Home » Langit Terbuka » KIP lambang kebanggaan Islam di Malaysia

KIP lambang kebanggaan Islam di Malaysia

PUTRAJAYA 18 Julai : Pembinaan Kompleks Islam Putrajaya (KIP) di Presint 3 di sini, menjadi bukti perlambangan kebanggaan agama Islam di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap merasmikan kompleks berkenaan berkata KIP berperanan secara signifikan sebagai mercu tanda dan kesinambungan kepada kegemilangan pentadbiran Islam.

Katanya, dengan pemusatan agensi agama dalam satu kompleks, hasrat kerajaan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan dapat dipertingkatkan.

“Urusan hal-ehwal Islam seperti permohonan sijil halal, urusan haji dan umrah, perkhidmatan kewangan dan perbankan Islam dan urusan kekeluargaan Islam dapat disampaikan kepada pelanggan dengan lebih mudah dan cepat.

“Bila saya sampai di KIP hari ini, saya rasai satu perasaan yang penuh dengan kebanggaan, bukan saja sebagai pemimpin negara tetapi sebagai seorang umat Islam.

“KIP sangat indah, perlambangan kebanggaan Islam di bumi Malaysia. Inilah yang saya hasratkan,” katanya ketika berucap merasmikan KIP dan melancarkan Garis Panduan Umum Tadbir Urus Berteraskan Syariah (GTU-s) di sini, hari ini.

GTU-s adalah garis panduan bersifat umum sebagai rujukan dan panduan agensi agama, khususnya tanpa mengetepikan undang-undang dan peraturan sedia ada yang sedang berkuat kuasa di agensi masing-masing.

GTU-s juga boleh digunakan oleh mana-mana agensi untuk melaksanakan usaha dan operasi pengurusan organisasi supaya selari dengan kehendak syariah.

Dalam pada itu, Najib ketika berucap pada majlis sama berkata pelancaran dua mercu tanda terbaru negara iaitu KIP serta Tren Aliran Transit Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) fasa kedua yang dilancarkan di stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX) Kuala Lumpur semalam, bukti Malaysia bukan negara gagal.

“Pelancaran projek infrastruktur pengangkutan awam moden bertaraf dunia adalah ‘the real Kajang move’ yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Apakah ini gambaran negara gagal? Apakah ini gambaran pentadbiran muflis? Adakah ini (contoh) yang membawa kepada Malaysia yang hancur dan perlu diselamatkan? Inilah sebenarnya contoh kehebatan dan keunggulan Malaysia yang harus dibanggakan,” katanya.- www.bharian.com.my

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *