Home » Naratif Al-Ghazali » Pendidikan dan aktiviti Imam Al Ghazali

Pendidikan dan aktiviti Imam Al Ghazali

Perjalanan al-Ghazali mencari ilmu dimulai menerusi pendidikan awalnya dalam lingkungan orang tuanya sendiri. Beliau mempelajari al-Qur’an dan asas-asas ilmu agama dengan ayahnya dan kemudiannya berguru dengan Imam Ahmad bin Muhammad al-Razkani di pekan Tus.  Semasa di Tus, al-Ghazali dan adiknya, Ahmad diajar membaca, menulis, menghafaz al-Qur’an, ilmu nahu, bahasa Arab, ilmu matematik dan ilmu fiqah. Al-Ghazali amat meminati ilmu fiqah dan perundangan Islam manakala Ahmad menyukai ilmu tasauf. Selain al-Razkani, al-Ghazali juga berguru dengan Yusuf an-Nassaj, seorang ahli sufi terkenal. Setelah berusia 18 tahun, al-Ghazali meninggalkan sekolah yang didirikan oleh Nizamul-Mulk itu menyambung pengajian ke Jurjan. Beliau hanya berada di Tus selama dua tahun. Ketika belajar di Jurjan, beliau berguru  pula dengan Abu  Nashr al-Ismaili dan as-Syeikh Ismail bin Saadah al-Ismail (meninggal 487H/1067M) selama lima tahun.

Al-Ghazali amat gemar mencatatkan apa sahaja yang dipelajarinya dan menyimpan setiap catatan itu sebagai sesuatu yang amat disayanginya. Pada tahun 470H, al-Ghazali yang sudahpun berkahwin berhasrat untuk pulang ke kampong halamannya. Semua catatannya disusun dan diikat untuk dibawa pulang bersama. Dalam perjalanan pulang, sekumpulan perompak telah menghalang perjalanan itu dan semua barangan telah diambil. Sewaktu melihat barang-barang yang dibawa itu dirampas, al-Ghazali berkata: “Kalian boleh ambil semua barang-barangku, tapi tolong jangan ambil yang satu ini.” Mendengarkan kata-kata itu, perompak tersebut menjangkakan tentulah “yang satu ini” merupakan barangan yang paling bernilai atau mahal harganya. Meluru para perompak merampas dan membukanya. Tidak ada apa-apa yang berharga, kecualilah menemukan lembaran kertas yang dipenuhi dengan catatan.

Melihat kepada barangan itu, para perompak mula bertanya: “Apa ini? Untuk apa engkau menyimpannya?”. Lalu al-Ghazali menjawab: “Itulah barang-barang yang tidak berguna bagi kalian tapi amat berguna bagiku”. Perompak itu bertanya lagi: “Apa gunanya?” Jawab al-Ghazali: “Ini adalah hasil pelajaranku selama beberapa tahun. Jika kalian merampasnya dariku, maka ilmuku akan habis dan usahaku yang bertahun-tahun itu akan sia-sia.” Soal perompak: “Hanya yang ada di dalam lembaran-lembaran inikah ilmumu?.”  Terang al-Ghazali: “Ya!”. Perompak itu kemudiannya berkata: “Ilmu yang disimpan di dalam bungkusan dan dapat dicuri sebenarnya bukanlah ilmu. Fikirkanlah nasib dirimu baik-baik.”[1] Akhirnya al-Ghazali tersentak dan mula berfikir, dengan menuruti amalan daripada guru-gurunya membuat catatan di lembaran kertas akan menyebabkan dirinya boleh kehilangan sesuatu yang berharga. Beliau mula berusaha untuk melatih otaknya untuk belajar memahami, mengkaji dan menganalisis setiap ilmu yang pelajarinya untuk disimpan di dalam “buku otak.” Dengan cara ini, al-Ghazali tidak akan merasakan kerugian jika kehilangan buku catatan dan akhirnya beliau berkata: “Sebaik-baik nasihat yang membimbing kehidupan pembelajaranku adalah nasihat yang ku dengan dari mulut seorang perompak.” Akhirnya, kaedah pembelajaran al-Ghazali berubah, dari mebuat catatan kepada amalan menghafal buku-buku catatan itu keseluruhannya. Perubahan itulah menjadikan al-Ghazali terkenal dalam pelbagai ilmu dan disifatkan sebagai ensiklopedia pada zamannya. Perubahan cara belajar itu turut menjadikan beliau amat peka akan keperluan mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan dirinya dari sebarang kerugian atau melakukan lebih banyak kesilapan.

Pada tahun 473H (1053M), ketika berusia 23 tahun, al-Ghazali berhijrah pula ke Naisabur untuk belajar di Sekolah Tinggi Nizamiyyah. Semasa menuntut di situ, al-Ghazali berguru pula dengan Abu al-Ma’ali dan Dhiyauddin al-Juwaimi yang terkenal dengan panggilan Imam al-Haramain[2]. Beliau juga turut belajar teori dan amalan tasauf daripada al-Faramdi, seorang pakar bidang fiqah dan ketua ahli sufi. Al-Faramdi merupakan murid kepada Abu al-Qasim al-Qusyairi, pengarang kitab al-Risalatul Qusyairiyyah. Menerusi bimbingan al-Faramdi, al-Ghazali mengamalkan latihan-latihan tasauf tetapi tidaklah sampai ke puncak ilham suci dari “alam tinggi.” Selain al-Faramdi, al-Ghazali turut berguru ilmu tasauf dengan Abu Bakar al-Waraq dan Abu Bakar al-Tousi.[3] Al-Ghazali merupakan seorang murid al-Imam al-Haramain yang paling pintar dan gemarkan penyelidikan sehingga diberikan jolokan sebagai “lautan yang dalam.”[4]Selepas kematian Imam al-Faramdi pada tahun 477H dan Imam al-Haramain pada tahun 478H, seorang ulama’ fiqah mazhab Syafi’e, al-Ghazali berpindah ke Mu’askar (juga dikenali sebagai ‘Askar) di Iraq atas jemputan Perdana Menteri Dinasti Saljuk, Nizamul-Mulk[5], dibawah Khalifah Abbasiyah di Baghdad.

Al-Ghazali diminta supaya dapat memberikan kuliahnya sekali dalam setiap dua minggu di hadapan para pembesar dan alim ulama’.  Ketika itu, al-Ghazali memegang jawatan sebagai Ketua Penasihat kepada Perdana Menteri. Kuliah setiap dua minggu itu berlangsung selama lima tahun. Pada tahun 484H, ketika berusia 34 tahun, al-Ghazali dilantik sebagai profesor kanan di Universiti Nizamiyah[6] dan beliau menempa sejarah sebagai professor termuda yang pernah dilantik dalam sejarah universiti itu. Perlantikan itu adalah penghormatan tertinggi universiti berdasarkan kecemerlangan ilmu dan kepetahan al-Ghazali berhujah[7]. Dalam masa yang sama, beliau mempunyai murid seramai 300 orang dan setiap kuliahnya turut dihadiri oleh beratus orang pembesar yang ingin belajar daripadanya. Al-Ghazali diakui sebagai seorang ulama’ utama mazhab Syafi’e, ahlis-sunnah wal-jama’ah yang selari dengan aliran pemikiran Asy’ari.[8]

Setelah mengajar selama empat tahun, pada tahun 488H/1068M, al-Ghazali meninggalkan dunia akademik atas alasan berhadapan dengan pelbagai konflik dalaman (skeptik dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki) dan luaran (penghargaan yang diterimanya termasuk memperoleh kedudukan sebagai pensyarah kanan universiti). Keadaan ini diceritakan sendiri oleh al-Ghazali mula berlaku pada awal bulan Rejab 488H:

“..I was continuously tossed about between the attractions of wordly desires and the impulses towards eternal life. In that month the matter ceased to be one of the choice and became one of compulsion. God caused my tongue to dry up so that I was prevented from lecturing. One particular day I would make an effort to lecture in order to gratify the hearts of my following, but my tongue would not utter a single word not could I accomplish anything at all.”[9]

Beliau kemudiannya meninggalkan Baghad mengasingkan diri selama 10 tahun, termasuk dua tahun memencilkan diri ke Damsyik, Syria. Kisah pengasingan diri itu diceritakan seperti berikut:

In due course, I entered Damascus, and there I remained for nearly two years with no other occupation than the cultivation of retirement and solitude, together with religious and ascetic exercises, as I busied myself purifying my soul, improving my character and cleansing my heart for the constant recollection of God most high, as I had learnt from my study of mysticism. I used to go into retreat for a period in the mosque of Damascus, going up the minaret of the mosque for the whole day and shutting myself in so as to be alone…I continued at this stage for the space of ten years, and during this period of solitude there were revealed to me things innumerable and unfathomable.”[10]

Keadaan ini menggambarkan bahawa al-Ghazali sebenarnya tidak pernah berhenti untuk mencari kebenaran. Sikap tersebut telah diakui bermula sejak kecil lagi dan perubahan itu menjadi begitu ketara selang dua puluh tahun: ketika berumur 20 tahun beliau mengambil keputusan berkahwin; dan ketika menghampiri tempoh dua puluh tahun kedua membuat keputusan meninggalkan dunia akademik. Atas keyakinannya untuk mencari kebenaran, oleh kerana berlakunya pertembungan antara keraguan dan syak terhadap kepercayaan terhadap bentuk pemikiran, hampir semua bidang ilmu dikajinya, termasuk pelbagai aliran falsafah sama ada yang tidak percayakan Tuhan (zindik) ataupun ilmu yang bersandarkan kepada akal.[11] Ketika pengasingan tersebut, al-Ghazali sebenarnya meneruskan pengembaraan mencari ilmu, dengan merantau ke beberapa tempat untuk berguru dengan ulama’-ulama’ sezamannya. Meskipun semasa berada di Baghdad dan sudah bergelar professor misalnya, al-Ghazali masih merasakan dirinya serba kekurangan, sedangkan dalam sesetengah keadaan telah berjaya mengalahkan kedudukan pembesar, pemimpin-pemimpin tersohor (darul khifalah) dan para ulama’.

Al-Ghazali juga pernah dilantik sebagai Imam Iraq selepas Imamah Khurazan yang tsiqah iaitu Abdul Ghafir.[12] Kesan dari sikap skeptiknya, setelah melakukan pengasingan selama sepuluh tahun, al-Ghazali sebenarnya memperoleh pengetahuan yang jelas mengenai ilmu-ilmu halus (ad-Daqiqah) yang menyebabkan perubahan besar dalam dirinya. Kemuncak kepada perubahan itulah akhirnya al-Ghazali berjaya menyusun kitab Ihya Ulumudin[13] dan kitab-kitab yang diringkaskan seperti al-Araba’in dan risalah-risalah yang lain. Bagaimanapun penerbitan kitab Ihya Ulumudin itu di sebalik mendapat pujian yang tinggi, turut dikecam atas alasan penggunaan hadits-hadits oleh al-Ghazali dikatakan tersangat lemah, kerana beliau banyak mengambil hadits-hadits daif. Menurut Hamka, hal ini berlaku disebabkan al-Ghazali bukanlah seorang yang mendalami bidang hadits, bagaimanapun kesan yang ditinggalkan oleh kitab ini amat besar kepada manusia kerana al-Ghazali telah berjaya mengembalikan jiwa agama dalam diri orang Islam yang sudah mula terjebak dalam pelbagai aliran pemikiran yang berdasarkan ketakjuban ilmu rasional atau ilmu Kalam.[14] Bagaimanapun, kelemahan dan serangan yang pernah dilakukan ke atas kitab tersebut akhirnya dapat dimaafkan setelah ramai para ulama’ mengiktiraf Ihya Ulumudin sebagai sebuah kitab terbaik.

Menurut al-Subki, kalaulah orang Islam tidak mempunyai buku lain selain buku Ihya Ulumudin, itu sudah memadai dan al-Nuri pula berpendapat, “buku Ihya Ulumudin hampir menjadi al-Qur’an. Abdullah al-Yafi menjelaskan, seorang ulama’ terkenal dari Maghribi, Abu Hasan Ali bin Hadzam amat membenci dan mengingkari kitab ini. Ia memerintahkan agar kitab ini dibakar. Pada suatu malam, Ali bin Hadzam bermimpi bahawa seolah-olah beliau memasuki ke dalam masjid, di situ ternampak Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar as-Siddik, Umar al-Khattab dan al-Ghazali. Kesemuanya berada di sekeliling Nabi Muhammad SAW. Dalam mimpi tersebut, beliau melihat Nabi Muhammad SAW, para sahabat terdekat membenarkan isi kitab Ihya Ulumudin dan memberikan penilaian baik. Akhirnya, Ali bin Hadzam bertaubat dan sejak itu beliau mempelajari kitab Ihya Ulumudin sehingga turut terkenal sebagai ahli ilmu zahir dan batin[15].

Selepas menyedari mengenai penggunaan hadits dalam karya besar tersebut ada kelemahannya, al-Ghazali selepas itu mempelajari dengan begitu tekun dengan berguru dengan Abu Shal Muhammad bin Abdullah al-Hafsi bin Sunan Abi Daud, yang merupakan murid kepada al-Hakim Abu Fath a-Hakimi mengenai Shahih al-Bukhori; berguru dengan Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad al-Khawani mengenai Maulid an-Nabi; berguru dengan Abu al-Fatyan ‘Umar al-Ru’asai dalam Shahih al-Bukhori dan Shahih Muslim. Al-Ghazali merupakan seorang ulama’ besar yang sentiasa berada dalam keadaan dahaga kepada ilmu pengetahuan dan kerana itulah beliau dikatakan telah mengamalkan usaha pembelajaran sepanjang hayat, walaupun pada hakikatnya beliau adalah seorang ulama’ besar. W Montgomery Watt menyifatkan, selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, al-Ghazalilah merupakan tokoh ilmu yang paling layak mengambil alih peranannya dengan berkesan dalam menjadikan Islam sebagai agama dakwah dan mendidik manusia sejagat.[16]

Sebagai seorang pengkaji yang serius, al-Ghazali bukan sahaja menjadi penghafal tegar bahkan ikut menguji sejauhmanakah kebenaran ilmu yang diperolehnya. Keadaan itu sebenarnya yang menjadi punca kenapa beliau pada tahun 488H, meninggalkan Baghdad untuk menunaikan haji dan kemudiannya beruzlah ke Syam dan seterusnya menetap di Baitul Maqdis selama 10 tahun. Kebanyakan waktu digunakan untuk beruzlah (bertapa) dan khalwat, riadah (latihan) dan  mujahadah diri, sibuk mensucikan dan menjernihkan hati dengan berzikir kepada Allah SWT serta beriktikad di menara masjid Damsyik sepanjang siang.[17]Pada tahun 499H, al-Ghazali pulang ke kampong halamannya untuk mengajar dengan uslub baharu, niat yang baharu, yang sama sekali berbeza dengan kaedah yang dilakukan semasa di Madrasah an-Nazamiyyah.  Dalam catatannya, al-Ghazali menjelaskan perkara ini:

Aku tahu bahawa sekalipun aku kembali menyebarkan ilmu, maka aku tidak kembali, kerana kembali ialah melakukan semula perkara yang sudah berlalu, dan aku pada zaman itu menyebarkan ilmu yang aku memperolehi kedudukan, dan aku menyerukan kepadanya dengan perkataan dan amalanku, dan pada waktu itu menurut maksud dan niatku, adapun sekarang maka menyerukan kepada ilmu yang dengannya meninggalkan kedudukan, dan dengannya diketahuinya darjat kedudukan. Inilah dia sekarang niat, maksud dan cita-citaku, Allah mengetahui yang demikian daripadaku. Dan aku ingin memperbaiki diriku dan orang lain, dan aku tidak tahu adakan aku akan sampai kepada tujuanku, atau akan dininasakan maksudku?[18]

Sekembalinya dari beruzlah, beliau menetap di Nisabur dan mengajar semula di Madrasah Nizamiyyah atas permintaan sultan. Pada ketika itu beliau dilantik sebagai presiden di Universiti Nizamiyyah dan selepas empat tahun kembali ke Tus untuk menyerahkan diri kepada cara hidup bersendirian dan bertafakur. Pada tahun 499H, atas desakan Fakhr-Mulk, anak kepada penaung universiti tersebut, Nizamul-Mulk, sekali lagi al-Ghazali didesak untuk menerima jawatan sebagai ketua ilmu kalam. Dengan rasa berat hati, al-Ghazali akhirnya menerima tawaran tersebut dan tidak lama kemudian, mengundurkan diri untuk mengasaskan sebuah madrasah untuk mengajar ilmu Kalam dan tasauf. Di samping mengajar, al-Ghazali terus menumpukan perhatiannya menulis dalam pelbagai bidang dengan menyesuaikannya fahaman sufi yang dipeganginya.

Al-Ghazali mempunyai ramai murid, antaranya ialah: Abu Thahir Ibrahim Ibn Muthahir al- Syebbak al-Jurjani (w.513 H); Abu Fath Ahmad Bin Ali Bin Muhammad Bin Burhan (474-518 H), berasal dari mazhab Hambali dan akhirnya bertukar ke mazhab  Sya’fie, penulis kitab, antaranya, al-Ausath, al-Wajiz, dan al-Wushul;Abu Thalib, Abdul Karim Bin Ali Bin Abi Tholib al-Razi (w.522 H), amat memahami kitab Ihya Ulumuddin  dan turut mempelajari ilmu fiqah; Abu Hasan al-Jamal al-Islam; Ali Bin Musalem Bin Muhammad Assalami (w.541 H) , menulis kitab Ahkam al- Khanatsi;Abu Mansur Said Bin Muhammad Umar (462-539 H), beliau belajar fiqah pada imam al-Ghazali sehingga menjadi ulama’ besar di Baghdad; Abu al-Hasan Sa’ad al-Khaer Bin Muhammad Bin Sahl al-Anshari al-Maghribi al-Andalusi (w.541 H), belajar fiqah dengan Imam al-Ghazali ketika di Baghdad; Abu Said Muhammad Bin Yahya Bin Mansur al-Naisabur (476-584 H), belajar fiqah dan menulis  kitab al-Mukhit fi Sarh al- Wasith fi Masail, al-Khilaf;dan, Abu Abdullah Al Husain Bin Hasr Bin Muhammad (466-552 H), belajar fiqah dan menulis kitab Minhaj al- Tauhid dan Tahrim al- Ghibah.

Pada tahun 484 H/1091M, semasa bertugas sebagai professor kanan di Madrasah Nizamiyyah di Baghdad, al-Ghazali begitu tekun mempelajari bidang falsafah terutama pemikiran al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Miskawih dan Ikhwan al-Shafa sehingga berjaya menghasilkan buku falsafahnya yang berjodol Tuhaful al- Falasiyah dan Maqasidul-Falasafiah. Buku al-Munqidh min al-Dala’l turut mempunyai perbahasan mengenai falsafah. Menurut Prof. H.N. Rafiabadi, pengaruh al-Ghazali melangkau pelbagai disiplin ilmu tetapi bagi orang Islam mereka lebih mengenali beliau dalam bidang teologi berbanding masyarakat Barat memberikan perhatian terhadap falsafah dan kesufian:

Ghazali’s views concerning metaphysics and epistemology have been altogether neglected by people. If some research has been done, it is confined only on paying tributes and regards to al-Ghazali. But a systematic or problem-wise study of Ghazali’s philosophy is still awaited. In modern world, unless Ghazali’s philosophy is presented in the content of contemporary philosophers, no fruitful or rewarding work can be produced.”[19]

[1] Dikutip dari Muhammad Abdulloh Suradi.2009. op.cit.hal. 98-99.

[2] Bermaksud Imam dari dua kota suci.Nama penuhnya ialah Abdul Malik bin Abdullah bin Yusof al-Juwayni al-Nisaburi dan merupakan murid kepada Abu al-Qasim al-Isfarayni. Al-Qasim adalah murid kepada Iman Abu Ishaq al-Isfarayni. Abu Ishaq pulan berguru dengan Imam Abu Hasan as-Asy’ari yang kemudiannya menjadi pelopor kepada aliran pemikiran al-Asy’ari yang mengambil pendekatan “jalan tengah” atau wasata bagi menyelesaikan aliran pemikiran yang wujud dalam ahlis-sunnah wal-jama’ah. Pertama ialah aliran Mu’tazzilah yang melihat akidah agama melalui pandangan akal sehingga mengecilkan kedudukan nas agama. Kedua ialah aliran falsafah Masya’iyyah, yang cuba menyesuaikan nas agama dan hakikat falsafah. Bagaimanapun, idea penyesuaian itu tidak memberikan manfaat kepada Islam. Dalam aliran ketiga, iaitu Assy’ariah, akidah Islam mestilah lahir dari dalam jiwa Islam, mendahulukan nas dari akal, dan memberikan nas akan hak dan kedudukannya dalam maknanya yang hakiki selagi tidak bukti yang kuat untuk mengeluarkannya dari makna hakiki kepada makna yang majazi.Lihat, Mohd Sulaiman Yasin. Ahlis-Sunnah Wal-Jama’ah.Bangi, Selangor: Yayasan Salman, 1997, bab VI.

[3] Lihat Syeikh Dahlan al-Kadiri, tanpa tarikh. Sirajut-Tolibin ‘ala Minhajil ‘Abidin. Jilid 1 & 2, Beirut, Lubnan: Darul Fikr.

[4] Shaleh Ahmad Asy-Syami. 2007. Op.cit. hal. 19  dan turut dicatatkan oleh al-Hafiz Abdul Ghafir bin Ismail, al-Ghazali sebagai “seorang yang bersungguh-sungguh dan berijtihad sehingga dapat menyelesaikan pendidikan dalam waktu yang singkat, mengalahkan generasi-generasinya, menghafal al-Qur’an, lebih tajam pandangan dari kalangan ahli zamannya, dan satu-satu dari generasinya pada zaman Imam al-Haramain.”

[5] Nizamul-Mulk juga dikenali sebagai Nazzam al-Malik dan nama penuhnya ialah al-Hassan bin ‘Ali at-Thusi, yang kemudiannya digelar sebagai Qiwamuddin (408-485H). Beliau merupakan seorang Perdana Menteri yang mencinta ilmu pengetahuan dan sentiasa mendalami ilmu hadits. Lihat, Shaleh Ahmad Asy-Syami.2007. op.cit. terutama pada halaman 19 notakaki 19.

[6] Universiti Nizamiyah telah dimulakan pembangunannya pada tahun 457H dan siap pada tahun 459H. Pemilihan para pensyarah dibuat oleh Khalifah Abbasiyah. Prof Dr Raghib as-Sirjani. Sumbangan Peradaban Islam Pada Pada Dunia. Terjemahan Masturi Irham dan Malik Supar. Jakarta: Pustaka al-Kautsar, 2012. hal. 225  mencatatkan: “Atas perhatian yang begitu besar tersebut, sampai khalifah Abbasiy langsung menentukan sendiri guru-guru yang mengajar. Ada yang mengajar masalah fikih dan hadits dan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan. Di mana telah mengajar pula di sekolah itu seorang terkenal sebagai intelektual dan cendekiawan seperti hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali penulis kitab Ihya Ulumuddin. Pada masa itu, turut mengajar juga dalam sekolah Nizamiyah, Naisaburi Imam Harmain, Abu al-Ma’ali al-Juwaili (nama penuhnya ialah Abdul Malik bin Abdullah bin Yusuf al-Juwaini 419H-478H/1028-1085M)…Infak yang diberikan Nizam al-Mulk pada setiap tahunnya kepada para pengajar sekolah dan fuqaha serta ulama sebanyak 300 ribu dinar. Ketika hal ini hendak dipertimbangkan kembali oleh Sultan as-Saluji Malkasyah, seorang menteri yang terkenal alim mengatakan, “Allah memberikan anda dan memberiku apa yang tidak diberikan kepada salah seorang pun dari makhluknya. Tidaklah hal itu kita kembalikan untuk membawa agamanya dan memelihara kitab-Nya dengan infak 300 ribu dinar.”

[7] Atas kepetahannya berhujah itulah al-Ghazali turut dikenali sebagai Hujatul Islam.

[8] Kelompok aliran pemikiran yang memusatkan kebenaran makna berdasarkan nas agama dan akal. Selagi makna tidak bercanggah dengan nas agama, ia adalah sesuatu yang betul dan benar. Bagaimana, jika makna hakiki sudah berubah menjadi makna majazi, nas agama akan diterima sebagai betul dan benar. Aliran inilah menjadi pegangan kuat al-Ghazali sehingga beliau dianggap sebagai ulama’ ahlis-sunnah wal-jama’ah terulung dan tiada gantinya hingga sekarang. Lihat, Dr M Dhiauddin Rais. Teori Politik Islam. Terjemahan Abdul Hayyie al-Kattani et.al. Jakarta: Gema Insani Press, 2001. hal. 51-54. Lihat juga Mohd Sulaiman Yasin.  Ahlis-Sunnah Wal-Jamaah. Bangi, Selangor: Yayasan Salman, 1997. hal. 145-148 dan 154-155.

[9] Al-Ghazali. al-Munqidh min al-Dalal, diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh W. Montgomery Watt. 1953. Al-Ghazali: Deliverance From Error and the Beginning of Guidance. Revised Edition 2005 K.Lumpur: Islamic Book Trust, Reprinted 2010. hal. 50. Terjemahan tersebut berdasarkan edisi ketiga yang ditahkikkan oleh Jamil Saliba dan Kamil ‘Ayyad pada tahun 1358H/1939 dan diterbitkan di Damaskus. Buku ini telah ditulis oleh al-Ghazali pada tahun 1109-1111M, salah sebuah karyanya yang terakhir sebelum kematiannya, iatu selepas mengalami gangguan fizikal dan mental pada tahun 1095 “yang sering dikaitkan dengan (diduga) kegalauan yang melanda fikirannya; fase skeptisisme tampaknya telah mendorongnya untuk mempertimbangkan kembali seluruh pandangan dan cara hidupnya.” Seperti dikupas oleh Anthony Black. Pemikiran Politik Islam: Dari Masa Nabi Hingga Masakini. Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta, 2001. hal.190

[10] Ibid.hal. 52-53.

[11] Mengikut al-Ghazali, “As a result, most people’s knowledge only makes them bolder in disobeying God most high. Genuine knowledge, however, increases a man’s reverence and fear and hope; and these come between him and sins (in the strict sense) as distinct from the unintentional faults which are inseparable from man in his times of weakness. This propeness to lesser sins does not argue any weakness of faith, however. The believer when he goes astray, repents. He is far from sinning intentionally and deliberately.” W Montgomery Watt.1953. op.cit. hal. 83-84.

[12] Lihat,  Muhamamad Aizat Farhan. op.cit. hal. 259. Beliau merupakan imam, hafiz, muhaddith, tsiqah, lahir tahun 451H dan meninggal pada tahun 529H.

[13] Kitab ini ditulis antara tahun 489-495H/1069-1075M. Dalam cetakan Darul Kutub al-‘Ilmiah, Beirut kitab ini terdiri daripada lima jilid. Kitab ini diterjemahkanke pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu dan didalamnya mengandung persoalan falsafah akhlak, ibadah dan muamalah. Huraian fiqah yang terkandung dalam kitab ini bersandarkan pendekatan ahlis-sunnah wal-jamaah aliran Asya’ari. Ihya Ulumudin terbahagi kepada empat bahagian utama: ibadah dengan 10 perbahasan (ilmu kaedah tentang akidah, rahsia bersuci, rahsia solat, rahsia puasa, rahsia haji, etika membaca al-Qur’an, berzikir dan berdoa serta berwirid); muamalah 10 perbahasan (etika makan, etika perkahwinan, etika bekerja, etika berkawan, etika bermusafir, etika mendengar, etika amar makrug nahi mungkar, halal haram, uzlah dan kenabian; faktor kerosakan kehidupan manusia (keajaiban hati, riadah al-nafs, bahaya nafsu perut dan kemaluan, bahaya marah, mengasut dan hasad dengki, kecelaan urusan dunia, kecelaan bakhil dan terlalu cintakan dunia, sikap takabur, sombong dan keburukan menipu); dan kaedah menyelamatkan manusia daripada pelbagai kesesatan (taubat, sabar dan syukur, takut dan harap, fakir serta zuhud, tauhid dan tawakal, kasih dan sayang, niat disertai ikhlas dan buat betul-betul, berfikir atau tafakur dan mengingati mati. Kitab ini dianggap yang terbaik pernah dihasilkanoleh mana-mana ulama dan masih belum dapat ditandingi hingga sekarang. Abdul Salam Yusoff, Idea-idea Pendidikan Berkesan al-Ghazali & Konfusius. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2010, hal. 25-27; dan, Anthony Black menyifatkan Ihya Ulumudin sebagai “sebuah karya ensiklopedik yang menghimpun dan menguji kembali seluruh wilayah ilmu-ilmu agama—sebuah karya yang sebanding dengan Suma Theologiae-nya Thomas Aquinas yang ditulis dua abad kemudian. Buku ini dimaksudkan sebagai sebuah pegangan tentang kehidupan kontemplatif dan moralitas sosial, yang meliputi—layaknya syariat—bidang hukum, ekonomi dan politik”. Lihat, Anthony Black. Pemikiran Politik Islam: Dari Masa Nabi Hingga Masa Kini. Terjemahan Abdullah Ali & Mariana Ariestyawati. Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta, 2001. hal. 191-192

[14] Lihat Hamka. Tasauf Moden. K.Lumpur:Darul Nu’man, 1998; dan dalam buku Tasawuf, Perkembangan dan Pemurniannya. cetakan ke-8, Jakarta: Penerbitan Yayasan Nurul-Islam, 1980. hal. 212-214 dan 221-223,  Hamka menjelaskan “Pada abad kedua Hijrah, tasawuf hanya terkenal di Kufah dan Basrah, tetapi pada permulaan abad ketiga Hijrah ia telah mengembang keluar dari kedua-dua kota itu sehingga ke Kota Baghdad, pusat kekuasaan Kerajaan Abbasiyah. Pada masa itu kemewahan memuncak dan kepincangan akhlak berlaku, maka tumbuhlah tasawuf sebagai tindak balas terhadap unsur tersebut, melahirkan pengislah akhlak dari ulama sufi…Tasawuf tidak sunyi daripada penyelewengan daripada as-Sunnah sehinggakan seorang ahli fiqah dan failosof besar, Ibnu Hazm al-Andalusi yang wafat pada tahun 466H telah menyatakan bahawa tasawuf sudah membahayakan agama. Dengan itu pada akhir abad ke-5 dan awal abad ke-6 Hijrah, Imam al-Ghazali rahimullah, telah cuba mengalirkan kembali dalam as-Sunnah. Beliau telah mengarang kitabnya Ihya Ulumudin yang bertujuan menghidupkan kembali ilmu-ilmu agama yang nyaris mati….Pemerhatian al-Ghazali lebih banyak tertumpu kepada pembangunan akhlak untuk kebersihan dan kemurniaan jiwa dengan memperbanyakkan zikir, puasa, jangan menoleh ke kiri dan ke kanan, biar miskin, biar pakaian tidak dibeli baru sampai satu tahun, jangan pedulikan huru-hara dunia, terimalah takdir Allah Ta’ala dengan sabar dan tahanlah menderita kezaliman raja-raja kerana itu adalah cubaan… Banyak ulama menentang al-Ghazali, antaranya, Abdul Walid at-Tortosi, Ibnu Solah dan Abdul Latif al-Hambali. Sehingga raja Maghribi telah menerima fatwa ulama membakar kitab Ihya.”

[15] Dikutip dari Abdul Salam Yusof. Op.cit. hal. 27.

[16] Lihat W Montgomery Watt. The Muslim Intelectual: The Struggle and Achievement of al-Ghazali, Edinburgh: Edinburgh University Press, 1963; W Montgomery Watt. Islamic Political Thought, Edinburgh: Edinburgh University Press, 1968; dan W Montgomery Watt. Islamic Fundamentalism and Modernity, London: Routledge, 1988.

[17] Shalleh Ahmad asy-Syami. op.cit. hal. 24.

[18] Ibid. hal.25-26.

[19] Prof. H.N. Rafiabadi. Al-Ghazali and Western Thought. New Delhi: Adam Publishers and Distributors,2007.hal. v

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *