Home » Muamalah » Jerat Hutang Gen Y

Jerat Hutang Gen Y

Lebih 100,000 rakyat Malaysia dari generasi Y iaitu yang berusia 35 tahun ke bawah diisytiharkan muflis sejak tujuh tahun lalu. Punca utama kebankrapan mereka adalah kerana tidak berupaya untuk membayar pinjaman kereta, rumah dan peribadi atau menjadi penjamin kepada peminjam lain.

Menurut data Jabatan Insolvensi, seramai 24,953 orang berusia 35 tahun ke bawah diisytiharkan muflis sejak 2010 hingga 2016. Sebanyak 107,306 kes kebankrapan direkodkan antara Januari dan April tahun 2015, dengan 948 orang adalah mereka berusia 35 ke bawah. (Berita Harian, “Hampir 25,000 warga muda muflis di Malaysia,” 23 Jun 2015).

Dalam masa yang sama, tinjauan yang dijalankan oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna (Fomca) ke atas 1,000 responden pada tahun 2013 turut menunjukkan bahawa 37 peratus golongan muda Malaysia hidup di luar kemampuan mereka manakala 47 peratus menggunakan lebih dua pertiga daripada pendapatan bulanan mereka untuk membayar hutang.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir mendedahkan bahawa kebanyakan graduan membuat pinjaman bank dan menggunakan kad kredit semata-mata untuk hidup mewah meskipun sebenarnya di luar kemampuan mereka. Katanya, mereka terlalu mementingkan gaya hidup mewah dan ‘takut dilabel sebagai miskin’ menjadi faktor utama kebanyakan graduan berumur bawah 30 tahun terperangkap dengan hutang dan seterusnya mengundang kepada muflis. (Mstar, “Ramai graduan muflis kerana mahu gaya hidup mewah,” 1 Jun 2016).

Malah Azaddin mengakui bahawa graduan yang baru menamatkan pengajian dan baru saja memasuki alam pekerjaan serta masih belum mempunyai simpanan yang banyak ini sangat cenderung untuk terikut-ikut dengan gaya hidup mewah. Kebanyakkan mereka membuat pinjaman bank dan menggunakan kad kredit untuk membeli gajet terbaharu dan pakaian mengikut trend selain untuk tujuan membeli kereta dan membayar pinjaman perumahan.

Hal ini turut disokong oleh data yang dikeluarkan oleh Institut Kewangan Asia yang mana 40 peratus generasi muda membelanjakan wang di luar kemampuan mereka. Ini bermakna, generasi Y terperangkap dengan gaya hidup mewah yang tidak terkawal sehingga mudah membelanjakan wang tanpa memikirkan kesan terhadap keperluan mereka. Dapatan kajian ini menggambarkan bahawa generasi Y membelanjakan wangnya bukan berasaskan kepada memenuhi keperluan, tetapi menghala kepada masyarakat yang suka berbelanja (konsumerisme).

Perkara yang lebih menggusarkan lagi ialah 75 peratus generasi Y pada masa ini mempunyai hutang jangka panjang yang merangkumi pinjaman jual beli kereta, kad kredit, pembiayaan pendidikan dan gadai janji. Angka statistik tersebut juga menunjukkan 70 peratus generasi Y hidup di luar kemampuan. Tambahan pula dengan kenaikan kos sara hidup, kenaikan pendapatan secara sederhana dan simpanan persaraan rendah hanya akan memburukkan lagi keadaan sekiranya tidak ditangani segera.

Terkini seramai 4,102 rakyat Malaysia dikenakan status bankrap tahun lepas akibat pinjaman kenderaan selain 1,773 orang pula akibat kegagalan membayar pinjaman kad kredit. Ironinya, antara punca statistik ini ialah disebabkan kelulusan untuk pinjaman kini yang semakin mudah.

Satu kemudahan yang jika tidak diuruskan dengan bijak, akhirnya membawa kepada kebinasaan.

Kesemua ini kedengaran begitu klise sekali, namun hakikatnya, data-data ini membuktikan kegagalan generasi Y dididik dengan baik dalam pengurusan kewangan mereka sehingga terjebak dan terbelenggu dengan hutang yang bertimbun. Mereka tidak mengerti dan memahami cara mengurus kewangan mereka dengan baik sedangkan dalam usia sebegini, mereka perlu mengelak daripada membuat financial mistake kerana mereka akan terus dibelenggu hutang yang boleh mengundang kepada muflis.

Permulaan masalah ini boleh dikaitkan dengan kegagalan ibu bapa mendidik anak-anak mereka dari peringkat awal lagi dengan beranggapan dunia kanak-kanak tidak perlu didedahkan dengan pengetahuan berkaitan kewangan kerana mereka masih kecil dan belum cukup dewasa untuk memahami nilai wang. Bagi mereka, apa yang penting semasa proses tumbesaran minda anak ketika itu adalah menerokai sebaiknya segala perihal berkaitan pembelajaran asasi seperti mengajar mengenal huruf, mewarna dan mengeja. Bagi mereka, yang penting adalah berjaya dalam pelajaran kerana itu lebih menjamin masa hadapan anak.

Sebenarnya salah anggap ini hanya menjadi punca kepada permasalahan yang lebih besar termasuk trend peningkatan golongan generasi Y yang diisytiharkan muflis. Masakan tidak, perhatikan sahaja gaya hidup pelajar di peringkat universiti. Ramai pelajar yang berhutang kerana terjebak dengan gaya hidup di persekitaran mereka. Pada asasnya, keperluan asas pelajar seperti membayar yuran pengajian, membeli buku dan keperluan kuliah, sewa bilik atau asrama dapat diatasi dengan pinjaman yang diberikan oleh PTPTN, bantuan zakat atau biasiswa yang mereka terima.

Tetapi, ada sesetengah pelajar yang menyalahgunakan wang pinjaman itu dengan membeli barangan yang tidak diperlukan misalnya membeli telefon bimbit mahal dan berjenama. Oleh sebab itu, apabila tercetus pelajar kebuluran atau makan mee segera yang didakwa akibat keadaan ekonomi yang lembab, bukan itu isunya. Melainkan disebabkan oleh gaya hidup dan tidak bijaksana menguruskan perbelanjaan wang mereka. Kendatipun, tidak dinafikan terdapat juga di kalangan pelajar yang menggunakan wang bantuan atau pinjaman pendidikan untuk membantu kewangan keluarga di kampung.

Hakikatnya pengurusan kewangan yang baik perlu diajar dari peringkat awal lagi. Namun, malangnya apa yang terjadi adalah ibu bapa sendiri gagal memahami dan menguruskan kewangan keluarga dengan baik dengan mengamalkan perbelanjaan tidak berhemah.

Hal ini diakui oleh Prof. Dr Mohamad Fazli Sabri, yang juga Pensyarah di Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM). Menerusi beberapa kajian yang telah dijalankan yang menunjukkan bahawa golongan ibu bapa ‘kelam-kabut’ dalam pengurusan kewangan sehingga akhirnya menjadi ikutan anak kerana ibu bapa adalah agen sosialisasi utama mereka mempelajari mengenai perbelanjaan.

Dalam setiap fasa kehidupan, kita sering mempunyai kepentingan, tanggungjawab dan kehendak kewangan yang berbeza. Setiap peringkat hidup memberikan kita peluang dan cabaran yang berbeza. Apabila kehidupan kita berubah, maka kehendak dan keperluan kita juga berubah. Perancangan kewangan menyediakan diri kita untuk menghadapi peluang dan cabaran hidup ini.

Natijahnya, perancangan kewangan adalah penting, walau banyak mana sekalipun pendapatan yang diperoleh. Rahsianya ialah mengetahui di mana kedudukan kita sekarang, hendak ke manakah kita pada masa hadapan dan bagaimana untuk sampai ke sana. Pengetahuan ini boleh menambah nilai wang kita jika kita dapat mempelajari bagaimana untuk menguruskannya secara baik dan berhati-hati.

Sekiranya kita merancang kewangan dengan cekap, kita akan merasakan bahawa kita berupaya untuk mengawal kewangan kita dan berbelanja mengikut kemampuan yang sebenar. Selain itu dapat menguruskan hutang dengan baik serta mengelak daripada kesan-kesan negatif seperti menjadi muflis atau bergantung kepada orang lain.

Membuat perancangan kewangan akan menyedarkan kita akan keperluan masa kini dan masa hadapan, sumber-sumber kewangan yang dimiliki serta sumber kewangan yang diperlukan serta cara sebaik mungkin untuk memperolehi sumber. Yang penting sekali, ketenangan dan keamanan hidup yang diperoleh menerusi perancangan kewangan yang baik.

Artikel Berkaitan

YADIM Kedah dan Perlis: Ziarah Madani Mualaf

MENJELANG Syawal tidak lama lagi, adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk memupuk semangat kasih sayang dan kepedulian terhadap sesama Muslim termasuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *