Home » Wacana » Nilai seorang manusia

Nilai seorang manusia

Oleh Arissa. A

Apakah nilai bagi seorang manusia? Adakah dilihat pada paras rupa dan nasab keturunannya? Atau pada harta benda serta kekayaan yang dimilikinya?  Jawapannya tidak. Tidak sesekali manusia itu dinilai berdasarkan pada perkara yang bersifat duniawi.

Nilai seorang manusia adalah pada ketakwaannya kepada Allah SWT, iaitu menerusi amal soleh dan segala perbuatan yang dilakukan hanya kerana Allah.  Ini jelas disebut, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad dan rupa bentuk kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang kepada hati kamu. Maka sesiapa memiliki hati suci bersih, nescaya Allah amat mencintai orang tersebut. Ketahuilah! Wahai Anak Adam bahawa orang yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa di kalangan kamu.” (HR Muslim dan Tabrani)

Hadis di atas jelas menerangkan bahawa nilai dan taraf seseorang manusia bukanlah diukur daripada ketrampilannya yang menarik, bukan pula dari kemasyhuran atau ketinggian pangkatnya. Kayu pengukur yang sebenar di sisi Allah ialah iman yang bertapak di hati manusia. Iman yang diwarnai dengan keikhlasan, ketakwaan, keyakinan dan kepatuhan yang tulus ke hadrat Allah. Kemudiannya dipraktikkan dengan anggota badan dan seterusnya diwujudkan melalui perbuatan yang soleh.

Hati ialah tempat bertapaknya nilai kebaikan seperti khusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan sifat mahmudah yang lain.  Hati memainkan peranan penting dalam mencerminkan dan menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi serta jati diri seseorang.

Namun, di sebalik itu semua, terdapat juga maksiat hati yang perlu dijauhi oleh manusia iaitu seperti dendam kesumat, dengki, fitnah , riak, bakhil, takbur, ujub dan lain-lain lagi sifat yang tercela. Amalan tidak beretika dan bermoral yang semakin berleluasa di dalam masyarakat Islam kini, adalah petunjuk bahawa hati seseorang itu dipenuhi dengan maksiat, kotor, ketandusan nilai kerohanian yang luhur dan lari daripada prinsip ajaran Islam yang sebenarnya.

Peranan hati sangat penting kerana apa jua yang ada pada dasar hatinya akan menjadi niat dan apabila dizahirkan melalui anggota tubuh badan, ia menjadi cerminan apa yang tersemat di dalam hati.

Oleh sebab itu, niat perlu datang dengan keikhlasan hati. Ini bermaksud tujuan setiap sesuatu kerja dilakukan perlu dilihat sejauh mana keikhlasannya. Dengan demikian, ikhlas boleh diertikan sebagai “melakukan sesuatu amal perbuatan hanya semata-mata kerana Allah SWT.”

Manusia yang beramal dengan hati yang ikhlas akan dapat membentuk peribadi yang kuat, jiwa yang gigih dan keyakinan yang mendalam. Sesuatu kebaikan atau perbuatan yang ada “udang di sebalik batu” tidak boleh dikategorikan sebagai ikhlas.

Ikhlas dalam konteks berkerja bermakna tidak akan melaksanakan kerja yang diamanahkan itu sekadar “melepaskan batuk di tangga” atau bukan semata-mata kerana upah yang diterima setiap bulan.

Selain itu, orang yang ikhlas berkerja kerana Allah SWT akan menerima tanggungjawab mereka dengan keredaan dan sentiasa bersungguh-sungguh bagi menghasilkan kualiti kerja yang baik. Kerja yang bersulamkan keikhlasan pasti akan membuahkan keberkatan. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Umar bin al-Khattab RA. Ia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya sesuatu pekerjaan itu bergantung kepada niat dan sesungguhnya setiap orang akan memperolehi hasil sesuai dengan niatnya itu.”

Dengan kata lain, ikhlas dalam konteks pekerjaan adalah menganggap sesuatu kerja itu sebagai satu ibadah yang diwajibkan ke atasnya dan harus dilaksanakan dengan sempurna dan memuaskan.  Bekerja dengan niat yang ikhlas akan meningkatkan produktiviti dan dapat menghasilkan kerja-kerja yang bermutu. Keikhlasan itu juga akan dapat menjamin kehidupan yang mulia di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hijr ayat 39-40 yang bermaksud: “Iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis (ikhlas) di antara mereka.”

Justeru, amat besar kerugian yang akan menimpa mereka yang bukan mukhlis dan tidak ikhlas dalam mengerjakan segala bentuk amalan mereka. Diibaratkan seperti menuangkan pasir di dalam nasi yang akhirnya akan memusnahkan seluruh amalan mereka.

Pernahkah kita terfikir, bagaimana menjadi seorang yang ikhlas? Di sini disenaraikan beberapa perkara pokok yang boleh diamalkan bersama-sama iaitu:

  1. Perbanyakkan doa supaya diri kita terhindar daripada kesyirikan dan memohon sentiasa perlindungan daripada Allah SWT.
  2. Menyembunyikan amal kebaikan, iaitu segala kebaikan dibuat tanpa pengetahuan orang lain, adalah sebaik-baik amalan yang menjadikan kita manusia yang benar-benar ikhlas kerana Allah SWT dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk.
  3. Takut akan tidak diterima-Nya amalan baik yang dilakukan. Ini sering kali berlaku akibat timbulnya perasaan riak setelah melakukan amalan. Seelok-eloknya keikhlasan itu wujud sebelum dan selepas melakukan amalan baik.
  4. Tidak terpengaruh dengan perkataan manusia iaitu tidak menjadikan pujian dan celaan manusia sebagai penyebab untuk melakukan kebaikan kerana amalan tersebut tidak termasuk perbuatan yang
  5. Memandang rendah pada amal kebaikan yang dilakukan agar dapat mendorong diri kita untuk melakukan perbuatan amal tersebut dengan lebih kerap dan ikhlas dan tidak cepat berpuas hati dengan amalan baik yang dilakukan.

Sebagaimana kata-kata Saidina Ali bin Abi Thalib, “nilai seseorang itu sesuai dengan kadar tekadnya, ketulusannya sesuai dengan kadar kemanusiannya, keberaniannya sesuai dengan kadar penolakannya terhadap perbuatan jahat dan kesucian hati nuraninya sesuai dengan kadar kepekaannya terhadap kehormatan dirinya.”

Sesungguhnya orang yang berjiwa ikhlas dan bersikap benar adalah ciri seorang hamba yang berusaha memperlengkapkan dirinya sebagai insan yang bertakwa dan tidak terhingga tinggi nilainya di sisi Allah.

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *