Home » Wacana » Rukun Islam bagaikan sebuah rumah

Rukun Islam bagaikan sebuah rumah

Oleh ABDUL HAYEI ABDUL SUKOR

Dr Abdul Hayei Abdul Sukor ialah Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2011 dan bekas Dekan dan Pensyarah di Fakulti Usuluddin, Akademi Pengajian Islam,Universiti Malaya (UM)

 

عن ابن عمر رضي الله عنهما قال:

قال رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بُنِيَ الإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ.

Islam itu dibina di atas lima tiang: (1) Bersaksi tiada tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah dan bersaksi Nabi Muhammad SAW pesuruh-Nya (2) mendirikan solat (3) menunaikan zakat (4) mengerjakan haji (5) berpuasa pada bulan Ramadan.” (HR Bukhari No 8, Muslim No 16)

 

Latar Belakang Riwayat

Seorang lelaki datang bertanya kepada Ibn Umar RA: “Apakah sebab mendorong engkau mengerjakan haji dan umrah berselang tahun, tetapi tidak pula keluar berjihad dan ikut serta bersama tentera Islam membuka negara baharu dan menyebarkan Islam?”

Menurut pendapat Ibn Umar RA, jihad tidak diwajibkan setelah Mekah dan Madinah dibuka dan secara rasminya menjadi Negara Islam. Jihad hanya menjadi fardu ain ke atas mereka yang masih di bawah pemerintahan orang bukan Islam dan orang Islam yang diusir keluar dari kediaman-kediaman mereka kecuali jika kaum bukan Islam bertindak ganas terhadap orang Islam. Pada ketika itu, pimpinan umat Islam hendaklah mengeluarkan arahan kepada seluruh umat Islam agar keluar mempertahankan diri dan bertindak balas terhadap keganasan kaum bukan Islam. Jihad pada ketika ini diwajibkan kerana mempertahankan bumi Islam dari pencerobohan kaum bukan Islam.

Demikianlah jawapan Ibn Umar RA kepada pihak yang bertanya. Kesimpulannya, jihad tidak diwajibkan  kerana Islam dibangunkan di atas lima tiang yang mana berperang tidak menjadi salah satu daripadanya. Sabda Nabi SAW dalam riwayat di atas bertepatan dengan mazhab beliau, kecuali dalam keadaan umat Islam dihimpit oleh kaum kafir yang menghina Islam serta bertindak ganas terhadap keselamatan mereka.

 

Kedudukan Hadis

Hadis ini, menurut Ibn Rajab al-Hanbali (wafat 795 H) mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di dalam Islam; bagaikan sebuah bumbung yang bernaung di bawahnya rakyat yang terdiri dari berbagai-bagai agama, warna kulit, bangsa dan keturunan.

Menurut Ibn Hajar al-Haithami (wafat  973 H), hadis ini mempunyai kedudukan yang sangat agung, terkumpul di bawahnya hukum-hukum, kemudian diperincikan sepenuhnya oleh al-Quran dan Hadis.

 

Ajaran Islam Bersifat Syumul dan Wasatiyyah

Perkataan ‘Islam’ menurut kata dasarnya membawa erti tunduk dan patuh kepada perintah Allah dan Rasul yang diutus untuk menyampaikan syariat Islam kepada manusia pada setiap zaman. Para Rasul merupakan penunjuk jalan untuk mengetahui kehendak Allah pada manusia. Oleh itu, kaum Nabi Musa AS dituntut mengikuti ajaran yang terkandung di dalam kitab Taurat yang diturunkan kepadanya. Kaum Nabi Isa AS pula dituntut mengikuti ajaran Nabi Isa AS berpandukan kitab Injil. Kaum Nabi Ibrahim AS pula diperintah oleh Allah SWT agar mengikuti jalan yang dipenuhi keterangan dan petunjuk Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang dibangkit kemudiannya hinggalah kepada Nabi Muhammad SAW yang menjadi penutup segala Nabi dan kepadanya diturunkan kitab suci al-Quran.

Agama Islam secara fitrahnya adalah agama kepada seluruh umat manusia pada setiap zaman dan tempat. Agama ini sifatnya syumul (menyeluruh), perlaksanaannya wasatiyyah (sederhana). Ini boleh diperhatikan dalam semua ajarannya yang meliputi akidah, syariah, budaya dan akhlak.

Syumul yang menjadi sifat dalam ajaran ini adalah meliputi seluruh aspek kehidupan manusia, sama ada individu, keluarga dan masyarakat pada setiap zaman dan tempat. Dengan kata lain, Islam yang bersifat syumul itu bermaksud, usianya memanjang sepanjang zaman, lebarnya mengatur segenap aspek kehidupan manusia. Dalamnya merangkumi setiap persoalan dunia dan akhirat. Inilah ajaran Islam yang bersifat syumul. Lain halnya dengan teori-teori falsafah yang hanya berbicara tentang hidup sebelum mati, tetapi tidak mampu menjawab persoalan-persoalan selepas mati.

Islam dari aspek penghayatannya bersifat wasatiyyah ertinya bersederhana, tidak terlalu ketat dan tidak pula terlalu longgar. Oleh kerana Islam ini sifatnya sederhana, maka kata lawannya ialah ghuluww (keterlaluan). Setiap Muslim yang mengikuti ajaran ini mempunyai hak menikmati keadilan dan keseimbangan di bawah naungan Islam. Sifat keterlaluan, sama ada dalam akidah, hukum, budaya dan akhlak adalah menyeleweng dan terkeluar dari landasan Islam.

 

Lima Rukun Islam Bagaikan Tiang

Dalam sabda di atas, Nabi SAW menganalogikan Islam bagaikan sebuah bangunan yang didirikan di atas lima tiang, lalu membariskan lima rukun Islam. Setiap satu daripadanya bagaikan tiang-tiang Islam. Sabda ini tidak bermakna Islam itu hanya lima perkara sahaja. Masih banyak lagi amalan selain lima perkara ini termasuklah ciri-ciri dalam akidah, syariah, akhlak dan lain-lain. Indahnya sabda Nabi SAW apabila mengungkapkan, “Islam  itu dibina di atas lima tiang,” lalu menyebutkan satu demi satu hingga genap lima tiang, maka dengannya terbinalah sebuah rumah Islam.

Kita difahamkan menerusi sabda ini, sebuah keluarga memerlukan sekurang-kurangnya sebuah rumah untuk melindungi mereka dari basahnya hujan dan teriknya panas. Rumah ini hendaklah lokasinya baik, struktur binaannya kukuh, plan lantainya lengkap dan sesuai dengan keluarga Muslim, landskap rumahnya pula sesuai dengan iklim panas dan sejuk nyaman.

Kediaman ini meskipun dibina di atas lima tiang, namun ia belum lengkap sepenuhnya tanpa adanya lantai, dinding, dapur, bilik tidur, ruang tamu, dewan makan, dewan solat, penyaman udara, stor kereta, tempat menyimpan barang-barang hiasan dan sebagainya. Kelengkapan ini perlu ada pada sebuah rumah untuk keselesaan hidup di dunia. Inilah kesyumulan bagi sebuah kediaman yang difahami dari sabda di atas.

Rukun Islam yang terdiri daripada lima batang tiang dimulakan dengan:

  1. Pengucapan dua kalimah syahadah – merupakan satu perisytiharan kepada tauhid dan lambang ketaatan tidak berbelah bagi kepada Allah SWT dan Rasul-Nya mengikut manhaj al-Quran yang diturunkan kepada Nabi SAW. Dua kalimah syahadah yang sama juga ibarat pintu masuk Islam secara sah yang bakal menentukan masa hadapan umatnya mengikut undang-undang Islam. Tiada sesiapa pun selain Allah diberi kuasa mengubah hak seseorang Muslim.
  2. Solat – merupakan hubungan di antara seorang Muslim dengan Allah. Ketika dia menunaikan solat, dia bermunajat dengan Tuhan, dia memohon kepada Allah agar seluruh ibadat dan aktiviti keduniaannya disempurnakan kerana Allah, tiada sebarang syirik di sebaliknya. Seorang Muslim ketika bersolat akan berhubung terus dengan Allah tanpa sebarang penghalang; tiada orang tengah dan tiada jurubahasa.
  3. Zakat – merupakan amalan yang bertindak menyucikan harta dan hati dari sifat bakhil. Zakat juga bertindak menyuburkan harta sekali gus menjadi pelaburan akhirat yang sangat menguntungkan.
  4. Ibadat haji – merupakan satu program pelancongan tahunan atau amalan sekali seumur hidup. Amalan ini mengingatkan pengamalnya dengan pelancongan ke alam Akhirat dan seterusnya ke syurga jika hajinya mabrur.
  5. Puasa – merupakan program latihan bagi mendidik hati dengan kesabaran dan ikhlas sedangkan pengamalnya dalam keadaan sihat dan afiat.

Demikianlah lima rukun Islam yang dibandingkan dengan lima batang tiang bagi sebuah rumah. 

Pengajaran dan Saranan

  1. Islam tidak menerima seseorang menjadi Muslim melainkan dengan menghayati lima rukun Islam. Sesiapa mengingkari satu daripadanya serta mengingkari kewajipannya, maka dia dihukum kafir.
  1. Haji adalah salah satu daripada rukun Islam yang diwajibkan sekali dalam tempoh seumur hidup dengan syarat berkemampuan dari segi kebendaan dan kesihatan. Sesiapa mengingkarinya serta menolak kewajipannya maka hukumnya kafir.
  1. Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam, dengan syarat cukup nisab dan haul. Jika tidak mencukupi syarat-syarat yang ditetapkan, maka tidak diwajibkan berzakat.
  • MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

YADIM Kedah dan Perlis: Ziarah Madani Mualaf

MENJELANG Syawal tidak lama lagi, adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk memupuk semangat kasih sayang dan kepedulian terhadap sesama Muslim termasuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *