Home » Langit Terbuka » Majlis Tahfiz Negara ditubuhkan tahun depan

Majlis Tahfiz Negara ditubuhkan tahun depan

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) berkata, kerajaan akan meminda Seksyen 97 Akta 505 Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 (Wilayah Persekutuan) bagi tujuan penubuhan Majlis Tahfiz Negara - Foto SelangorKini

KUALA LUMPUR – Majlis Tahfiz Negara bakal ditubuhkan tahun depan bagi membolehkan usaha menyelaras dan mengawal selia sekolah tahfiz swasta yang berdaftar dengan kerajaan negeri, dilaksanakan secara berkesan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh, berkata bagi tujuan itu, kerajaan akan meminda Seksyen 97 Akta 505 Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 (Wilayah Persekutuan).

Katanya, ia akan dilakukan pada sidang Dewan Rakyat kali ini bagi memperluaskan kuasa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) mengawal selia sekolah agama Islam.

“Ketika ini, kita baru ada Dasar Pendidikan Tahfiz Negara yang dibawa kerajaan terdahulu dan sebagai langkah ke hadapan, kita akan mewujudkan Majlis Tahfiz Negara awal tahun depan. Majlis ini akan menyelaras semua sekolah tahfiz swasta yang berdaftar dan kita menyarankan semua sekolah tahfiz untuk berdaftar dengan MAIN.

“Kewujudan majlis ini bukan saja akan membolehkan kerajaan menjamin tahap keselamatan institusi tahfiz, tetapi juga menaik taraf aspek pensijilan dan penarafan sekolah tahfiz swasta.

“Pindaan undang-undang itu turut bertujuan memasukkan definisi sekolah tahfiz sebagai sekolah agama Islam kerana ketika ini, sekolah tahfiz tidak termasuk dalam kategori terbabit.

“Dalam hal ini, kita berharap kerajaan negeri akan meminda enakmen kawalan sekolah agama untuk memasukkan definisi sekolah tahfiz sebagai sekolah agama,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Fuziah berkata, penubuhan majlis itu selari penggubalan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara berpandukan lima teras, iaitu memantapkan aspek undang-undang dan penguatkuasaan, selain memperkenalkan modul institusi yang diiktiraf.

Katanya, ia termasuk memantapkan kurikulum institusi tahfiz supaya sesuai dengan pendidikan arus perdana, memperkasa urus tadbir institusi tahfiz dan mewujudkan sistem pengiktirafan serta pensijilan.

“Dalam rangka mencapai lima teras itu, kerajaan turut memperkenalkan tiga model, iaitu model kurikulum bersepadu, tahfiz tura dan tahfiz kemahiran,” katanya.

Fuziah berkata, institusi tahfiz swasta digalak mendaftar dengan kerajaan negeri, bukan saja untuk layak menerima bantuan diperuntukkan kerajaan dalam Belanjawan 2019 berjumlah RM50 juta bagi sekolah tahfiz, tetapi juga meningkatkan penarafan kurikulum disediakan di institusi berkenaan.

“Ia juga membolehkan kita memantau tahap piawaian kesihatan dan keselamatan di setiap institusi tahfiz swasta supaya mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *