Home » Langit Terbuka » MSWP tubuh Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah

MSWP tubuh Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom hari ini mengisytiharkan Penubuhan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP).

Mengikut statistik, sebanyak 50,521 kes didaftarkan di MSWP sepanjang tempoh 2013 hingga 2017.

Penubuhan mahkamah khas tersebut adalah satu inovasi bagi menyelesaikan masalah kelewatan penyelesaian kes di mahkamah syariah sehingga menimbulkan keluhan di kalangan masyarakat awam.

Cadangan penubuhan mahkamah khas ini dicetuskan sendiri oleh Ketua Hakim Syarie MSWP, YAA Tuan Haji Ibrahim bin Deris ketika membentangkannya kepada Dato’ Seri Jamil Khir selaku Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang bertanggungjawab kepada mengenai hal ehwal Islam bagi Wilayah-wilayah Persekutuan.

Mahkamah khas ini bakal diwujudkan di dua peringkat mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi Syariah bagi tuntutan nafkah dan hadhanah (RM50,000 dan ke atas) yang dikenali sebagai Mahkamah Tinggi Khas Hadhanah dan Nafkah.

Manakala di peringkat mahkamah rendah pula, diwujudkan Mahkamah Rendah Khas Perkahwinan dan Mahkamah Rendah Khas Nafkah.

Selain dari mendengar dan memutuskan kes-kes berkaitan perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah, Mahkamah Khas ini juga bertanggungjawab memastikan setiap perintah yang dikeluarkan oleh MSWP dilaksanakan dengan sewajarnya menurut perintah yang dikeluarkan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang berkaitan yang ada di negara ini.

Penubuhan Mahkamah Khas Perkahwinan Hadhanah dan Nafkah ini diharap dapat memberikan impak positif kepada masyarakat Islam yang berurusan di MSWP, seiring dengan keperluan membentuk institusi kekeluargaan yang harmoni bagi menunjangi keamanan dan kemakmuran negara. – SAHABAT SYARIE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *