Home » Analitis » Pilih pemimpin warak?

Pilih pemimpin warak?

BAHANG pilihan raya atau PRU 14 semakin terasa dan semua orang mula memberikan fokus siapakah pemimpin yang boleh mereka sandarkan harapan selepas pilihan raya nanti. Adakah ia akan berlaku dalam janka masa terdekat ini masih menjadi teka-teki kita semua. Bagaimanapun, dalam teka-teki tersebut, banyak juga lontaran pendapat mengenai bakal calon yang akan dipilih. Dari sudut pandangan Perdana Menteri, calon yang boleh menjamin kemenangan itulah yang akan diberikan peluang, kerana dalam politik perjuangan, kepentingan pertubuhan yang diwakili itu adalah lebih penting daripada kemenangan peribadi.

Dalam situasi sedemikianlah maka ada di antara kita mula memikirkan, bagaimana untuk menentukan wajah sebenar pemimpin yang kita impikan.Adakah kita memerlukan seorang pemimpin yang memimpin dengan berkesan atau seseorang yang hanya kelihatan warak tapi tidak pandai mentakbir.

Watak-watak seperti itu memang sentiasa hadir dalam politik Malaysia. Ada mereka yang warak, tetapi tidak boleh memimpin dengan berkesan dan jahil dengan selok-belok pengurusan.

Jawapan yang pasti ialah kita memerlukan seseorang pemimpin yang dapat memenuhi dua sifat tersebut, iaitu warak dan mahir dengan soal-soal pengurusan.

Pengutamaan sepatutnya diberikan kepada mereka yang mempunyai dua kelebihan ini dan bila tidak dapat kedua-duanya maka yang mempunyai kemampuan mengurus itulah yang patut didahulukan sebagaimana urutan yang disebutkan di dalam al-Quran itu, Surah al-Qasas ayat 26.

Mereka yang warak adakalanya tidak mampu memimpin dengan baik kerana melihat dirinya dalam konteks kesempurnaan peribadi. Orang seperti inilah yang telah menimbulkan banyak kekalutan dalam masyarakat.

Sifat waraknya telah menyebabkan dirinya dinilai yang terbaik, tidak ada cacat dan cela. Cara itu akhirnya menjerumuskan pemimpin yang warak itu dalam bingkai pemujaan peribadi yang melampau.

Rakyat terus teruja dan memuja pemimpin itu sehingga melihat kesalahan yang dilakukan tidak mendatangkan musibah. Penderitaan dan kesusahan rakyat bukan salah pemimpin, ia adalah takdir yang telah ditentukan.Kemiskinan rakyat bukan kerana kegagalan pemimpin untuk menyediakan ruang dan peluang, tetapi ia adalah hakikat yang mesti diterima tanpa banyak soal.

Pemimpin yang warak tidak dinilai telah gagal sedangkan rakyat meletakkan harapan yang besar agar nasib mereka dapat diperbaiki. Seorang pemimpin yang warak sentiasa menggugah emosi, mendorong pengikutnya agar lebih banyak bersabar dan memikirkan bahawa kehidupan sebenarnya bukanlah untuk mencipta kemewahan dan kesempurnaan di dunia.

Dunia hanyalah pinjaman dan segala apa yang dimiliki tidak akan menjamin kebahagiaan di akhirat. Itulah putaran ganas politik yang dimainkan oleh pemimpin yang sentiasa menampilkan dirinya sebagai orang yang warak.

Atas kegagalan pemimpin yang warak menguruskan segala sumber dengan berkesan, setiap kali dibangkitkan kelemahan-kelemahan itu akan diserang pula bersama kesimpulan, orang yang sentiasa mendorong kepada perubahan telah mengetepikan agama.

Apabila orang mempersoalkan apakah telah dilakukan sepanjang tempoh menjadi pemimpin, jawabnya juga mudah, semakin ramai rakyat memahami Islam? Benarkah pemimpin yang warak itu berupaya meningkatkan kefahaman mengenai Islam kepada pengikutnya?

Imam Ahmad bin Hanbal pernah diajukan soalan memilih dua orang calon ketua pasukan perang. Orang pertama ialah orang yang kuat tetapi bergelumang dengan dosa dan orang kedua, taat agama tetapi lemah dalam memimpin pasukan.

Beliau menjawab memilih orang pertama. Imam Ahmad berhujah orang pertama dosanya ditanggung sendiri sedangkan kekuatannya untuk kepentingan umat. Orang kedua pula ketaatannya hanya untuk dirinya sendiri sedangkan kelemahannya akan mendatangkan malapetaka bagi umat yang dipimpinnya.

Anda boleh menetapkan pertimbangan anda tapi ingatlah selalu sabda Nabi SAW: “Siapa yang mengangkat seorang untuk satu jabatan yang berkaitan dengan urusan masyarakat sedangkan dia mengetahui ada yang lebih tepat, maka sesungguhnya ia telah mengkhianati Allah, Rasul dan kaum muslim.”

Seseorang pemimpin yang baik dan berkesan bukanlah terdiri daripada mereka yang mengambil tindakan berdasarkan kesukaannya, sebaliknya mestilah lahir daripada keinginan masyarakat itu sendiri. Seelok-eloknya, mereka yang menawarkan diri bertanding pada kali ini mestilah benar-benar mewakili kehendak bahagian atau negeri yang diwakili, dan bukannya berdasarkan populariti dan kedudukannya di luar parti.

Dalam surah al-Baqarah ayat 124, Allah menceritakan tentang peristiwa Nabi Ibrahim diangkat menjadi pemimpin. Allah berfirman yang bermaksud: Aku (Allah) akan mengangkat engkau sebagai pemimpin. Mendengar hal tersebut, Nabi Ibrahim bermohon kepada Allah agar penghormatan yang diberikan kepadanya dikurniakan juga kepada anak cucu baginda Nabi Ibrahim.

Bagaimanapun, Allah SWT telah menggariskan satu syarat iaitu, Perjanjian-Ku ini tidak akan dikurniakan kepada orang yang berbuat aniaya. Ini bermakna, walaupun kekuasaan itu dapat diwariskan kepada anak cucu oleh orang tua, ia hanya dibenarkan berdasarkan sifat-sifat terpuji, iaitu hakikatnya adalah keadilan. Untuk memahami maksud ayat tersebut, kita perlu memahami dua asas penting.

Pertama, kepimpinan menurut pandangan al-Quran bukan sekadar kontrak atau perjanjian sosial antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah.

Kedua, dalam pengertian ayat tersebut, kepimpinan itu mestilah didahulukan dengan prinsip keadilan kerana tujuan sebenar kehidupan ialah mempraktikkan kesejahteraan masyarakat. Maknanya, kesejahteraan bermasyarakat hanya akan terbentuk menerusi penegakkan prinsip keadilan bagi setiap orang, berdasarkan pertimbangan keputusan yang telus dan tidak dipengaruhi oleh prasangka.

Berdasarkan prinsip itulah mereka yang menawarkan diri wajib meletakkan falsafah perjuangan politik mereka adalah untuk memperkasakan orang ramai dan memperkuatkan parti, dan bukan menagih keistimewaan apabila memenangi jawatan tersebut. – ABABIL

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *