Home » Langit Terbuka » Sektor francais kembangkan pasaran produk halal

Sektor francais kembangkan pasaran produk halal

Industri halal kini menjadi trend di seluruh dunia. (gambar hiasan)

KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan kenaikan lima peratus pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menerusi industri francais tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata jangkaan itu didorong oleh perkembangan kukuh yang ditunjukkan oleh sektor berkenaan tahun lalu apabila menyumbang sebanyak RM27 bilion kepada KDNK.

Katanya, berdasarkan pertumbuhan memberangsangkan itu juga, sektor francais berada di landasan betul untuk mencapai sumbangannya kepada KDNK sebanyak RM35 bilion dalam tempoh dua tahun lagi.

Jangkaan itu diyakini mampu dicapai selaras dengan hasrat untuk menjadikan negara ini sebagai hab francais serantau di Asia Tenggara pada 2020.

“Kita menyedari perniagaan francais halal ini menawarkan prospek menarik memandangkan Malaysia sudah meningkatkan kepakaran dalam bidang berkenaan serta memiliki potensi tinggi untuk berkembang di luar negara.

“Kita turut melihat potensi peluang perniagaan di 50 negara yang mempunyai peratusan umat Islam tertinggi seperti Azerbaijan, Turki, Indonesia dan Bangladesh.

“Kita juga berjaya menembusi pasaran Jepun dalam industri halal biar pun ia sukar untuk ditembusi. Selepas ini, kita menyasarkan untuk memasuki Korea dan India,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Pada majlis itu juga, beliau menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat francais halal terbesar di Malaysia, Marrybrown dengan syarikat logistik Jepun selepas syarikat makanan segera itu dilantik sebagai francais utama untuk membuka cawangan restoran di sana.

Kedua-dua syarikat berkenaan akan bekerjasama dan menyasarkan untuk membuka 50 outlet Marrybrown di Jepun dalam tempoh lima tahun dengan outlet pertama di Tokyo.

Dalam pada itu Hamzah berkata, setakat ini lebih 851 francaisor tempatan dan luar negara sudah mendaftarkan francais mereka dengan Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan sektor makanan dan minuman mendahului sebanyak 40 peratus, diikuti pusat pusat pembelajaran dan asuhan, 11 peratus.

“FIM 2018 menyaksikan penyertaan lebih 100 syarikat francais tempatan dan antarabangsa terdiri daripada 12 negara antaranya Amerika Syarikat, Australia, Kanada, United Kingdom, Arab Saudi, Korea Selatan, China, Taiwan, Jepun, Filipina, Singapura dan Thailand.

“Pada siri kali ini, FIM turut menarik seramai 20 pelabur antarabangsa dari 13 negara yang berminat membawa jenama francais Malaysia ke pasaran negara masing-masing,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *