Home » Langit Terbuka » Jemaah haji Malaysia diminta menjadi contoh jaga kebersihan

Jemaah haji Malaysia diminta menjadi contoh jaga kebersihan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, program julung kali diadakan itu diharap menjadi satu lagi nilai tambah kepada imej jemaah haji Malaysia yang memang dikenali berdisiplin tinggi - NSTP

MAKKAH – Jemaah haji Malaysia disaran menjadi contoh dalam aspek menjaga kebersihan sehingga mampu menjadi penanda aras kepada jemaah haji lain dari seluruh dunia.

Itu matlamat Program Kebersihan Perdana Masyair musim haji 1439 Hijrah yang dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa di sini, semalam.

Majlis pelancaran itu diadakan bersama jemaah haji di lobi Maktab 72 Hotel Land Premium di sini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Zainol Rahim Zainuddin, dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Mujahid berkata, program julung kali diadakan itu diharap menjadi satu lagi nilai tambah kepada imej jemaah haji Malaysia yang memang dikenali berdisiplin tinggi.

“Jemaah haji Malaysia memang terkenal dengan adab dan sopan santun kerana selalu ikut undang-undang serta tak gopoh dalam melaksanakan ibadat

“Kali ini kita nak tambah satu lagi nilai akhlak kepada jemaah haji Malaysia yang dapat menjadi satu penanda aras kepada jemaah haji dunia yang lain iaitu aspek kebersihan,” katanya.

Menurutnya, program itu akan berlangsung sepanjang tempoh Masyair yang bermula dengan wukuf di Arafah pada Isnin, diikuti bermalam di Muzdalifah dan Mina yang berakhir pada 24 Ogos depan.

“Di Arafah dan Muzdalifah aktiviti program dilakukan secara kendiri oleh jemaah atas kesedaran yang kita terapkan melalui pengurus maktab masing-masing.

“Aktiviti lebih tersusun akan kita buat sepanjang tiga hari jemaah berada di Mina iaitu pada 11 hingga 13 Zulhijjah (22 hingga 24 Ogos) pada jam 8 hingga 9 pagi setiap hari,” katanya.

Mujahid berkata, dalam tempoh sejam selama tiga hari itu semua jemaah Malaysia akan dibekalkan plastik untuk bergotong royong mengutip sampah di kawasan khemah tempat tinggal mereka.

Menurutnya, program kesedaran kebersihan ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Majlis Muassasah Asia Tenggara.

Beliau berharap aktiviti jemaah haji Malaysia mengutip sampah dan menjaga kebersihan di Arafah, Muzdalifah dan Mina dapat menjadi contoh kepada seluruh dunia sebagaimana aksi penyokong Jepun mengutip sampah ketika Piala Dunia Russia 2018 yang lalu.

“Bila tempat kita jadi paling bersih, kita nak orang kata inilah contoh peribadi muslim. Insya-Allah kita harumkan nama Malaysia dengan akhlak sebagai muslim,” katanya.

Mujahid berkata, kerajaan amat menyokong inisiatif Tabung Haji (TH) menganjurkan program ini dan turut berbangga jika ia dapat menjadi contoh kepada jemaah haji lain dari seluruh dunia

Katanya, inisiatif TH itu bersesuaian dengan dasar yang sudah diterap dalam kerajaan baru iaitu ‘Rahmatan Lilalamin” atau rahmat kepada seluruh alam. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *