Home » Langit Terbuka » Pastikan arah kiblat hari ini

Pastikan arah kiblat hari ini

Orang ramai diseru tidak melepaskan peluang untuk menyemak arah kiblat masing masing

 

KUALA LUMPUR – Umat Islam di Malaysia berpeluang untuk memastikan arah kiblat di rumah atau masjid pada 5.27 petang 16 Julai 2018 (hari ini) apabila matahari berada tepat di atas Kaabah di Makkah, menurut Planetarium Negara.

“Oleh kerana matahari berada tepat di atas Kaabah, maka bayang-bayang sinaran matahari bagi semua objek yang ada di permukaan bumi pada ketika itu akan menghala ke arah Kaabah dan boleh dijadikan panduan bagi menentukan arah kiblat secara semulajadi,” menurut Planetarium Negara dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Orang ramai perlu mencari objek yang berdiri tegak yang dapat menunjukkan bayang-bayangnya apabila terkena sinaran matahari pada waktu itu.

“Orang ramai boleh mendirikan tiang di kawasan bersesuaian dan memastikan tiang berkenaan betul-betul tegak dengan menggunakan peralatan pelaras buih udara yang biasanya digunakan untuk pembinaan bangunan sekiranya tiada objek tegak, selain berpandukan pinggir dinding bangunan yang betul-betul tegak untuk mencari bayang-bayang matahari pada waktu dan tarikh berkenaan.

“Tepat pukul 5.27 petang dan sekiranya cuaca baik di mana anda dapat melihat bayang-bayang matahari daripada tiang yang anda dirikan atau daripada pinggir bangunan atau sebarang objek tegak lain, anda perlu melakarkan garisan bayang-bayang matahari yang terbentuk sama ada di atas tanah atau kertas atau sebarang permukaan yang mudah dilukis atau diguris,” menurut Planetarium Negara.

Kenyataan itu turut menyebut garisan yang telah berjaya dilakar itulah yang merupakan hala ke arah Kaabah atau arah kiblat jika mereka berdiri di satu hujung garisan dan menghadap ke hujung satu lagi garisan pada arah matahari terbenam.

“Orang ramai hendaklah memastikan garisan yang telah dilakar itu dapat dikekalkan tanpa sebarang gangguan atau usaha untuk memadamkannya bagi rujukan pada masa hadapan.
“Setelah arah kiblat diketahui maka bandingkanlah dengan arah kiblat yang biasanya anda ikuti sama ada di rumah sendiri atau di masjid dan surau. Sekiranya terdapat perbezaan maka buatlah pembetulan yang sewajarnya,” tambah kenyataan itu. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *