Home » Muamalah » Masa depan Bitcoin penuh misteri

Masa depan Bitcoin penuh misteri

SEBILANGAN orang telah lama bercakap mengenai Bitcoin, malah sebilangan mereka telah aktif membeli dan mengumpul mata wang maya itu sejak bertahun-tahun lalu.

Sementara sebilangan lagi mula aktif selepas nilai mata wang kripto tersebut menunjukkan trend kenaikan pada tahun 2014. Namun, mata wang itu dilihat menjadi semakin popular pada 2017 selepas menyaksikan lonjakan besar.

Selain Bitcoin yang merupakan antara wang kripto paling popular, dikatakan terdapat lebih 1,000 mata wang kripto lain seperti Kraken, BitFinex, BitStamp, Litecoin dan Ethereum.

Ada mata wang tersebut masih berusaha bersaing dengan Bitcoin, manakala sebilangan muncul dan kemudian lenyap begitu sahaja atas pelbagai sebab.

Kerancakan urus niaga mata wang kripto ini turut mencetuskan tindakan balas daripada kerajaan dan agensi-agensi penguat kuasa kerana nilai dagangan yang besar mencetuskan persoalan mengenai peraturan dan undang-undang.

Pakar kewangan meramalkan pasaran mata wang kripto boleh mencecah AS$1 trilion pada tahun ini.

Keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa khususnya agensi percukaian suka atau tidak terpaksa memahami mengenai mata wang kripto sekali gus berusaha membentuk kerangka bagi memastikan mereka yang terbabit dalam urus niaga mata wang ber­kenaan tidak dapat lari daripada membayar cukai.

Kerajaan Korea Selatan merupakan antara yang paling lantang menyuarakan hasrat untuk mengha­ramkan urus niaga Bitcoin dan mata wang kripto lain di negara berkenaan malah beberapa negara turut membangkitkan mengenai pentingnya dilaksanakan mekanisma kawalan terhadap mata wang tersebut.

Apa yang menarik mengenai Bitcoin ini ialah nilainya selepas mula diperkenalkan amat rendah iaitu AS$0.08 pada Julai 2010. Jumlah itu mula me­nunjukkan momentum kenaikan pada tahun 2014 terutama apabila individu terkaya dunia ketika itu, Bill Gates membuat satu kenyataan bahawa Bitcoin lebih baik berbanding urus niaga mata wang biasa.

Kenyataan tersebut ternyata memberi impak besar apabila nilai Bitcoin mula berlegar sekitar AS$1,300 (RM5,100) sebelum terus meningkat sehingga mencatat harga paling tinggi dalam sejarah mata wang berkenaan apabila melepasi AS$19,000 (RM74,500) pada pertengahan Disember 2017.

Namun, seperti ramalan beberapa pihak, kedudukan mata wang berkenaan begitu rapuh kerana tidak bersandarkan kepada apa-apa asas kecuali berdasarkan spekulasi apabila menjunam kepada AS$7,000 (RM27,500) minggu lalu iaitu yang terendah sejak 2014.

Malah, seorang pakar kewangan, Nouriel Roubini mengeluarkan kenyataan yang lebih menakutkan apabila meramalkan nilai mata wang kripto itu bakal kembali kepada kosong.

Beliau yang dikenali sebagai Dr. Doom mendakwa kedudukan mata wang itu amat berisiko disebabkan sebilangan orang memanipulasikan pasaran untuk meraih keuntungan.

Di sebalik kenyataan itu, seorang penganalisis Cameron Winklevoss yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Gemini Exchange, mendakwa bahawa mata wang kripto akan terus bertahan dan berdaya saing.

Katanya, nilai mata wang berkenaan akan kembali meningkat dengan nilai 40 kali ganda berbanding nilai semasa, malah bakal mengatasi nilai emas pada masa akan datang.

Kini terpulang kepada diri masing-masing untuk menilai baik buruk urus niaga Bitcoin dan mata wang kripto ini. Tepuk dada, fikirlah dengan matang. – KOSMO

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *