Home » Citra Yadim » Perbalahan politik perlu ada sempadan akhlak

Perbalahan politik perlu ada sempadan akhlak

Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

BANGI 8 Mac – Perbalahan politik yang tercetus dalam keghairahan merebut kuasa perlu mempunyai sempadan dan batasan terutama dalam aspek prinsip, akhlak, moral dan tradisi kemelayuan.

Sempadan tersebut sekiranya diikuti oleh pemimpin-pemimpin politik terutamanya parti-parti Melayu Islam sudah tentu akan memberikan kekuatan dalam penyatuan ummah di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, gaya politik baharu perlu dibina di negara ini iaitu tanpa sebarang perlakuan fitnah, tohmahan dan andaian membuta tuli yang jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam.

“Kita boleh berbeza pandangan tetapi tanpa perlu meleburkan prinsip dan soal akhlak termasuk sewenang-wenangnya melakukan fitnah dan tohmahan.

“Penyatuan ummah dalam perbalahan politik banyak bergantung kepada pemimpin-pemimpin politik itu sendiri, sekiranya mereka ikhlas mahu melihat ummah ini kuat, mereka perlu memimpin dan mendidik ummah supaya tahu sempadan masing-masing dalam berbeza pendapat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Konvensyen Rakyat, Menelusuri Akar Umbi Ke Arah Perpaduan Ummah di Dewan Tun Abdullah Mohd. Salleh, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi di sini hari ini.

Konvensyen yang julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Majlis Dakwah Negara (MDN). – UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *