Home » Langit Terbuka » Kekalkan kuasa politik Islam

Kekalkan kuasa politik Islam

Prof. Datuk Dr. Sidek Baba

Bagi jamin kedudukan agama dan orang Melayu dalam Perlembagaan

KUALA LUMPUR 12 April – Umat Islam di negara ini perlu mengekalkan kuasa politik yang ada pada mereka bagi menjamin kedudukan agama Islam dan orang Melayu seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pensyarah Kuliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Sidek Baba berkata, amat membimbangkan sekiranya kuasa politik umat Islam di negara ini hilang kerana ia boleh menjejaskan dasar yang dibangunkan untuk kepentingan agama Islam dan orang Melayu.

“Oleh itu, kuasa politik umat Islam sangat penting untuk dipertahankan bagi mempertahankan kedudukan agama Islam dan sosioekonomi orang Melayu.

“Jika kita tiada kuasa politik tersebut, bagaimana mahu kita membela nasib generasi akan datang? Malah kita tidak mampu juga untuk menggubal dasar yang boleh membangunkan ummah dan modal insan dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Survival Politik Islam Dalam Siasah di Dewan Utusan, Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Bhd. di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Nor dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah.

Forum yang dianjurkan Utusan Melayu (M) Berhad itu dikendalikan Pengarang Kanan, Unit Media Baharu Utusan Malaysia, Aznan Bakar dan turut dihadiri kira-kira 300 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta kakitangan Kumpulan Utusan.

Sidek berkata, umat Islam di negara ini juga berdepan cabaran menerusi gerakan tertentu yang cenderung untuk memperalat dan cuba meme­cahkan kesatuan dalam kalangan mereka.

“Muncul juga kelompok yang membawa fahaman liberalisme dan pluralisme yang bercanggah dengan akidah umat Islam ketika perpecahan dalam kalangan orang Melayu di negara ini cukup ketara.

“Sehubungan itu, orang Melayu perlu memperkukuhkan perpaduan dan mempertahankan kuasa politik mereka, sekali gus dapat menjamin kepentingan agama Islam secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, katanya, manifesto Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang memberi komitmen untuk penubuhan sebuah Universiti al-Quran dilihat sebagai strategi bijaksana yang boleh menjamin masa depan negara.

“Kekuatan tamadun dahulu juga berlandaskan al-Quran yang melengkapi segala aspek, jadi kita mahu kembalikan kekuatan itu bagi melahirkan anak-anak yang holistik dan mempu­nyai ilmu pengetahuan yang tinggi.

“Ini satu strategi bijaksana dan umat Melayu harus fikirkan bagaimana dapat sama-sama menyumbang.

“Beberapa negeri telah menawarkan tanah untuk dijadikan tapak Universiti al-Quran dan ini merupakan satu petanda baik bagi masa depan negara,” katanya.  – UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *