Home » Langit Terbuka » Pelantikan Richard Malanjum Tidak Jejas Kedudukan Islam

Pelantikan Richard Malanjum Tidak Jejas Kedudukan Islam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, beliau dilantik atas 'seniority' (paling kanan) dan sudah sampai layak, malah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V turut memperkenankan.

PUTRAJAYA – Pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara tidak akan menjejaskan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tidak timbul isu Islam tidak selamat susulan pelantikan Malanjum dan ia hanya persepsi yang digambarkan menerusi media sosial.

Beliau berkata, tindakan itu adalah motif bagi menggambarkan kerajaan baharu hari ini seolah-olah tidak menjaga Islam dan Melayu sedangkan ia tidak ada kena mengena.

“Beliau dilantik atas ‘seniority’ (paling kanan) dan sudah sampai layak, malah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V turut memperkenankan dan ini bermakna, baginda tidak akan memperkenankan sesuatu yang bercanggah dan merosakkan agama memandangkan baginda adalah pelindung agama.

“Ya betul, kita mencadangkan tetapi baginda boleh saja untuk tidak bersetuju sekiranya apa yang dikata di luar sana, menggugat Islam dan sebagainya,” katanya kepada media ketika ditemui selepas Rumah Terbuka Aidilfitri Kompleks Nasyrul Quran di sini, hari ini.

Rabu lalu, Malanjum mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu di hadapan Sultan Muhammad V pada satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, persepsi yang ditimbulkan itu adalah kenyataan politik untuk merendah-rendahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kononnya tidak menjaga Islam.

“Bagi saya, kewujudan Ketua Hakim Negara adalah untuk melaksanakan keadilan dan Islam itu mementingkan keadilan.

“Justeru, saya meminta orang ramai berhenti menimbulkan perkara yang boleh menjejaskan.

“Ini bukan soal menjejaskan kerajaan kami (PH) tetapi menjejaskan keutuhan dan kemakmuran yang selama ini terbina atas proses undang-undang yang kita semua terima pakai dan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja pastinya tidak akan buat sesuatu untuk merosakkan agama,” katanya. – BERITA HARIAN ONLINE

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/448759/pelantikan-richard-malanjum-tidak-jejas-kedudukan-islam

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *