Home » Citra Yadim » Kakitangan YADIM diminta tingkatkan kecemerlangan

Kakitangan YADIM diminta tingkatkan kecemerlangan

PUTRAJAYA – Kakitangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) diminta meningkatkan kecemerlangan diri masing-masing dengan sentiasa mencari potensi diri, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Beliau berkata, demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang 2017 dan Majlis Graduasi Felo Muda Dakwah (FMD) sesi 7 dan 8 di Hotel Boraombak, Putrajaya pada 4 Julai.

Fuziah berkata, secara amnya, manusia tidak menggunakan potensi diri mereka sepenuhnya dengan hanya kira-kira lima hingga 10 peratus sahaja, dan dengan sebab itu, setiap orang sebenarnya mempunyai potensi untuk menjadi cemerlang.

“Saya percaya sekiranya setiap kakitangan YADIM berusaha meningkatkan potensi diri masing-masing maka organisasi ini akan menjadi sebuah organisasi yang lebih cemerlang dan memberikan imej yang baik kepada Islam,’’ katanya.

Sementara itu, pada majlis hari ini, seramai 13 kakitangan YADIM menerima Anugerah Khidmat Cemerlang 2017 yang terdiri daripada empat kakitangan Eksekutif Kanan ke atas, tiga Eksekutif, seorang Penolong Eksekutif Kanan, tiga Penolong Eksekutif dan dua Penolong Operasi.

Penerima-penerima berkenaan ialah Najwa Najib, Siti Suhafzan Sh Ibrahim, Norhayati Azmi, Ramlee Daud, Nor Zauhara Sumar, Muzafar Abd Rahim, Ramzi Razak, Lenny Marlina Hussin, Muhamad Azril Abdullah, Mohd Noor Faiz Rahmat, Syamsul Firdaus Shamsuddin, Maheran Mahmud dan Mohd Ikram Mohamed @ Harun.

Para pemenang berkenaan menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan.

Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang YADIM ini merupakan inisiatif pihak pengurusan dalam memberikan pengiktirafan kepada kakitangan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang pada tahun lepas.

Dengan adanya majlis seperti ini, pihak pengurusan berharap motivasi kakitangan pada keseluruhannya akan meningkat dan seterusnya memberikan impak kepada organisasi.

Anugerah ini merupakan satu manifestasi keperihatinan pihak pengurusan YADIM  terhadap modal insan berkualiti dan berprestasi tinggi.

Pada kali ini YADIM memberikan pengiktirafan kepada 13 kakitangan yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam melaksanakan tugas mereka.

Pendekatan YADIM kali ini adalah memberikan pengiktirafan kepada pekerja yang sudah dinilai secara menyeluruh  termasuk oleh rakan-rakan sekerja, selain pegawai-pegawai atasan mereka. Ini adalah selaras dengan hasrat organisasi ini untuk melahirkan kakitangan yang berkualiti serta mempunyai fikrah yang cemerlang sebagai pendakwah.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *