Home » Semasa » Naik taraf pusat tahfiz

Naik taraf pusat tahfiz

Dana RM30 juta untuk infrastruktur bukan bayar gaji kakitangan – TPM

PUTRAJAYA 9 Okt. – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan peruntukan RM30 juta yang disalurkan kerajaan kepada pusat tahfiz di seluruh negara perlu digunakan untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur, bukannya membayar gaji kakitangan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, menerusi Bajet 2017, kerajaan juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM30 juta kepada pusat-pusat tahfiz namun 80 peratus daripada peruntukan itu digunakan untuk membayar gaji kakitangan pusat tahfiz.

“Saya menawarkan diri dan diterima oleh Perdana Menteri dan Jemaah Menteri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet yang menangani permasalahan ma­ahad tahfiz di seluruh negara.

“Kali ini bila saya diberikan tanggungjawab oleh Kabinet, saya akan pastikan RM30 juta ini mesti digunakan 100 peratus untuk menaik taraf maahad tahfiz,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Psikologi Modal Insan 2017 di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim dan Ke­tua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman.

Pada 15 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta disalurkan bagi membantu menaik taraf pusat tahfiz swasta di seluruh negara susulan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur.

Dalam pembentangan Bajet 2017 pada tahun lalu, Najib te­lah mengumumkan peruntukan RM30 juta bagi menyelaraskan pendidikan pusat tahfiz ke arah mencapai tahap persekitaran pembelajaran yang baik dan kondusif.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menzahirkan penghargaan kepa­da ahli-ahli kaunseling serta psikologi yang menghulurkan bantuan kepada pelajar-pelajar, ibu bapa serta tenaga pengajar yang mengalami trauma ekoran tragedi kebakaran pusat tahfiz berkenaan.

“Saya berjumpa dengan anak-anak tahfiz yang selamat, saya juga pergi ke bilik mayat, melihat setiap mayat yang terbujur kaku dan terbakar, saya lihat bagaimana luluhnya hati ibu bapa mang­sa.

“Jadi saya berterima kasih kepada ahli psikologi yang turut memberikan sumbangan dengan kerjasama bersama pakar kaunseling bagi membantu dalam memulihkan trauma dialami mangsa dan ibu bapa,” katanya.- www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *