Home » Persuasif » Antara peristiwa Masjid Babri dan isu Zakir Naik

Antara peristiwa Masjid Babri dan isu Zakir Naik

Peristiwa Masjid Babri pada 1992 memberi kesan besar kepada hubungan antara penganut agama sehingga kini.

PERISTIWA pemusnahan Masjid Babri yang terletak di bandar raya Ayodhya bermula dengan perhimpunan politik anjuran Bharatiya Janata Party dan kumpulan pelampau agama Vishva Hindu Parishad.

TULAR di media sosial dalam kalangan masyarakat Islam sekarang ialah video mengenai salah seorang lelaki yang mengetuai rusuhan untuk meruntuhkan masjid lama Babri di India pada tahun 1992 telah memeluk Islam.

Menurut petikan siaran berita televisyen India Today, Balbir Singh yang berasa amat bersalah setelah kejadian itu telah memeluk Islam pada 1993, kira-kira setahun selepas kejadian.

Selepas memeluk Islam dan menukar namanya kepada Mohd. Amir, beliau berusaha menebus dosanya dengan membina masjid-masjid baharu, selain berdakwah.

Peristiwa pemusnahan Masjid Babri yang terletak di bandar raya Ayodhya itu bermula dengan perhimpunan politik anjuran Bharatiya Janata Party (BJP) dan kumpulan pelampau agama Vishva Hindu Parishad.

Atas alasan bahawa masjid yang dibina pada abad ke-16 itu didirikan di atas tempat kelahiran dewa Rama, mereka menuntut supaya diruntuhkan Masjid Babri dan dibina sebuah kuil di atas tapaknya.

Perhimpunan politik itu merebak menjadi rusuhan yang mencetuskan pemusnahan Masjid Babri oleh aktivis-aktivis Hindu.

Terbunuh

Ekoran pemusnahan Masjid Babri, pergaduhan agama berlaku selama beberapa bulan antara masyarakat Hindu dan Islam India yang menyebabkan kira-kira 2,000 orang terbunuh.

Balbir Singh yang turut mengganas dalam rusuhan itu dirundung sesalan apabila keluarganya yang berfahaman sekular telah memarahinya kerana bimbang diserang balas oleh masyarakat Islam.

Dilaporkan bahawa beberapa orang lagi aktivis Hindu yang terlibat dalam peristiwa itu turut memeluk Islam selepas Balbir Singh bertaubat dan mengucap dua kalimah syahadah.

Selepas menukar nama kepada Mohd. Amir, beliau mendalami ilmu agama dan kini aktif berdakwah menyebarkan agama Islam.

“Dan orang-orang yang menjauhi dirinya daripada menyembah atau memuja Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang menggembirakan (sebaik-baik sahaja mereka meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hamba-Ku.” (Az-Zumar:17)

“Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.” (Az-Zumar:18)

Semoga Mohd. Amir termasuk dalam golongan yang Allah gembirakan ini dan semoga usaha dakwahnya berkesan sama seperti Dr. Zakir Naik.

Disebabkan dakwah Zakir sangat berkesan melalui kaedah perbandingan agama, beliau bukan sahaja dihalang tetapi akan ditangkap untuk dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghasut terrorisme.

Disebabkan menghadapi tekanan, Zakir kini terpaksa berada dalam buangan di luar negara.

Kalangan aktivis Hindu menuduh beliau menghina agama mereka. Zakir dalam ceramahnya sering menegaskan bahawa orang-orang Hindu silap kerana kitab asal agama mereka menyuruh supaya mereka menyembah Tuhan Yang Esa.

Bagaimanapun mereka yang syirik terhadap Allah mempunyai jawapan terhadap perkara ini.

“Ingatlah kepada Allah jualah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain daripada Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (berkata): “Kami tidak menyembah atau memuja (sembahan) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”, – sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka tentang apa yang mereka selisihkan. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).” (Az-Zumar:3)

Zakir bukan sahaja diburu di India tetapi beliau juga menghadapi tekanan aktivis Hindu di Malaysia. Apatah lagi beliau pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Malaysia 2013/1435 Hijrah.

Ancam keselamatan

Kumpulan Hindu Rights Action Force (Hindraf) dan 18 pihak lain terdiri daripada ahli politik, peguam serta badan bukan kerajaan menuntut supaya diisytiharkan Zakir mengancam keselamatan negara dan dilarang daripada memasuki Malaysia.

Mereka turut mendakwa Zakir menggalakkan keganasan, dilarang memasuki beberapa negara kerana disyaki bekerjasama dengan beberapa kumpulan pengganas selain memberi sokongan kepada warga asing yang berada di negara ini untuk mengganggu ketenteraman awam.

Tuntutan itu dibuat melalui saman yang dikemukakan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selalu Menteri Dalam Negeri; Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dan Ketua Polis Negara.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 13 Februari lalu telah membatalkan saman pemula Hindraf itu atas permohonan kesemua defendan.

Keputusan mahkamah berhubung isu Zakir hendaklah diterima dengan tenang oleh semua sebagaimana keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini bahawa penukaran agama anak di bawah umur 18 tahun hendaklah dibuat dengan persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Janganlah sesekali isu agama yang sensitif dipolitikkan. KOSMO

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *