Home » Citra Yadim » Seminar Dan Bengkel  Antarabangsa Risale I Nur 

Seminar Dan Bengkel  Antarabangsa Risale I Nur 

Seminar membincangkan pemikiran Bediuzzaman Said Nursi

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bersama  Persatuan Kebudayaan Malaysia-Turki (MTCA), Perhimpunan Belia Islam Dunia (WAMY), Istanbul Foundation for Science and Culture (IFSC) dan Universiti Malaya (UM) akan menganjurkan program SEMINAR DAN BENGKEL  ANTARABANGSA RISALE I NUR  pada 12 Mei ini bertempat di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Antara lain program ini bertujuan membincangkan pelbagai aspek pemikiran Bediuzzaman Said Nursi, tokoh ulama Islam terkenal dari Turki yang menghasilkan Risale I Nur atau Risalah An Nur,  sebuah tafsiran al-Quran yang membahaskan masalah-masalah mendasar dalam kehidupan manusia.

Ia juga menerangkan tentang pengaturan Allah SWT terhadap alam semesta yang dapat dilihat menerusi perspektif sains.

Risale I Nur juga mengetengahkan pandangan bahawa tidak ada percanggahan dan konflik di antara agama dan sains.

Bediuzzaman merupakan ulama yang lahir pada 1877. Beliau melalui detik-detik kejatuhan Empayar Uthmaniyyah dan menyaksikan pihak pemerintah Turki selepas itu yang mula menunjukkan penentangan terhadap  Islam dan mengetengahkan dasar sekularisme.

Berbeza dengan ulama-ulama lain ketika itu, beliau turut menguasai ilmu-ilmu lain seperti fizik, matematik dan falsafah kerana percaya dengan itu sahaja teologi Islam dapat diperbaharui dan dalam  masa yang sama dapat menjawab serangan-serangan terhadap kebenaran al-Quran dan Islam.

Beliau telah dapat menghasilkan Risale I Nur yang membuka jalan baru kepada hakikat dan ilmu dalam mengenal Allah yang digambarkannya sebagai jalan al-Quran dan jalan para sahabat Nabi SAW melalui warisan kenabian.

Berbanding sekadar menjadi terjemahan al-Quran yang menjelaskan ayat-ayat dan perkataan-perkataanya secara langsung dan sebab-sebab penurunannnya, Risale I Nur adalah sebuah kitab yang dikenali sebagai tafsir maknawi kerana ia menjelaskan kebenaran-kebenaran yang terdapat di dalam al-Quran.

Pada SEMINAR DAN BENGKEL ANTARABANGSA RISALE  I NUR, sebanyak empat kertas kerja akan dibentangkan  yang menampilkan tokoh-tokoh dari Turki dan disampaikan dalam Bahasa Inggeris.

Slot-slot berkenaan adalah

  1. `Sebab Kemunduran Dunia Islam Dan Penyelesaiannya Mengikut Bediuzzaman Said Nursi’ oleh Pengerusi African Friendship Association, Semsettin Turkan.
  2. `Pemerkasaan Umat Islam: Formula Terbaik Dari Pengalaman Turki’ oleh Dr Osman Yapar dari IFSC.
  3. `Realiti Dan Keperluan Semasa Mengikut Bediuzzaman Said Nursi’ oleh Dr. Hakan Gulerce dari IFSC.
  4. `Menghayati Risale I Nur Dalam Diri Dan Masyarakat’ oleh Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Prof Dr. Adam Kilicman.

Pada sebelah petang, sesi forum bertajuk `Mesej Utama Risalae I Nur: Satu Perkongsian Ibrah’ akan diadakan dengan dipengerusikan oleh Yang Dipertua YADIM, Dr Yusri Mohamad sementara ahli-ahli panel terdiri daripada Semsettin Turkan dan Dr Osman Yapar serta Pensyarah UPM,  Ustaz Zaidi Hassan.

Objektif seminar ini adalah seperti berikut

1.Memperkenalkan Bediuzzaman Said Nursi sebagai tokoh penting negara Islam Turki.

2.Menerangkan peranan dan sumbangan Risalae I Nur sebagai rujukan utama kebangkitan umat Islam di Turki selepas kejatuhan Kerajaan Uthmaniah.

3.Memberi pendedahan dan latihan eksklusif kepada mahasiswa, ahli-ahli badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat melalui perkongsian langsung daripada wakil jaringan sukarelawan Risale I Nur yang berada di Malaysia.

Orang ramai dijemput hadir ke seminar ini. Berikut adalah butir-butir program:

Tarikh : 12 Mei 2018

Tempat : Dewan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Masa : 8.00 Pagi – 4.30 Petang

Penyertaan adalah terhad kepada 500 orang sahaja dan sesiapa yang berminat boleh membuat pendaftaran secara online melalui https://goo.gl/forms/Wr2cY7EA1NTtcrjr1

Sebarang pertanyaan lanjut sila hubungi Ustaz Mohd Khamis Bin Mohamad Sani di talian 013-7359729.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *