Home » Citra Yadim » Institusi Mufti harus dilindungi daripada eksploitasi media, kata MDN

Institusi Mufti harus dilindungi daripada eksploitasi media, kata MDN

BANGI 6 September 2016 – Sudah tiba masanya institusi mufti di negara ini, dilindungi daripada terdedah kepada eksploitasi media dalam isu membabitkan persoalan agama dan politik tanah air.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majib berkata, institusi mufti perlu mencari wacana khusus untuk mereka, agar peranan mufti itu sendiri tidak dieksploitasi.

“Saya mahu menyeru kepada mufti supaya menghormati diri mereka sendiri daripada menjerumus diri mereka kepada sesuatu situasi yang tidak dihormati oleh masyarakat.

“Saya nak minta dikalangan pendakwah, ilmuan dan khususnya mufti supaya tidak sangat mendedahkan diri kepada media massa.

“Mereka perlu mencari wacana khusus untuk mereka membincangkan isu-isu yang ditimbulkan pihak tertentu, sebelum disebarkan kepada pengetahuan masyarakat.

“Kita perlu meniru raja-raja Melayu yang tidak bercakap sendiri. Raja-raja akan bercakap melalui pembantunya.

“Mufti tidak akan masuk surat khabar. Mufti akan memberi fatwa melalui majlis fatwa kerana pengaruh mereka cukup besar dalam masyarakat,”ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Persidangan Pendakwah Kebangsaan bertemakan “Peranan Pendakwah Dalam Perpaduan Ummah dan Pemangunan Negara’ di Bangi hari ini.

Justeru katanya, bagi mencapai matlamat itu, MDN akan mengadakan wacana khusus dikalangan mufti untuk merungkai persoalan isu-isu semasa dalam masyarakat secara bersama dikalangan mufti di negara ini.

“MDN akan wujudkan wacana khusus untuk para ilmuan dan mufti berwacana untuk membincangkan akan hal ini, sebelum keluarkan kenyataan kepada masyarakat melalui media massa.

‘Ini kerana keluasan ilmu itu akan mengharu-birukan masyarakat kerana tidak semua masyarakat boleh faham terhadap ilmu. Penyebaran ilmu itu perlulah bersepadanan dengan tahap kefahaman masyarakat.

“Misalnya dalam sejarah perkembangan agama di Kelantan telah mengharamkan pengajaran kitab-kitab lama di negeri itu, ini kerana walaupun kitab lama itu bagus tetapi tidak dapat difahami majoriti masyarakat umum.

“Justeru semua agamawan, pendakwah dan mufti harus berhati-hati tidak semua yang kita tahu dan faham akan diberitahu kepada masyarakat semata-mata untuk tujuan mencari populariti, atau desakan pihak tertentu, sebaliknya kenyataan dibuat itu menimbulkan kekeliruan kepada sebahagian masyarakat pula,” ujarnya.

Mahmood Zuhdi juga menegaskan, dikalangan pendakwah, agamawan dan mufti juga harus bersatu bagi menyelesaikan perpecahan antara mereka yang akhirnya membawa kekeliruan dalam masyarakat Islam.

“Antara mereka perlu menyelesaikan perbezaan pandangan, supaya tidak menjadi individu yang kontroversi dalam masyarakat kita pula.

“Dikalangan mereka perlu lebih berhati-hati dalam memberi pandangan dalam apa jua saluran sama ada di media massa, media sosial, surau, masjid supaya ia boleh menjadi hanya ‘satu suara’ dalam sesuatu isu dibangkitkan bagi tujuan penyatuan ummah,” ujarnya.

Sebanyak lima usul telah dikemukakan dalam persidangan sehari ini untuk dibahaskan dikalangan 100 pendakwah yang hadir antaranya adalah untuk menubuhkan Tabung Amanah Dakwah.

Turut hadir dalam persidangan ini Yang Dipertua Yadim Dr Yusri Mohamad, Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha dan  Pengerusi Persidangan  oleh Datuk Dr Fadzilah Kamsah.

Selain pembentang kertas kerja oleh Prof Datuk Mohamad Abu Bakar yang bertajuk: ‘Grand Strategy, Gubahan Ummah dan Gagasan Perpaduan’.

Sumber : https://malaysiadateline.com

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *