Home » Langit Terbuka » PDRM kendali siasatan tipu pakej umrah

PDRM kendali siasatan tipu pakej umrah

Sebanyak 296 kes penipuan membabitkan umrah dan ziarah diambil tindakan mengikut Kanun Keseksaan dengan nilai kerugian dianggar RM11.8 juta bagi tempoh 2012 hingga 2017. (gambar hiasan)

KUALA LUMPUR: Siasatan kes penipuan pakej umrah membabitkan ejen palsu adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC).

Dalam jawapan bertulis kepada Datuk Sapawi Ahmad Wasali (BN-Sipitang) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, pihak kementerian menjelaskan ia kerana kesalahan berkenaan adalah jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

“Menurut statistik PDRM bagi tempoh 2012 hingga 2017, sebanyak 296 kes penipuan membabitkan umrah dan ziarah diambil tindakan mengikut Kanun Keseksaan dengan nilai kerugian dianggar RM11.8 juta,

“Statistik Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi tuntutan pengguna berkaitan pakej umrah dan ziarah untuk tempoh sama mencatat 3,770 kes tuntutan dengan nilai tuntutan berjumlah RM23.21 juta,” menurut kementerian itu lagi.

Kementerian turut menjelaskan, pihaknya hanya boleh mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit berdasarkan peruntukan dalam Akta 482 iaitu Akta Industri Pelancongan 1992, termasuk mengenakan kompaun terhadap pesalah laku.

Sehubungan itu, siasatan dan tindakan lanjut diambil oleh kementerian ke atas pihak yang didapati bekerjasama dengan ejen palsu, terutama agensi pengendalian umrah dan ziarah berlesen mahupun yang tidak berlesen.

“Bagi tempoh 2012 sehingga 2017, kementerian telah mengambil tindakan kompaun berjumlah RM515,500 ke atas 97 kes berkaitan umrah,” katanya.

Bagi 2017 saja, sebanyak 18 kes dikompaun dengan jumlah RM129,500 atas pelbagai kesalahan termasuk bekerjasama dengan agensi pelancongan tanpa lesen, menjalankan perniagaan tanpa lesen, membuka cawangan tanpa lesen, menjalankan perniagaan bukan seperti yang dilesenkan, dan tidak membuat perjanjian dengan jemaah.

Dalam jawapan bertulis berasingan kepada Loke Siew Fook (DAP-Seremban), MOTAC berkata, operasi penguatkuasaan bersepadu dijalankan dengan agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM untuk memastikan tidak warga asing menjadi pemandu pelancong di Malaysia.

“Kementerian melesenkan 28 kategori bahasa bagi pemandu pelancong termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Jepun, Sepanyol dan lain-lain bahasa,” katanya. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *