Home » Langit Terbuka » Perbincangan LGBT tidak menguntungkan

Perbincangan LGBT tidak menguntungkan

Pengerusi Majlis Dakwah Negara berkata, perbincangan mengenai aktiviti LGBT seharusnya dibuat dalam platform pertubuhan bukan kerajaan

KEPALA BATAS – Semua pihak khususnya kerajaan perlu berhenti membangkitkan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LBGT) yang disifatkan sebagai perkara remeh.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, berkata kerajaan seharusnya berfungsi bagi membincangkan dan mencari penyelesaian perkara lebih utama, berbanding LGBT.

Katanya, perbincangan mengenai aktiviti LGBT seharusnya dibuat dalam platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak kesamarataan, selain jaminan golongan minoriti sentiasa termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Bila tertubuhnya kerajaan baharu, fungsinya bukan untuk menyelesaikan masalah dihadapi sesetengah orang secara remeh dan LGBT ini tak termasuk pun dalam mana-mana konvensyen bertaraf antarabangsa.

“Saya harap kita semua perlu dorong kerajaan untuk menyelesaikan masalah lebih utama, membabitkan isu ekonomi dan perpaduan rakyat,” katanya pada sidang media Konvensyen MDN Pulau Pinang di sini, hari ini.

Konvensyen bertemakan ‘Kukuhkan Dakwah, Pasakkan Perpaduan Ummah’ itu turut menampilkan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Mohd Yussof Latiff dan Mudir Pondok Baitul Quro, Melaka, Zulkifli Ismail sebagai ahli panel.

Yang turut hadir, EXCO Perdagangan Antarabangsa dan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Keusahawanan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.

Mahmood Zuhdi berkata, orang ramai khususnya golongan pendakwah tidak perlu memperbesarkan isu LGBT hingga mendorong perhatian kerajaan, sekali gus mewujudkan campur tangan.

“Adalah lebih baik membincangkan isu orang kelainan upaya (OKU) yang tiada akses untuk ke masjid, berbanding LGBT atau bagaimana kita boleh membina ekonomi,” katanya. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *