Home » Analitis » Meneguhkan Kesatuan Hati dan Kesepaduan Tindakan

Meneguhkan Kesatuan Hati dan Kesepaduan Tindakan

Oleh YUSRI MUHAMMAD

Mengamati perkembangan dan dinamika sosiopolitik ke belakangan ini yang menyaksikan berlakunya ancaman yang nyata terhadap martabat dan syiar Islam di negara ini, usaha dan perjuangan untuk perpaduan ummah menjadi perkara yang mendesak untuk segera direalisasikan. Selain itu, perpaduan ummah ini juga bagi mempastikan kesejahteraan dan kepentingan Islam sentiasa terjaga dan kekal dipertahankan.

Kepentingan perpaduan dan persatuan ummah ini mestilah merentasi politik kepartian dan “kepompong” aliran pemikiran atau mazhab yang selama ini dikatakan membelenggu umat Islam di Malaysia. Oleh sebab itu, Muktamar Majlis Amal Islam Malaysia (MAIM) yang dianjurkan baru-baru ini telah memberi fokus kepada usaha untuk menyatupadukan umat Islam khasnya dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Kita juga mengakui bahawa pada asasnya usaha-usaha untuk menyatupadukan umat Islam ini merupakan pekerjaan yang sukar. Tema perpaduan sentiasa menjadi tema yang panas dan kompleks terutama yang melibatkan kepentingan dan percaturan politik. Ia juga disebabkan wujudnya sudut pandang dan perspektif yang pelbagai. Malah, di sesetengah pihak wujud sikap sinikal dan menaruh syak wasangka terhadap usaha perpaduan ini kerana berasa terancam dan tergugat kedudukannya apabila usaha perpaduan ini menatijahkan sokongan dan sambutan yang menggalakkan umat Islam.

Walau bagaimanapun, usaha-usaha perpaduan ini mestilah diteruskan meskipun banyak onak dan kekangan menghadap ke arah itu. Tiada pilihan bagi umat Islam melainkan untuk secara terus-menerus meneguhkan kesucian hati dan kesepaduan tindakan bagi mengharungi misi suci untuk mendaulatkan maruah Islam ini. Persaudaraan sesama Islam mengatasi segala-galanya. Meskipun wujud kekurangan dan perbezaan dalam pendekatan yang digunakan terutama dalam konteks politik, akan tetapi lebih banyak aspek persamaan yang boleh dikongsi dan diperjuangkan secara bersama.

Menyatukan ummah dan mengelak perpecahan merupakan tugas-tugas kemasyarakatan (muamalat) yang mempunyai kedudukan yang penting, sehingga dihargai lebih tinggi berbanding ibadah-ibadah ritual. Dalam usaha memantapkan ukhuwah lslamiah ini, ia bukan sekadar penjelasan dari segi persamaan pandangan agama atau sekadar toleransi mengenai perbezaan pandangan melainkan yang lebih penting lagi adalah langkah-langkah bersama umat Islam sehingga dapat merasakan nikmatnya persaudaraan satu iman.

Persaudaraan dalam Islam berlandaskan iman kepada Allah, cinta kerana Allah. Ini berbeza dengan konsep persaudaraan sebangsa setanah air yang dilandasi sepenuhnya oleh semangat nasionalisme dan patriotisme yang sama. Seseorang mukmin yang merupakan saudara bagi mukmin yang lain mempunyai pertalian persaudaraan yang lebih kuat daripada pertalian darah di kalangan adik-beradik kandung. Pertalian keimanan inilah yang memperkukuh hubungan sesama individu dalam masyarakat, dan yang menjadikan masyarakat satu unit sosial yang tersusun rapi dan utuh.

Hanya tali Allah sahaja yang dapat memberi pegangan kepada semua orang dan dengan nikmat itu mereka dapat hidup sebagai saudara. Tiada yang dapat menyatukan hati melainkan persaudaraan kerana Allah iaitu persaudaraan yang membuang segala dendam kesumat, sikap penting diri serta kelompoknya. Janganlah langgar perintah Allah ini sekiranya kita benar-benar sayangkan agama, bangsa dan negara serta tidak ingin melihat kehancuran ummah di tangan kita sendiri.

Resolusi yang dicapai

Berdasarkan kepada kesedaran dan keinsafan itu, Muktamar MAIM menegaskan semula mustahaknya perpaduan ummah merentasi ideologi sebagai satu-satunya jalan bagi mendepani persoalan dan cabaran yang dihadapi umat Islam. Dalam resolusi yang terhasil daripada perbincangan yang mendalam dan berasaskan kepada tujuh (7) kluster kritikal seperti akidah, perundangan, pendidikan, dakwah dan ekonomi, peserta muktamar bersetuju untuk menggesa umat Islam bersatu dan dibina berpaksikan kepada al-Quran dan as-Sunnah dan berteraskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Pengukuhan perpaduan masyarakat Islam berasaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu melalui pendekatan berhemah, penuh beradab dan bijaksana. Pendekatan ini penting bagi mempastikan dakwah Islam menyentuh hati dan imej Islam yang penuh kasih sayang dan memberi rahmat kepada isi sekalian alam. Pengukuhan akidah juga bagi menjernihkan semula akidah umat Islam daripada terjahan sekularisme Barat dan ajaran yang menyeleweng seperti syiah dan liberalisme melalui pendekatan holistik di semua peringkat.

Perpaduan dan persatuan ummah perlu menjadi agenda prioriti umat Islam berbanding agenda lain. Mendahulukan agenda perpaduan juga bertepatan dengan prinsip fiqh awlawiyyat (fikah keutamaan) kerana berlakunya gempuran dan ancaman terhadap kesucian prinsip Islam yang semakin meningkat ke belakangan ini. Oleh itu, umat Islam perlu menumpukan sepenuhya dan berusaha secara bersungguh-sungguh bagi merealisasikan kemurnian dan ketulusan perjuangan ini.

Umat Islam perlu disedarkan dan dimatangkan bahawa usaha merealisasikan perpaduan ini perlu merentasi tembok pelbagai aliran pemikiran dan ideologi politik kepartian dan tertumpu kepada kerangka ummah yang bersandarkan kepada akidah dan amal makruf nahi munkar.

Meskipun sukar dan sentiasa mencetuskan pro-kontra, perpaduan ummah akan semakin mantap jika kesatuan dan kesepaduan politik dapat terlaksana. Oleh itu, semua pihak perlu melakukan inisiatif berterusan untuk membentuk pemuafakatan siasah demi menghasilkan perpaduan ummah dengan meletakkan keutamaan berjemaah berasaskan prinsip saling memahami (tafahum), saling bertanggungjawab (takaful), saling tolong-menolong (ta’awun) dan saling bertimbang rasa (tasammuh).

Resolusi muktamar turut mengambil berat terhadap isu-isu global yang memberi kesan kepada sistem dan keluhuran perlembagaan negara. Antara isu-isu global itu ialah berkenaan dengan isu hak asasi manusia dan undang-undang. Justeru, sebarang isu yang menggugat sistem perundangan negara, perlu diberi pendirian yang berprinsip dan tidak boleh dikompromikan. Sebarang isu yang datang dari luar, perlu disesuaikan dengan kehendak perlembagaan dan konteks sosial politik Malaysia.

Dalam konteks pendidikan, ia perlu digariskan bagaimana sistem dan kurikulum pendidikan menjurus kepada kerangka meletakkan pendidikan sebagai asas perpaduan ummah dan kesatuan masyarakat berbilang agama. Sebab itu, ia perlu bergerak secara proaktif serta responsif terhadap isu-isu pendidikan bagi mempastikan generasi muda terdidik dengan akidah, syariah, akhlak Islamiah, kepimpinan dan keutuhan jati diri.

Persoalan gejala sosial yang semakin kompleks dewasa ini juga perlu ditangani secara serius dengan pembabitan menyeluruh komponen Islam bagi membanteras gejala negatif ini. Salah satu kaedah yang berkesan ialah dengan menggerakkan Majlis Tindakan Dakwah Pengislaman (MTDP) untuk mewujudkan kolaborasi gerak kerja bersepadu program pengislaman dengan agensi-agensi yang mempunyai matlamat yang sama. Ulama dan umara perlu berganding bahu dan bekerjasama rapat bagi memerangi gejala yang merosakkan generasi muda, masyarakat dan negara.

Resolusi terakhir pula menekankan kepada usaha untuk memperkasa lagi dasar dan sistem ekonomi sedia ada yang menguntungkan umat Islam. Ini termasuklah meningkatkan kesedaran kepentingan agenda ekonomi dan kepenggunaan Islam dalam masyarakat. Institusi-institusi ekonomi sedia ada khasnya yang diasaskan untuk membela dan menjaga kebajikan kaum muslim, perlu berperanan lebih besar dalam perjuangan pembangunan ekonomi umat Islam.

Keadilan ekonomi dapat dirasai apabila kaum bumiputera dan Melayu Islam sebagai golongan majoriti di negara ini menikmati kejayaan agenda pembangunan negara. Antara perhatian utama ialah dengan membantu dan memperkasakan pasaran produk Muslim Bumiputera, mengadakan satu platform yang jelas, mengeluarkan artikel, belanjawan dan sumber maklumat mengenai ekonomi semasa, memperkukuhkan konsep “touch n stay” iaitu membantu sehingga mereka boleh berdikari serta mampu membantu memajukan orang lain.

Persatuan dan perpaduan ummah ini bagaimanapun tidak akan dapat tercapai sekiranya tanpa dibincangkan secara matang dan menciptakan persefahaman terlebih dahulu di antara semua komponen Islam. Perbincangan yang melibatkan banyak pihak dan mendapatkan persetujuan akan menghasilkan pelan tindakan yang berkesan dan terbaik dalam mendepani masalah yang timbul.

Persamaan rasa dan cita merupakan faktor dominan yang mendahului lahirnya persaudaraan hakiki, dan pada akhirnya menjadikan seseorang prihatin derita saudaranya, dengan menghulurkan tangan sebelum diminta, serta memperlakukan saudaranya bukan atas dasar ‘menerima dan memberi’. Umat Islam seperti satu jasad atau satu bangunan. Saling memelihara dan mengukuhkan antara satu sama lain.

Islam menekankan hal-hal tersebut, dan menganjurkan dicari titik temu persaudaraan. Bukan sahaja terhadap sesama Muslim, tetapi terhadap bukan Islam juga. Persaudaraan Islam merupakan idea sosial yang teragung. Sebarang perbuatan atau tindakan yang boleh merosakkan nilai ini dianggap merosakkan agama.

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *