Home » Ensiklopedia » Kesultanan Ternate

Kesultanan Ternate

Kesultanan Ternate merupakan kesultanan terbesar di Kepulauan Maluku pada abad ke-14 hingga abad ke-16. Sejak abad ke-10, Ternate dikenali sebagai pusat perdagangan rempah. Kapal dari Jawa, Melaka dan Arab sering belayar ke sana.

Kesultanan ini pada awalnya berpegang pada animisme. Namun, setelah Sultan Zainal Abidin (1486-1500), Raja Ternate ke-19, kembali dari Giri, Gersik dan menyandang gelaran sultan, agama Islam menjadi agama rasmi kerajaan.

Kesultanan Ternate dan jirannya, Kesultanan Tidore, merupakan dua kerajaan yang saling bersaing dalam perdagangan. Pada tahun 1522, Ternate bersekutu dengan Portugis dengan memberikan monopoli perdagangan cengkih yang bertujuan untuk menyekat penyebaran ajaran Katholik.

Tidore mengikat perjanjian dengan Sepanyol pada tahun 1524. Pada tahun 1529, Ternate bersama-sama Portugis mengalahkan Tidore. Namun selepas itu, bukan hanya Tidore tetapi Ternate juga menjadi daerah taklukan Belanda.

PUSAT DAKWAH ISLAM

Kesultanan Ternate merupakan salah satu pusat penyebaran Islam di wilayah Indonesia Timur. Pendakwah dari Ternate berdakwah ke seluruh Kepulauan Maluku, Sulawesi, Buton, Sumbawa dan Papua. Malah pada tahun 1587, pendakwah Ternate berdakwah hingga ke Pulau Sulu dan Mindanao di bahagian selatan Filipina. Di wilayah itu, para pendakwah dari Ternate ini mendirikan madrasah dan masjid.

SULTAN KHAIRUN

Pada awalnya, Sultan Khairun, sultan ketiga Ternate, bekerjasama dengan Portugis. Namun, pada tahun 1533 baginda mengumumkan perang kerana sikap kasar gabenornya, Tritoa de Altaida.

Setelah perang tamat, perjanjian dimeterai semula. Namun, perang terjadi lagi kerana Portugis melancarkan gerakan pengkristianan. Ketika terdesak, Portugis menipu dengan berpura-pura menerima semua syarat Sultan serta para pembesarnya ke kubu untuk jamuan besar. Ketika jamuan sedang berlangsung pada 28 Februari 1570, Khairun ditikam oleh pengawal gabenor hingga mangkat.

SULTAN BABULLAH

Setelah ayahandanya (Sultan Khairun) mangkat di kubu Portugis, Sultan Babullah memimpin rakyat Ternate untuk memerangi Portugis pada tahun 1570. Tentera Portugis yang berada di Melaka berulang kali cuba memberikan bantuan, tetapi tidak berjaya menebusi pengepungan Sultan Babullah.

Lima tahun kemudian, Portugis menyerah kalah. Baginda mengampuni lawannya, dengan syarat mereka meninggalkan Ternate.

Kesultanan mencapai puncak kegemilangan di bawah pemerintahan Sultan Babullah. Ketika baginda mangkat, kesultanan itu berjaya menguasai sekitar 80 buah pulau.

Kesultanan Ternate masih wujud sehingga kini, diterajui oleh Muzaffar Syah dengan gelaran Paduka Sri Maha Tuan as-Sultan Haji Muzaffar Shah II yang diputerakan (lahir) pada 13 April 1935. Baginda beristerikan Permaisuri Boki Nita Budi Susanti.- MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *