Home » Wacana » Mampukah amalan kita menghantar kita ke syurga?

Mampukah amalan kita menghantar kita ke syurga?

Oleh HANIF MUDHOFAR

Keupayaan mengawal perasaan di saat gembira dan sedih boleh menghalang seseorang daripada sifat sombong dan membangga diri. Ini kerana, ketika seseorang berjaya melakukan sesuatu kebaikan, dia sedar bahawa kejayaannya itu hanyalah atas izin Allah jua. Dan di saat dia gagal melakukan kebaikan yang diinginkan, dia yakin bahawa masih ada peluang baginya untuk melakukannya lagi. Orang-orang yang mempunyai pegangan agama biasanya lebih terdorong untuk mengerjakan amal soleh, sebab dalam ajaran dogmatik-normatif, mereka dijanjikan sesuatu yang maha nikmat tapi masih abstrak, iaitu ganjaran pahala dan nikmat syurga.

Pemahaman bahawa syurga akan diperolehi selepas kehidupan di dunia menjadikan kenikmatan ini masih abstrak. Padahal, kenikmatan syurga itu sebenarnya sudah boleh dinikmati seseorang ketika masih hidup di dunia. Hakikat ini terdapat dalam sebuah ungkapan yang sangat masyhur, iaitu “al-jannatu tahta aqdam al-ummahat,” ertinya syurga ada di bawah telapak kaki ibu. Maksudnya adalah kenikmatan syurgawi akan dirasakan oleh seseorang yang memuliakan ibunya (baca: kedua ibu bapa) dengan ketulusan dan kesungguhan hati. Kemampuan untuk dapat menikmati syurga dimensi dunia ini bergantung kepada kemampuan seseorang untuk memahami ciri-ciri syurga yang telah dipaparkan di dalam al-Quran.

 

Karakteristik syurga

Paling tidak, ada tiga karakter dasar yang dimiliki oleh syurga, antara lain: Unsur keindahan, unsur keabadian, dan unsur keredaan.

Pertama, sesuatu yang sangat indah, damai dan menyejukkan mata (keindahan yang maksimum). Al-Quran menyifatkannya dengan kalimat “tajri min tahtiha al-Anhaar,” iaitu terdapat pemandangan air sungai yang mengalir di bawahnya. Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT di tanah Arab, yang mempunyai keadaan alam yang cukup panas dan gersang sebab terdiri daripada padang pasir nan luas. Ketika masyarakat Arab melihat baik langsung mahupun tidak langsung atau hanya sekadar membayangkan panorama alam berupa aliran sungai yang mengalir indah terbentang di bumi padang pasir tentunya sudah mampu membuat mereka teruja dan merasa seperti sedang hidup di syurga.

Kadar keindahan itu sifatnya sangat subjektif. Adakalanya seseorang sudah meletakkan kekagumannya ketika melihat gunung dan bukit-bukau terbentang indah. Tetapi ada juga yang melihatnya hanya sekadar hamparan hijau yang biasa-biasa sahaja. Begitu juga ada orang yang merasa sangat bahagia dan selesa ketika melihat pantai dengan desiran ombak, namun sebahagian lagi tidak merasakan yang demikian. Begitu pula dengan benda-benda yang lain. Apabila seseorang mempunyai kekuatan rasa yang baik, sehingga mampu menangkap isyarat-isyarat keindahan yang sebenarnya sudah disediakan oleh Allah SWT di bumi manusia ini, maka pada saat itu juga ia telah mampu menikmati syurga.

Kedua, sesuatu yang kekal, tiada pernah berkurang mahupum hilang. Al-Quran menyebutnya “khalidina fiha Abadan,” iaitu kekal di dalamnya. Orang-orang yang sudah dimasukkan ke dalam syurga tidak akan pernah berpaling untuk meninggalkan syurga dan tidak akan pernah mengalami kematian seperti halnya ketika di dunia. Bermacam bentuk kenikmatan di syurga disediakan untuk mereka tidak akan pernah habis ataupun berkurang sebab kenikmatan di syurga bersifat kekal. Itulah aturan yang ada di syurga dan mereka mentaatinya. Orang-orang yang menjalani ketaatan secara istiqamah bererti ia sedang menjalani kehidupan syurgawinya di dunia. Oleh kerana itu, seseorang yang istiqamah dalam segala aspek kebaikan tidak akan pernah merasa bosan, jenuh dan rugi melaksanakan apa yang diperintahkan Tuhan Rabbul ‘Alamin. Bahkan, mereka yang sudah terbiasa melakukan perbuatan baik cenderung terdorong untuk melakukan kebaikan-kebaikan yang lain pula.

Ketiga, unsur reda atau ikhlas. Dalam al-Quran dinyatakan dengan kalimat “radhiya Allahu ‘anhum wa radhu’ anhu,” iaitu Allah SWT meredai mereka dan mereka pun reda dengan pemberian Allah SWT. Hati yang reda adalah kualiti hati tahap tertinggi kerana ia tidak menghendaki kepentingan-kepentingan yang tidak tulus masuk dalam hati yang reda ini. Menjadi orang yang reda memerlukan suatu proses manakala kadar prosesnya juga berbeza-beza mengikut keadaan diri seseorang. Ada yang mampu mencapainya dengan masa yang singkat, ada pula yang berjaya dengan masa yang relatif lama.

Reda ini terletak dalam hati manusia, sehingga sukar untuk meneka seseorang itu termasuk kategori orang yang reda atau tidak. Pada hemat penulis, ketika seseorang belum mampu untuk memiliki hati yang reda, maka sebaiknya ia menerima dahulu keadaan hati yang sedang ia rasakan saat itu. Dengan demikian ia sudah jujur dengan dirinya sendiri, dan kejujuran itulah yang boleh menghantarnya menuju ke zon ikhlas. Segala aktiviti manusia yang didasari dengan ketulusan hati akan memberi kesan baik dalam kehidupannya, sebab ia sedang beraktiviti layaknya aktiviti di negeri syurga yang dikelilingi rahmat, kenikmatan dan kebahagiaan yang nyata.

 

Memurnikan Amal Soleh

Al-Quran telah memberikan banyak contoh kepada manusia untuk berbuat baik, di antaranya adalah berbuat baik kepada ibu bapa, mendirikan solat, bersedekah, berpuasa, saling hormat-menghormati sesama manusia, menjaga ketertiban umum, menguruskan alam dengan baik, membantu orang yang sedang kesusahan, bekerja dengan jujur, mengoptimumkan kemampuan diri, bahkan tidak menyakiti hati orang lain pun dicatat sebagai suatu kebaikan, dan lain-lain lagi.

Manusia tidak dituntut untuk melaksanakan semua perintah Tuhan, melainkan sesuai kadar kemampuan diri masing-masing. Orang-orang yang melakukan amal kebaikan seperti yang dinyatakan tadi mungkin akan merasakan bahawa tiket ke syurga telah diperolehinya. Pengajaran dari Surah Fathir ayat 37 perlu diambil iktibar. Firman Allah SWT yang bermaksud, “…Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami nescaya kami akan mengerjakan amal yang soleh berlainan dengan yang telah kami kerjakan’. Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan? maka rasakanlah (azab Kami) dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolongpun.” (Fathir: 37)

Ayat di atas mendedahkan adanya sebuah kesalahan terhadap amal soleh mereka, sehingga mereka ingin keluar dari neraka supaya boleh mengerjakan amal soleh yang lain yang mampu menghindarkan mereka dari azab api neraka. Mereka dinyatakan dalam ayat yang lain sebagai orang-orang yang rugi. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”. (al-Kahf: 103-104)

Merasa sudah melakukan amal soleh dengan sebaik-baiknya ternyata merugikan diri sendiri jika timbulnya penyakit hati iaitu sombong dan riak dengan segala amalan yang dilakukan. Atas dasar apa timbulnya rasa sombong dan riak itu sementelah segala kemampuan yang dilakukannya itu sendiri berasal daripada rahmat Allah SWT? Ketahuilah bahawa Allah SWT Maha Pengasih dan Maha Penyayang dan Dia tidak mungkin menolak segala amal kebaikan yang dilakukan hamba-hamba-Nya kecuali atas sesuatu yang dilarang-Nya.

Oleh hal yang demikian itu, kefahaman tentang perkara ini boleh dijadikan panduan kepada manusia untuk selalu introspeksi diri atas segala amalan yang dikerjakannya. Mungkin saja ketika ia sedang atau telah berbuat baik, dalam hati kecil mereka timbul niat yang tidak dibenarkan, misalnya melakukannya hanya kerana ingin dipuji, dihormati, atau sebab ingin popular atau boleh jadi ada kecenderungan lain yang mengotori hatinya sehingga ia tidak tulus melaksanakannya semata-mata demi Allah SWT. Sepertimana firman-Nya dalam Surah al-Insan ayat sembilan yang bermaksud, “(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih.”

Ayat ini boleh menjadi peringatan dan sekali gus menjawab persoalan tentang mengapa tertolaknya suatu amal yang dikerjakan manusia. Justeru, jika kita hendak berbuat kebaikan, maka niatkan semata-mata kerana mengharapkan keredaan Allah SWT. Buang jauh-jauh keinginan untuk dipuja dan dipuji atau mengharapkan balasan bahkan mengharapkan ucapan terima kasih.

Masuk syurga atau tidak, diberi pahala atau tidak, dihormati orang atau tidak, itu semua tidak ada ertinya jika Allah tidak reda. Tugas manusia hanyalah berbuat baik terhadap diri sendiri, orang lain, dan alam semesta dengan kesungguhan hati, serta mengoptimumkan segala anugerah yang diberikan Tuhan untuk mengabdikan diri kepada-Nya dalam bentuk amal soleh yang berkualiti dan ikhlas. Adapun balasan berupa pahala dan syurga dengan segala kenikmatannya baik di dunia mahupun di akhirat adalah bonus semata-mata.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.” (al-Hadid: 23) – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *