Home » Persuasif » Iktibar di sebalik tragedi

Iktibar di sebalik tragedi

Oleh MOHD SHUKRI HANAPI

Dr. Mohd Shukri Hanapi adalah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang

Musibah kebakaran yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, Kuala Lumpur yang meragut nyawa 23 pelajar termasuk guru dan warden pada September tahun lalu cukup meruntun perasaan semua orang. Akhirnya, polis berjaya menahan tujuh individu yang semuanya masih berusia belasan tahun. Hasil siasatan mendapati suspek yang ditahan ada yang mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka sudah tidak lagi bersekolah. Berdasarkan kes yang berlaku ini, terdapat beberapa iktibar penting yang boleh direnungi bersama.

Masyarakat negara ini perlu memikirkan secara serius dan mendalam mengenai tindakan beberapa anak muda yang sanggup melakukan kesalahan hingga membakar sebuah pusat tahfiz disebabkan dendam akibat ejek-mengejek. Hal ini menunjukkan akhlak dan peribadi generasi muda hari ini semakin tenat dan membimbangkan. Akibat keruntuhan akhlak dan pekerti mulia dalam kalangan anak muda ini menyebabkan mereka tidak mampu membezakan antara baik buruk sesuatu perkara.

Sebagai ibu bapa atau penjaga terutamanya, menjadi kewajipan untuk memastikan anak-anak dididik dengan akidah yang mantap, ibadah yang sempurna, dan akhlak yang mulia. Bagi membentuk akidah dalam diri anak-anak, mereka perlu sentiasa diingatkan dan disedarkan tentang ketuhanan. Asal usul kejadian alam dan segala isinya adalah hasil ciptaan Allah SWT yang Maha Pencipta. Apabila telah terbina dalam diri anak-anak rasa bertuhan, maka mereka akan merasakan segala gerak-geri mereka sentiasa dilihat oleh Allah SWT. Secara langsung akan terwujudlah sistem pengawasan dalaman. Mereka akan takut untuk melakukan sebarang kesalahan.

Hasil daripada akidah yang mantap ini akan melahirkan ibadah yang sempurna. Ibadah yang sempurna itu akan mencegah segala kemungkaran. Allah SWT menjanjikan bahawa solat yang sempurna dapat mencegah kemungkaran. Sekiranya kemungkaran itu masih berlaku, maka bermakna aspek ibadah masih belum sempurna. Kita boleh semak indeks solat anak-anak. Sebelum itu, ibu bapa sendiri perlu melihat kepada indeks solat mereka. Kalau kita mahu melahirkan generasi muda yang mantap, solat mesti cukup, sempurna dan tepat pada waktunya.

Apabila ibadah anak-anak telah lengkap, akan terhasilkan akhlak yang mulia. Cuba bayangkan kalau masyarakat kita mempunyai akhlak yang mulia, sudah tentu tiada tindakan-tindakan yang negatif seperti yang berlaku ini.

 

Hikmah sebalik kejadian

Tidak dinafikan, anggota keluarga anak-anak yang menjadi mangsa kebakaran baru-baru ini sangat sedih dengan kehilangan anak-anak tersayang secara mengejut. Saya juga yakin bahawa ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz ini, tentu sekali merupakan orang yang mempunyai wawasan, mata hati yang terang dan inginkan kebahagiaan di akhirat yang kekal abadi. Atas takdir Allah SWT, hasrat mereka untuk melihat anak-anak sebagai penghafal al-Quran tidak tercapai. Allah SWT memilih mereka untuk menghadapi ujian berat ini kerana Allah SWT tahu mereka mampu menghadapinya.

Semua ini merupakan takdir Allah SWT. Respons atau tindakan anggota keluarga mangsa terhadap perkara yang berlaku merupakan takdir diri mereka. Cara merespon atau bertindak itu pula bergantung kepada akidah mereka. Segala perkara yang berlaku di mata fizikal memang semuanya nampak negatif. Mata nafsu pun akan mula menyalahkan, merungut dan berkeluh-kesah. Walau bagaimanapun, apabila mata akal berfikir, ia akan menghasilkan zikir. Ia dapat mencelikkan mata hati agar melihat hikmah di sebalik kejadian yang berlaku. Hal ini menjadikan seseorang itu lebih dekat kepada Allah SWT dan lebih bertakwa kepada-Nya.

Sebenarnya, terdapat hikmah di sebalik kejadian atau musibah yang berlaku ini. Mengikut ulama, hikmahnya terdiri daripada tiga perkara. Pertama, Allah SWT mahu memberi balasan atas dosa kita. Kedua, Allah SWT mahu ampunkan dosa kita; dan ketiga, Allah SWT mahu naikkan darjat kita.

Menurut ulama, apabila berlaku musibah dan seandainya kita mengeluh atau marah atas musibah, itu tandanya Allah SWT memberi balasan atas dosa kita. Sekiranya kita sabar, Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosa kita. Kalau kita hadapinya dengan penuh ketenangan dan kesabaran, bererti Allah SWT sedang mengangkat darjat kita. Hal ini sama seperti situasi pelajar yang cemerlang, kita pasti beri ujian yang tahap tinggi kepadanya agar beliau dapat dianugerahkan markah yang lebih tinggi.

Begitulah sebenarnya kehidupan kita yang penuh dengan ujian. Semua yang berlaku merupakan ujian daripada Allah SWT, hasilnya nanti dalam bentuk pahala akan kita peroleh ketika di akhirat kelak. Oleh itu, sama-sama kita berusaha agar tidak menggunakan peristiwa ini untuk sebarkan fitnah, mengaibkan mangsa dan suspek, tularkan rasa benci, tuding-menuding kesalahan antara satu sama lain dan memberi komen-komen yang boleh mengguris perasaan anggota keluarga mangsa serta pihak pengurus pusat tahfiz.

Ada dalam kalangan waris mangsa yang dilihat sangat tenang menghadapi ujian Allah SWT ini sehingga sanggup memberi kemaafan kepada suspek yang melakukan kesalahan membakar pusat tahfiz tersebut. Selebihnya beliau hanya menyerahkan hukuman kepada pihak berkuasa. Sebenarnya bukan calang-calang jiwa yang dapat memberi kemaafan ke atas pelaku/suspek yang melakukan kesalahan berat sebegini.

Meskipun ada yang memberi kemaafan, ini tidak bermakna suspek akan terlepas daripada sebarang hukuman jika benar-benar disabitkan dengan kesalahan. Pihak berkuasa pasti akan memutuskan hukuman setimpal mengikut undang-undang sedia ada sebagai pengajaran dan bagi mengelak suspek mengulangi kesalahan yang sama atau lebih teruk. Inilah antara bentuk penyelesaian ataupun cara terbaik buat waris mendapat pembelaan.

 

Komen di media sosial

Sudah menjadi kelaziman, apabila berlaku sesuatu kejadian atau kes, akan ada pihak-pihak yang tampil memberi komen dengan menyalahkan antara satu sama lain. Biasanya media sosial akan dijadikan platform untuk mereka meluahkan segala komen, baik positif mahu negatif.

Pada pandangan saya, amat mendukacitakan apabila ada pihak yang tidak sensitif melemparkan komen-komen pedas terutamanya menyerang institusi tahfiz di negara ini. Komen yang diberikan itu seolah-olah merekalah yang ‘pakar’ dan ‘bijak’. Saya mengandaikan pihak yang memberi komen negatif tersebut sebagai tidak memahami dan tidak terlibat mendidik pelajar tahfiz.

Kalau dilihat dalam kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah baru-baru ini, ramai pihak yang tampil memberi komen masing-masing. Memang memberi pandangan atau komen itu tidak salah dan hak masing-masing, namun Islam mengajar kita supaya ia dibuat biarlah atas dasar kita memang benar-benar mengetahui tentang pokok pangkal kejadian itu. Paling menyedihkan apabila ada pandangan dan komen yang diruntun oleh hawa nafsu dan rasa tidak senang dengan institusi agama sebegini. Mereka hanya pandai memberi komen, namun tidak ada usaha pun untuk menghulur bantuan.

Jadi, berbicaralah tentang perkara-perkara yang kita mempunyai maklumat jelas berkaitannya sahaja. Jika tidak, lebih baik diam dan banyakkan berdoa kepada Allah SWT agar pihak yang ditimpa musibah tidak tersinggung dan disakiti hati mereka. Jika ada yang mahu memberi apa jua saranan dan cadangan kepada pihak pengurusan Pusat Tahfiz itu sekalipun, berilah secara berhikmah (dengan niat baik dan tidak secara terbuka) bagi tujuan penambahbaikan, bukan secara melulu yang boleh meranapkan terus usaha murni pihak-pihak yang berkait. Amat menyedihkan apabila ada pihak yang tidak pernah mengurus pusat tahfiz sebegini melemparkan kutukan hingga mencadangkannya ditutup tanpa mengetahui pengorbanan guru untuk melahirkan rakyat yang baik agama dan akhlaknya. Sepatutnya mereka mencadangkan supaya kilang-kilang haram yang berbahaya kepada kesihatan ditutup.

Dalam hal ini, kita patut ikuti panduan Islam menerusi firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggunganjawabnya.” (al-Israk :36). Berkaitan ayat ini, Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azim ada menjelaskan bahawa, “Allah SWT melarang berbicara tentang sesuatu tanpa ilmu, iaitu (berbicara) hanya dengan persangkaan yang merupakan perkiraan dan khayalan.” Qatadah pula mengatakan, “Jangan kamu katakan bahawa kamu melihat sementara kamu tidak melihat, mendengar sementara kamu tidak mendengar, mengetahui sementara kamu tidak mengetahui kerana Allah SWT akan bertanya kepadamu tentang itu semua.”

Pengajaran daripada ayat ini ialah kita dilarang daripada bercakap, berbicara, memberi komen dan sebagainya tentang sesuatu perkara yang kita tak tahu pokok pangkalnya. Dalam hal ini, kita tidak perlu menunjukkan ‘kehebatan’ diri untuk memberi komen itu dan ini, sedangkan semua itu dibuat atas andaian, persangkaan dan rasa kurang senang terhadap sesebuah institusi Islam.

Selain memberi komen, ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar-gambar mangsa. Tanpa memikirkan perasaan waris-waris mangsa, ada pihak yang tidak menghiraukan permintaan waris supaya tidak menyebarkan gambar mangsa yang mengaibkan. Dalam hal ini, masyarakat perlu belajar memahami sensitiviti perasaan orang lain. Perkara yang sama akan dirasai jika kita sendiri yang berada di tempat mereka. Bagi mereka yang masih menyimpan gambar-gambar mangsa, lebih baik dihapuskan sahaja.

Bukan setakat gambar mangsa sahaja yang tidak wajar disebarkan, malah gambar suspek pun perlu sedemikian. Meskipun mereka diletakkan sebagai suspek yang melakukan kesalahan, itu bukan tiket untuk mereka diaibkan, dihina dan dicaci. Mereka masih dalam proses berdepan dengan undang-undang. Walau bagaimana marah sekalipun, elakkan daripada menyebarkan gambar-gambar suspek dengan tujuan untuk mengaibkan. Begitu juga, elakkan daripada menghina dan mencaci mereka. Kita sesama hamba, tiada hak untuk menghina seseorang hamba yang lain.

Berkaitan perkara ini, Imam Malik bin Anas RA pernah berkata, “Aku kenal ramai orang yang baik, tetapi dia suka berkata-kata yang tidak baik perihal aib orang lain. Maka nanti Allah buka pula keaiban dirinya sehingga orang mula melihat ia sebagai orang yang tidak baik. Aku juga kenal ramai orang yang kurang baik, namun dia tidak pernah suka berkata perihal keaiban orang lain sehingga Allah pun menutup aib dan kelemahan dirinya. Lantas ramai orang melihat dia sebagai orang yang mulia”.

 

Penambahbaikan

Apabila kita berhadapan dengan sesuatu kes sebegini, sudah tentu kita akan pergi kepada puncanya dan fikir kenapa perkara seumpama ini boleh berlaku. Memang tidak dinafikan kegagalan institusi keluarga menjadi punca utama mengapa kanak-kanak di bawah umur melakukan kesalahan jenayah seumpama itu. Hal ini kerana institusi keluarga merupakan sekolah pertama anak-anak. Guru-gurunya pula terdiri daripada ibu bapa sendiri. Jika pada peringkat ini anak-anak dicorakkan dalam keadaan yang negatif, maka natijah akan melahirkan anak-anak yang negatif seperti positif dadah, kes mencuri, dibuang sekolah dan sebagainya.

Berhubung perkara ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (Islam), maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (HR al-Bukhari dan Muslim).

Sebenarnya, tidak adil jika kita menyalahkan ibu bapa atau institusi keluarga sahaja. Malah kita perlu melihat juga suasana sekeliling yang ada di negara kita sekarang dari segi role-model, program televisyen, surat khabar, sistem pendidikan, masyarakat dan media sosial. Apakah kita menyebarkan kasih sayang, penghargaan, menghormati orang atau sebaliknya seperti kesombongan, keganasan, materialistik dan hedonisme?

Penerbit rancangan patut buat polisi dan pemimpin di semua peringkat wajar mengambil iktibar. Dalam hal ini, saya seru kita semua hentikan sifat salah-menyalahkan dan tuding-menuding ini. Sepatutnya kita semua harus bertanggungjawab. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian akan diminta pertanggungjawabannya” (HR al-Bukhari). Setiap perkara negatif yang berlaku, kita semua perlu bertanggungjawab. Kita mesti melakukan perkara yang berbeza untuk melahirkan masyarakat yang berbeza. Kita tidak boleh mengubah corak kehidupan sedia ada kalau tidak menjadi orang yang berbeza. Kalau kita tetap menjadi orang yang sama seperti hari ini, tentu esoknya hasil kehidupan kita juga akan sama.

Berhubung kes anak-anak muda yang positif dadah dan terlibat dengan pelbagai gejala sosial, saya menyeru semua pendidik agar tidak fokus kepada pelajar cemerlang sahaja. UPSR baru sahaja selesai. Semua orang sangat berkeinginan untuk mendapat semua A dalam mata pelajaran. Bagi pelajar yang mendapat semua A biasanya akan diwar-warkan dan diberi penghargaan. Memang mereka layak untuk diberi pengiktirafan sedemikian. Persoalannya, bagaimanakah dengan pelajar yang gagal memperoleh A, apakah yang patut kita lakukan? Adakah mereka hanya dibiarkan?

Justeru, diharapkan tragedi yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah menjadi iktibar dan semua pihak terlibat perlu memainkan peranan masing-masing dengan mengambil tindakan sewajarnya agar kejadian sama tidak berulang lagi. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *