Home » Wacana » Setelah mandi junub, apakah masih perlu berwuduk?

Setelah mandi junub, apakah masih perlu berwuduk?

Seorang yang telah melakukan mandi junub, maka itu sekaligus mencakupi wuduk.

MANDI hadas besar atau mandi junub adalah aktiviti membersihkan badan dari hadas besar. Biasanya mandi ini dilakukan setelah berhubungan seks antara suami-isteri ataupun setelah mimpi basah, yakni keluar mani setelah terjaga dari tidur akibat mimpi.

Berbeza halnya dengan wuduk. Wuduk adalah sarana untuk membersihkan hadas kecil, seperti buang angin, buang air besar atau kecil, menyentuh alat kelamin, dan sebagainya.

Namun bolehkan kita terus melaksanakan solat tanpa berwuduk setelah mandi jinabat?

Siti Aisyah radliyallâhu ‘anhâ meriwayatkan sebuah hadis bahawa Rasulullah shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah melakukan solat tanpa berwuduk setelah mandi junub.

 

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : كَانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَغْتَسِلُ وَيُصَلِّي الرَّكْعَتَيْنِ وَصَلاَةَ الْغَدَاةِ ، وَلاَ أَرَاهُ يُحْدِثُ وُضُوءًا بَعْدَ الْغُسْلِ.

 

Maksudnya: “Dari Aisyah radliyallâhu ‘anhâ berkata: Rasulullah kerap mandi kemudian melakukan solat dua rakaat dan solat subuh. Dan aku tidak melihatnya memperbarui wuduknya setelah mandi.”

Hadis di atas diriwayatkan oleh Abu Daud, Nasa’i dan Tirmidzi. Redaksi “kâna” yang diikuti dengan fi‘il mudâri‘ sebagaimana yang digunakan Siti Aisyah dalam riwayat di atas menunjukkan maksud kesinambungan atau Nabi kerap melakukan perkara tersebut.

Bahkan Aisyah menambahkan bahawa dia tidak pernah melihat Nabi berwuduk setelah mandi junub. Sehingga dapat disimpulkan bahawa selama dalam pengamatan Aisyah, Nabi kselalu melakukan solat tanpa berwudu’ setelah mandi junub.

Dalam redaksi hadis lain riwayat Ibnu Majah juga disebutkan dengan kata yang jazim:

كَانَ لَا يَتَوَضَّأُ بَعْدَ الْغُسْلِ

Maksudnya: “Nabi tidak pernah berwuduk setelah mandi jinabat.”

Ibnu Umar pernah bercerita bahawa Nabi pernah ditanya berkaitan wuduk setelah mandi junub.

قَالَ لَمَّا سُئِلَ عَنِ الْوُضُوءِ بَعْدَ الْغُسْلِ وَأَيُّ وُضُوْءٍ أَعَمُّ مِنَ الْغُسْلِ رَوَاهُ بْنُ أَبِي شَيْبَة

Maksudnya: “Ibnu Umar berkata: ketika Rasulullah Saw. ditanya mengenai wuduk setelah mandi, (beliau menjawab) adakah wuduk yang lebih umum daripada mandi.” (HR Ibnu Abi Syaibah)

Dalam hadis riwayat Ibnu Umar tersebut secara langsung menjelaskan bahawa kedudukan mandi lebih umum daripada wuduk. Ertinya, ketika seorang telah melakukan mandi junub, maka itu sekaligus mencakupi wuduk.

Hal ini juga diperkuat dengan pendapat beberapa ulama’ seperti Abu Bakar bin Al-Araby yang dipetik oleh al-Mubarakfury dalam kitab Tuhfatul Ahwadzi-nya.

قال أبو بكر بن العربي إنه لم يختلف العلماء أن الوضوء داخل تحت الغسل وأن نية طهارة الجنابة تأتي على طهارة الحدث وتقضي عليها لأن موانع الجنابة أكثر من موانع الحدث

Maksudnya: “Abu Bakar bin al-Araby berkata bahawa tidak ada ulama yang berbeza pendapat mengenai wudu yang telah termasuk dalam mandi. Dan sesungguhnya niat mensucikan jinabat itu menyempurnakan niat mensucikan hadas sekaligus menggugurkan mensucikan hadas (wudu’). Kerana hal-hal yang mencegah jinabat itu lebih banyak daripada hal-hal yang mencegah hadas.”

Imam Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh Muhadzab mengatakan bahawa boleh tidak berwudu’ setelah mandi jinabat kerana hal itu sudah termasuk dalam mandi tersebut. Walaupun Imam Nawawi menyebutkan tiga pendapat lain, namun beliau mengatakan bahawa pendapat ini yang paling sahih. Wallahu A’lam. (nu.or.id) – tanwir.my

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *