Home » Muamalah » Lunaskan hutang sebelum ajal menjemput

Lunaskan hutang sebelum ajal menjemput

KEMATIAN itu pasti. Di akhirat kelak, manusia akan melalui mahkamah Allah untuk menentukan pengakhiran kesudahan yang kekal.

Pastinya, kita semua mengharapkan mendapat buku suratan amalan dengan tangan kanan, seterusnya menjamin kita masuk ke syurga Allah SWT.

Apabila kematian ibu atau bapa, antara yang menjadi tanggungjawab waris terutama anak-anak selain menguruskan pengebumian adalah memastikan hutang-piutang mereka diselesaikan.

Cumanya, sebahagian besar kita hanya menumpukan kepada hutang wang ringgit atau pun yang berbentuk harta-benda. Ramai yang terlupa tentang ‘hutang’ ibu bapa kita dengan Allah lebih-lebih lagi dalam bab puasa.

Ibadah puasa adalah kewajipan ke atas umat Islam yang mukallaf. Sekiranya terdapat hari yang tidak berpuasa disebabkan ada keuzuran ataupun tidak, ia wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan pada lain hari. Jika orang itu tidak mengqada puasa sehingga akhir hayatnya, maka dia masih berhutang kepada Allah SWT dan menjadi tanggungjawab keluarga atau warisnya menyelesaikan hutang puasa itu.

Mengenai puasa ganti bagi orang yang telah meninggal dunia oleh waris, ada perselisihan dalam kalangan ulama fiqh. Pendapat al-Syafieyah dalam pendapat yang kuat, jika ada yang meninggal dunia maka terpulang kepada wali sama ada mahu dibayar dengan berpuasa atau membayar fidyah. Ini termasuk puasa nazar. Pendapat ini disokong oleh Imam al-Nawawi rahimahullah.

Qada puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia ini terbahagi kepada dua keadaan:-

Seseorang yang belum sempat mengganti puasanya oleh kerana dia berada dalam ke­uzuran seperti sakit atau musafir, maka jumhur ulama mengatakan dia tidak memikul apa-apa tanggungan dan tidak dikira berdosa. Dengan kata lain, tidak perlu qada puasa kerana baginya, puasa adalah sesuatu kefarduan yang belum sempat ditunaikannya.

Jika dia mati dalam kea­daan boleh mengerjakan puasa ganti, dalam hal ini kebanyakan ulama mengatakan walinya tidak wajib menggantikan puasanya. Bagi Qaul Jadid Mazhab Syafie, tidak boleh seseorang itu menggantikan puasa orang lain, sama se­perti solat. Adapun dalam Mazhab Hanbali, hukum menggantikan puasa bagi waris adalah sunat ataupun mustahab (diga­lakkan). Menurut Mazhab Syafie (Qaul Jadid) dan Mazhab Hanbali, wali wajib memberi makan bagi setiap bilangan hari puasa yang ditinggalkannya dengan secupak makanan (al-Fiqh al-Islami, cetakan ke 3, 2/681).

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang mati dan masih menanggung puasa, maka ber­puasalah bagi pihak oleh walinya. (Muttafaq ‘alaih)

Mengulas hal ini, ulama kontemporari, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata, adalah sunat atau mustahab bagi waris mengqada puasa bagi pihak ibu atau bapa yang telah meninggal. Waris itu termasuklah anak-anak yang bersedia berpuasa bagi pihak ibu bapanya. Jika dibahagi-bahagikan puasa yang terhutang sebanyak 30 hari dengan enam orang anak, maka setiap anak boleh puasa qada lima hari bagi pihak orang tuanya.

Pada masa sama, waris atau anak-anak boleh juga memilih untuk membayar fidyah ke atas hari-hari puasa yang ditinggalkan oleh ibu bapa. Berkaitan ini, para ulama berpendapat para waris wajib melaksanakan urusan fidyah berkenaan sebagaimana tanggungjawab melangsaikan hu­tang-hutang yang lain.

Ini disandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Ibn Abbas r.a bahawa Nabi SAW telah didatangi oleh seorang lelaki yang bertanya tentang ibunya yang mati tetapi masih mempunyai tanggungjawab puasa, adakah boleh ia menunaikannya. Jawab ba­ginda SAW: Ya, hutang Allah lebih utama ditunaikan.

Pendapat ini diperkukuhkan dengan hadis nabi SAW yang bermaksud: Sesiapa yang mati dan di atasnya tanggungjawab puasa, hendaklah ia memberi makan fakir miskin setiap hari. (Riwayat al-Tirmizi).

Namun begitu, para waris digalakkan (sunat) menggantikan puasa berkenaan bagi pihak si mati sebagaimana hadis Nabi Muhammad SAW daripada Saidatina Aisyah r.ha yang bermaksud: Sesiapa yang mati dan di atasnya tanggungjawab puasa, hendaklah para waris berpuasa bagi pihak­nya. (Riwayat Muslim).

Dalam hal ini, Imam al-Syaukani lebih cenderung menjelaskan maksud hadis tersebut dengan makna “para waris me­lakukan sesuatu yang seumpama puasa iaitu memberi makan”. Pendapat ini selaras dengan pandangan Ibnu Hajar yang dikemukakan di dalam kitab Fathu al-Bari. Apabila telah dijelaskan fidyahnya, tidak perlu lagi waris mengqada puasa tersebut.

Jawatankuasa tetap Fatwa Arab Saudi pernah ditanya me­ngenai seorang wanita tua yang tidak mampu berpuasa Ramadan. Wanita tersebut sudah terlalu tua dan sakit selama tiga tahun. Jawapannya: “Jika begitu situasi yang dijelaskan, wanita tersebut wajib memberi makan (fidyah) kepada orang miskin pada setiap hari yang dia tidak berpuasa Ramadan bagi tempoh tiga tahun tersebut, dengan memberi 1/2 saa’ gandum, kurma, beras, jagung atau apa sahaja makanan asasi yang anda memberi makan kepada keluarga.” (al-Lajnah al-Daa’imah)

Bagi kita yang masih berhutang puasa fardu yang lepas, ambillah peluang mengqadanya dalam baki masa kira-kira 100 hari sebelum menjelangnya Ra­madan tahun ini. Janganlah me­nunggu sehingga ke saat-saat akhir dalam Syaaban yang kemudiannya menyebabkan kita tidak sempat mengganti puasa yang ditinggalkan pada tahun-tahun sebelumnya. – TV14

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *