Home » Langit Terbuka » Panduan Pembentukan Umat Berakhlak Mulia tema World #QuranHour

Panduan Pembentukan Umat Berakhlak Mulia tema World #QuranHour

SHAH ALAM: Kempen mengajak orang ramai membaca, memahami serta beramal dengan al-Quran melalui World #QuranHour meneruskan misinya tahun ini bermula 22 Ramadan atau 7 Jun ini.

Tahun ini, World #QuranHour membawa tema `Panduan Pembentukan Umat Berakhlak Mulia’ melalui surah Al Hujurat iaitu dengan menekankan kebaikan surah berkenaan yang dianggap sesuai dengan kesan dialami negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Pegawai Penyelidik dan Modul, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail berkata, selepas PRU-14 terdapat kumpulan tertentu mengutuk pihak yang berlainan fahaman politik.

“Ia bukanlah surah khas sempena PRU-14 tetapi kebaikan surah Al Hujurat yang mempunyai 18 ayat itu cukup komprehensif dalam merujuk kepada perkara ini (PRU-14). Walaupun surah ini pendek, ia cukup untuk membentuk akhlak sepanjang zaman.

“Melalui surah Al Hujurat ia secara keseluruhannya bercerita bagaimana mencapai akhlak mulia dengan merujuk kepada al-Quran, bukannya memandai-mandai,” katanya ketika ditemui di Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Fazrul berkata, kesan amalan surah Al Hujurat akan membentuk akhlak apabila seseorang tidak akan mudah menghina atau merendahkan orang lain, sebaliknya melihat kelemahan yang ada pada diri.

Menurutnya, surah Al Hujurat juga sesuai untuk masyarakat bukan Islam dalam menggalakkan pembentukkan akhlak yang lebih baik dan ia menjadi asas pemilihan surah berkenaan sebagai tema World #QuranHour pada kali ini.

Beliau berkata, surah Al Hujurat akan dibacakan secara Tadabbur dan Tazakkur atau bacaan ayat disertai makna selepas bacaan Al Fatihah dan lima ayat surah Al Baqarah yang dipimpin seramai 10 qari.

World #QuranHour dijangka berlangsung pada 10 hari terakhir Ramadan, bermula jam 10 pagi hingga 1 petang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang turut dihadiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Fazrul berkata, World #QuranHour juga akan diadakan serentak di seluruh negeri dan orang ramai diminta turut serta walau di mana jua mereka berada dengan mengambil peluang membaca serta memahami mesej yang ingin disampaikan melalui surah berkenaan.

“Bacaan surah akan bermula pada 11 pagi sehingga 12 tengah hari secara serentak.

“Orang ramai yang hadir ke UIAM turut digalakkan membawa al-Quran yang mempunyai terjemahan supaya dapat menghayati maksud surah,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *