pada 26 Oktober 1996. Ijtimak terakhir ini dirasmikan oleh Ke Bawah DYMM Tuanku Ismail Petra Ibni Al -Marhum Sultan Yahya Petra, Sultan Kelantan.

 

Artikel Berkaitan

YADIM Kedah dan Perlis: Ziarah Madani Mualaf

MENJELANG Syawal tidak lama lagi, adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk memupuk semangat kasih sayang dan kepedulian terhadap sesama Muslim termasuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *