Home » Citra Yadim » Labuan destinasi ketujuh penerbangan prihatin YADIM-MASwings

Labuan destinasi ketujuh penerbangan prihatin YADIM-MASwings

Sebahagian daripada peserta yang menyertai Program Penerbangan Prihatin YADIM-MASwings.

LABUAN- Program penerbangan prihatin kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah dengan kerjasama MASwings telah memilih Labuan sebagai destinasi ketujuh semenjak program itu dimulakan pada tahun 2012.

“Program kemasyarakatan itu yang memberi peluang kepada anak-anak yatim merasai pengalaman menaiki perkhidmatan kapal terbang merupakan salah satu usaha tanggungjawab sosial masyarakat dari pihak MASwings selain mengadakan program sekolah angkat dan ceramah kerjaya di Sabah,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif MASwings, Aminuddin Zakaria kepada pemberita di sini malam tadi.

Majlis Makan Malam Sempena Program Penerbangan Prihatin YADIM-MASwings di Labuan itu juga turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.

Menurut Aminuddin lagi, pihaknya bersama YADIM akan meneruskan usaha murni ini dimana selain ianya membuka peluang kepada anak-anak yatim merasai pengalaman menaiki kapal terbang, ia juga dapat membuka minda dan memberikan pengalaman baru kepada mereka.

Bagi Pengarah YADIM Zon Sabah, Samin Ongki, harapan beliau adalah masyarakat tidak melihat Syarikat MASwings bukan hanya sekadar syarikat penerbangan semata-mata bahkan syarikat tersebut telah berkongsi apa yang mereka ada dengan masyarakat dengan menyantuni golongan anak-anak yatim yang merupakan kesayangan Rasullulah s.a.w.

“Saya berharap program ini dapat dikembangakan ke peringkat antarabangsa iaitu mengunjungi bandar-bandar seperti Bandar Seri Begawan di Brunei Darulsalam, Tarakan Indonesia dan lain-lain,” ujar Samin.

“Pada tahun ini pihak YADIM bersama MASwings juga akan membuat aktiviti iaitu taklimat  kerjaya dalam bidang penerbangan  ke sekolah-sekolah terpilih di Sabah, dan bagi permulaan Sekolah Menengah Sains Sabah Kota Kinabalu telah dipilih untuk tujuan tersebut dalam waktu terdekat ini,” ujarnya lagi.

“ Bila kita menyebut tentang kerjaya penerbangan, masyarakat hanya berpandangan kerjaya seperti juruterbang, pramugara dan pramugari sahaja dalam bidang itu namun banyak lagi bidang seperti bidang kejuruteraan turut boleh diceburi oleh para pelajar dalam bidang penerbangan,” Samin menambah lagi.

Seramai 40 orang anak-anak yatim dari empat rumah anak yatim di Sabah iaitu  Rumah Anak Yatim Sakinah Papar, Aman Beaufort, Rumah Anak Yatim Kampung Langsat, Ranau dan Rumah Home Tuaran telah menaiki penerbangan MASwings dari Kota Kinabalu ke Labuan semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Zainal Madasin serta  Eksekutif Kanan Komunikasi dan Penjenamaan Komersil MASwings, Rozanah Robert.-Penerangan Labuan

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *