Home » Muamalah » Mengenal Sistem Kewangan Islam

Mengenal Sistem Kewangan Islam

Oleh EZRY FAHMY

Sistem kewangan Islam kini dilihat sebagai satu komponen yang berdaya maju dan teguh dalam keseluruhan sistem kewangan negara dan sebagai suatu alternatif kepada sistem kewangan konvensional. Hal ini dapat dilihat daripada kepelbagaian produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam yang semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat Malaysia sehingga menjadikan jumlah deposit dan pembiayaan mencatat peningkatan yang ketara saban tahun.

Dalam komponen sistem ekonomi Islam yang luas, ekonomi Islam sebelum ini banyak terfokus kepada institusi zakat dan Baitulmal, namun dengan pembangunan ekonomi yang pesat sesuai dengan era globalisasi kini yang semakin rancak dalam aspek kewangan, kewujudan industri perbankan Islam, industri takaful, dan industri pasaran modal Islam telah menjadi nadi penting dalam membentuk suatu sistem kewangan Islam yang menyeluruh berlandaskan undang-undang Islam atau juga dilabel sebagai patuh Syariah.

Institusi perbankan Islam umpamanya, telah dilihat menjadi nadi utama dan terkedepan dalam mempromosi juzuk besar sistem ekonomi Islam yang komprehensif. Perbankan Islam boleh didefinisikan sebagai perbankan yang berlandaskan undang-undang Islam (Syariah), iaitu fekah muamalat (peraturan Islam dalam transaksi). Peraturan dan amalan di dalam fekah muamalat berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah dan sumber undang-undang Islam sekunder yang lain seperti kesepakatan pendapat oleh para ulama tentang sesuatu hukum Syariah (Ijmak), menyamakan perkara baharu yang tiada nas secara analogi (Qiyas) dan juga hasil usaha daripada para mujtahid mendapatkan sesuatu kesimpulan baharu melalui kajian atau penyelidikan berdasarkan sumber dan kaedah yang sah (ijtihad).

Peningkatan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan daripada institusi perbankan Islam semakin ketara apabila produk dan perkhidmatan yang dilabel patuh Syariah mendapat tempat di kalangan para pelabur di negara-negara Barat dalam menvariasikan portfolio pelaburan mereka. Hasilnya kita dapat lihat hari ini bagaimana peningkatan permintaan ini menyebabkan majoriti bank-bank ternama dunia semakin tertarik untuk memasuki pasaran kewangan Islam dan mewujudkan sekurang-kurangnya ‘Kaunter Perbankan Islam’ untuk memenuhi permintaan para pelabur. Setakat tahun 2012, jumlah aset kewangan Islam di peringkat global kini dijangka telah mencecah sehingga USD1,329.4 billion. Tidak hairanlah jika statistik oleh Bank Negara Malaysia menunjukkan perkembangan institusi perbankan Islam tempatan sejak beberapa tahun lalu lebih aktif berbanding konvensional.

Walaupun industri perbankan Islam kini hanya menunjukkan 1.6 peratus daripada keseluruhan jumlah aset 50 bank terbesar dunia (yang berjumlah USD66.2 trillion), industri perbankan Islam tetap menunjukkan pembangunan yang memberansangkan, berdasarkan purata pertumbuhan tahunan. Aset kewangan Islam di seluruh dunia juga dilihat telah bertambah daripada USD150 billion pada pertengahan tahun 1990-an dan dijangka mampu mencecah USD2.6 trillion pada tahun 2017 akan datang. Dan semua angka-angka yang merujuk kepada pertumbuhan ini diperolehi oleh industri perbankan Islam ketika mana aset kewangan global menurun akibat selepas terjadinya krisis ekonomi global.

Asas proses dalam penawarkan produk dan perkhidmatan oleh perbankan Islam mungkin dilihat sama dengan apa yang ditawarkan oleh perbankan konvensional terutamanya melibatkan prinsip asas dan umum dalam pengendalian sesebuah institusi perbankan, namun ramai yang kurang maklum bahawa institusi perbankan Islam mengguna pakai pelbagai kontrak Syariah dalam urus niaga kewangan, sekali gus menawarkan profil risiko dan pulangan yang berbeza dalam produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Kepatuhan yang tinggi terhadap prinsip Syariah di bawah kontrak yang tersendiri ini telah memelihara kewibawaan dan kesahihan urus niaga kewangan Islam. Namun ruang dan peluang dalam pasaran kewangan Islam ini menuntut urus tadbir Syariah yang menyeluruh.

 

Urus Tadbir Syariah

Urus tadbir Syariah merupakan nadi utama dalam memastikan operasi perbankan Islam ini patuh Syariah dalam keseluruhan aspek antaranya termasuklah mewujudkan Ahli Jawatankuasa Syariah diperingkat perbankan. Sebagai contoh, kesemua produk dan perkhidmatan yang akan ditawarkan kepada para pelanggan dan para pelabur perlu mendapatkan kelulusan Ahli Jawatankuasa Syariah. Selain daripada itu, nasihat Majlis Penasihat Syariah iaitu badan Syariah tertinggi yang ditubuhkan juga di peringkat Bank Negara Malaysia boleh diperoleh bagi memastikan keseragaman dalam pendapat dan amalan. Ahli-ahli jawatankuasa Syariah dan Majlis Penasihat Syariah kebanyakannya terdiri daripada para cendekiawan dan pakar Syariah dalam bidang perbankan dan kewangan Islam.

Di samping mewujudkan sistem perbankan yang alternatif kepada masyarakat dengan bebas daripada elemen-elemen yang diharamkan di dalam ajaran Islam seperti faedah (riba), ketidakjelasan (gharar), dan perjudian (maysir), sistem perbankan Islam telah membuktikan bahawa ia mampu menjadi suatu usul komersial yang berdaya maju. Menjadi suatu kewajiban juga untuk masyarakat mempromosi dan menyokong sistem perbankan Islam di negara kita, hal ini adalah kerana Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud: “…Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba…”.

Jika boleh dianalogikan tempoh kewujudan sistem perbankan Islam berbanding sistem perbankan konvensional, adalah tidak wajar untuk kita menarik kaki bayi yang baru bertatih, daripada membiarkannya meneruskan langkah pertama dalam perjalanan jauhnya hanya kerana beberapa salah faham. Tetapi hendaklah kita memastikan dia meneruskan langkah dan perjalanannya, ke arah yang betul, dengan langkah yang mantap. Dengan harapan ianya mampu membentuk suatu sistem yang mampu membantu hidup kita ke arah suatu cara hidup yang berteraskan Islam. – MAJALAH DAKWAH

Penulis ialah calon Ph.D dalam Kewangan Islam di Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF)

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *