Home » Analitis » Media Sosial Yes, Fitnah No!

Media Sosial Yes, Fitnah No!

Dengan fungsinya yang sukar dikawal, internet menyajikan bukan saja maklumat formal dan baku tetapi juga maklumat yang kurang jelas kesahihan sumbernya. Kebimbangan ini mula dirasai. Masakan tidak, jika salah memilih maklumat yang disajikan maka kesannya amat buruk.
Impaknya dalam sekelip mata, seorang sahabat akan berubah menjadi musuh manakala pemerintah akan kehilangan kewibawaannya. Berita itu datang dengan cepat sehingga kebanyakkan kita tidak sempat untuk melaksanakan perintah Allah sepertimana maksud ayat al-Quran, surah al-Hujurat ayat ke-enam yang bermaksud:
”Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidiki dahulu (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesal apa yang kamu telah lakukan.”
Walau bagaimanapun, kewujudan internet dengan segala kesannya tidak dapat dielakkan kehadirannya dalam masyarakat moden hari ini. Seperti mana produk teknologi lain yang banyak memberi manfaat kepada umat manusia, kita yang mesti memanfaatkan teknologi itu. Bukan kita yang dimanfaatkan dan diperhambakan oleh teknologi.
Apa yang perlu kita lakukan adalah sejauh mana kita memberi pendidikan dan pengajaran yang secukupnya kepada masyarakat Islam dalam menghadapi cabaran teknologi maklumat. Dengan pengetahuan dan bekal ilmu yang mantap, umat Islam dengan sendirinya akan dapat memilih dan menapis sebarang maklumat yang menerajang segala sendi kehidupan.
Tindakan mengharamkan atau menyekat media sosial tidak hanya akan memburukkan imej negara di peringkat antarabangsa, akan tetapi tindakan itu hanya akan semakin meningkatkan rasa ingin tahu yang meledak-ledak yang jika tidak dapat dikawal akan dapat merosakkan keharmonian masyarakat. Sekatan internet juga akan memberi persepsi negara kita terasing daripada komuniti global dan bagaikan hidup dalam dunia antah berantah.
Kita memahami dan menyedari sepenuhnya kerisauan pihak berkuasa bahawa kemudahan media sosial ini dalam kadar dan konteks tertentu telah dimanfaatkan dan diputarbelitkan oleh pihak-pihak tertentu bagi menghentam kerajaan. Akan tetapi cara penyelesaian yang arif dan bijaksana tentu bukan dengan mengharamkan media sosial, akan tetapi dengan mengemaskini peruntukan perundangan sedia ada bagi mengekang maklumat liar dan tidak bertanggungjawab.
Kita bersetuju, kebebasan ada hadnya. Namun bukan bermakna penutupan akses internet menjadi satu-satunya jalan bagi mengawal keadaan. Kita sepakat, yang menyebarkan fitnah mesti diheret ke muka pengadilan. Kita tidak berbelah bahagi dan berkomitmen sepenuh hati untuk menerbit dan menyiarkan maklumat yang sahih dan jernih.
Berita dusta yang disiarkan melalui internet khasnya media sosial dengan tujuan untuk menimbulkan huru-hara adalah sebahagian daripada agenda siri-siri fitnah yang dilakukan oleh manusia fasik dan tidak bertanggungjawab semata-mata untuk menimbulkan suasana tidak harmoni di negara kita.
Pengajaran dari surah al-Hujurat ayat enam itu jelas membawa maksud suatu larangan keras terhadap sikap mudah percaya dengan berita yang dibawa oleh seorang yang fasik. Ayat ini menuntut kita supaya sentiasa bijak dan berwaspada dalam menilai sesuatu berita yang diterima. Desas-desus mahupun laporan, terutama yang datang daripada sumber asing dan orang-orang yang tidak mengenalinya perlu diuji dan dibuktikan terlebih dahulu kesahihannya. Dikhuatiri, jika terus dipercayai dan seterusnya diceritakan kepada orang lain pula, maka kesannya akan membawa kemudaratan sehingga menyebabkan kita menyesali akibatnya.
Ayat tersebut juga menjelaskan kepada kita agar tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman dan memandang jelek terhadap seseorang sehingga menyebabkan orang itu dihukum kerana berita yang tersebar itu mungkin ternyata hanya suatu pembohongan semata-mata. Dari Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Cukuplah seseorang itu sudah dianggap berdosa dengan dia menyebarkan segala berita yang didengar tanpa disiasat terlebih dahulu.” (HR Muslim).
Sama ada berita itu hanya bertujuan untuk kepentingan diri mahupun mencetuskan sensasi kosong, satu perkara penting yang perlu diambil perhatian ialah bahawa berita yang tersebar di media sosial itu merupakan cerminan hati dan perasaan rakyat marhaen. Boleh jadi ia memantulkan suara kebenaran meskipun terasa pahit kita menelannya.
Memang betul, tidak semua berita yang disebarkan di media sosial terjamin kesahihannya. Kita perlu lebih teliti memilih satu berita. Akan tetapi, apabila kita betul-betul menginsafi dari hati nurani yang paling dalam, boleh jadi suara rakyat yang kritikal itu dilandasi bagi menyuarakan suara kebenaran. Rakyat sekarang sudah celik teknologi dan mudah memperolehi maklumat dari segala penjuru. Meminjam peribahasa yang masyhur, kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang.
Hakikatnya, masyarakat yang beriman dan berakhlak ialah masyarakat yang tidak mudah menerima dan mempercayai sesuatu berita itu dengan terburu-buru melainkan diselidiki terlebih dulu dengan saksama kebenarannya. Jika tidak ingin tergolong di kalangan orang-orang yang dikutuk Allah kerana penyebaran fitnah, maka berwaspadalah terhadap gejala-gejala yang menjurus ke arah itu.
Malangnya, ada sesetengah pihak yang menggunakan nama atau simbol agama, tetapi hakikatnya tidak mencerminkan ajaran Islam itu sendiri dengan melulu menyiarkan satu berita tanpa meneliti terlebih dahulu kesahihannya. Agaknya, nafsu syahwat untuk kepentingan diri dan puaknya mengatasi segala kebenaran hakiki yang sepatutnya lebih didahulukan dan diutamakan.
Jauhilah daripada memfitnah, berbohong, mencaci, mencarut, memaki hamun, mengutuk, membuat hukuman sendiri, menggalakkan keganasan, menghasut perbuatan jahat dan menyebarkan khabar angin yang kini bermaharajalela di dalam media sosial. Ia merebak umpama wabak dengan amat cepat lantas sukar untuk kita menepis dan melaksanakan perintah Allah sepertimana perintah Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat ke-enam itu.
Fitnah bukan sahaja memberikan kesan buruk kepada individu atas kepalsuan fakta yang disebarkan, bahkan lebih jauh akan meruntuhkan sesebuah negara. Bagi orang yang difitnah, ia akan mendapat aib yang besar dan akhirnya berlakunya permusuhan. Reputasinya bukan sahaja terjejas, moralnya terhakis pesonanya.
Disebabkan kesan buruk itulah Allah SWT menegaskan sebanyak 34 kali dalam al-Qur’an. Walaupun perkataan fitnah membawa erti yang berbeza-beza, Allah SWT memberikan ingatan kepada manusia bahawa berpunca daripada fitnahlah akan menyebabkan umat Islam berpecah belah, lunturnya keimanan seseorang dan boleh menyebabkan malapetaka yang lebih besar.
Mereka yang menaburkan fitnah merupakan orang yang zalim, sebagaimana dijelaskan menerusi surah al-Anfal ayat 25: Dan peliharalah daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu.Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaan-Nya.”
Allah SWT turut memerintah agar fitnah itu bukan sahaja wajib dihindar, bahkan diperang berdasarkan kemudaratannya kepada agama: Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi.”(surah al-Baqarah:193).
Dalam hal ini Allah juga berfirman yang bermaksud: “Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.” (surah an-Nur : 15)
Dalam ayat yang lain Allah juga berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian”) Surah an-nur : 19
Fitnah yang berleluasa akan menyebabkan manusia akhirnya diselubungi kesesatan dan sanggup pula menjual agama bagi meraih kesenangan kebendaan. Syed Abul Hassan Ali Nadwi (1914-1999), seorang ulama terkenal dari India ketika mengulas dan menterjemahkan surah al-Kahfi berpendirian: ciri terpenting yang membentuk peradaban kebendaan hari ini adalah penipuan dan penafian yang angkuh yang menampakkan dominasinya dalam semua aspek kehidupan. Tidak ada satu sudut kehidupan hari ini yang bebas daripada pengaruh yang merosakkan.”(Baca, Faith versus Materialism: The Message of Surat al-Kahfi (IBT, K. Lumpur: 2005).
Sesungguhnya, sehebat manapun satu fitnah dan kebohongan itu direka, ia tidak akan bertahan lama. Serapat dan seketat mana satu pendustaan itu cuba ditutup-tutupi, suatu saat ia pasti akan terdedah baik dengan cara yang disengaja mahupun tidak disengaja. Hanya kebenaran sejati yang akan terpacak kekal selama-lamanya.
Penyebaran maklumat dan fitnah melalui media sosial yang berlaku dewasa ini suatu saat mungkin berubah wajah dalam bentuk dan wahana lain sesuai dengan peredaran zaman. Namun yang pasti, segala bentuk fitnah dan maklumat liar tidak akan berhenti meskipun alat perantaranya sudah berubah. Tiada pilihan lain bagi umat Islam semua itu mesti dihadapi. Hanya dengan keimanan dan ketakwaan sahaja yang mampu menyelamatkan kita daripada perangkap maklumat dan fitnah yang sentiasa mengintai kita. Oleh: Mohd Shauki Abd Majid

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *