Home » Persuasif » Setiap hari adalah tranformasi!

Setiap hari adalah tranformasi!

Oleh Amiza Khusyri bin Yusof

“Berubahlah!”

“Kita perlu buat perubahan.”

“Ayuh buat tranformasi.”

Ungkapan-ungkapan di atas tentu sudah biasa kita dengar dalam hidup kita sehari-hari, sama ada diungkapkan untuk kita, atau kita mengungkapkannya kepada orang lain, atau kita terdengar ungkapan tersebut di mana-mana, sama ada di corong radio, media atau melalui orang perseorangan sama ada individu yang kita kenali atau pun tidak.

Ungkapan-ungkapan tersebut biasanya ditujukan kepada mereka yang bermasalah yang dianggap perlu berubah dan membuat tranformasi ke atas diri untuk menghadapi seterusnya menyelesaikan masalah. Mungkin juga ada dalam kalangan kita tidak pernah menerima ungkapan tersebut daripada sesiapa, kerana dia seorang yang hebat dan apa sahaja kerja yang dilakukannya selalu mantap.

Namun, apakah persepsi atau perasaan kita pula apabila mendengar ungkapan “berubahlah” daripada seseorang? Mungkinkah apabila disuruh untuk berubah kita akan marah, malah rasa meluat, benci dan tidak puas hati akan terbit dalam hati? Ya mungkin, dan realiti inilah yang selalu berlaku. Jika dalam sesebuah organisasi pula, mungkin dialog-dialog ini akan muncul.

“Alah, cakap senanglah.”

“Asyik kita saja yang bermasalah.”

“Aduh, semakin banyak kerjalah begini.”

Pelbagai ungkapan lain juga mungkin akan muncul dek rasa tidak puas hati kerana majikan meminta pekerjanya berubah atau membuat tranformasi dalam gerak kerja. Lebih mendukacitakan apabila ada dalam kalangan mereka yang mencela, mengutuk dan terus-terusan mengkritik serta berpandangan negatif terhadap orang yang meminta kita berubah atau yang ingin membuat perubahan.

Akhirnya, hati sendiri yang sakit dan merana. Kita tidak pernah selesa dengan keadaan itu, seterusnya kita hidup penuh dengan kesulitan dan apa sahaja yang kita lakukan sering menjadi payah.

Perubahan itu mesti

Sesuatu yang perlu kita sedar adalah perubahan itu mesti dan akan terus berlaku. Lihatlah sendiri fizikal kita yang selalu mengalami tranformasi setiap detik, atau perhatikanlah pohon yang ditanam di hadapan rumah kita sejak sepuluh tahun yang lalu, kini mungkin sudah berbuah dan menebarkan manfaat kepada manusia di sekelilingnya, atau amatilah tempat yang anda pijak hari ini, adakah betul-betul sama seperti yang semalam?

Perubahan itu mesti dan akan terus berlaku seiring dengan perjalanan masa. Masa pula akan terus berjalan, seiring dengan perkembangan minda dan otak manusia. Minda dan otak manusia akan terus berfikir dan berkembang, seiring dengan firman Tuhan yang menyeru umatnya untuk berfikir atau dalam istilahnya “Ulul Albab”. Justeru segala bentuk pembangunan material, minda dan kemajuan tidak dapat dihalang, ditahan dan akan terus berjalan.

Apabila semua yang berada di sekeliling kita berubah, apakah kita masih memilih untuk terus statik?

Cuba bayangkan jika ada air yang bertakung lama dalam sebuah lopak, apakah yang akan terjadi kepada air itu? Sudah tentu air tersebut akan menjadi busuk dan hanyir, lantas mendatangkan penyakit, malah akan menghasilkan jentik-jentik yang membawa penyakit berbahaya. Nah, sekarang cuba bayangkan pula air sungai yang mengalir di kampung-kampung kita, segar dan bunyi deburannya juga sangat mesra di telinga. Demikianlah otak kita. Otak yang tidak bergerak dan statik akan menghadapi risiko seperti air yang bertakung. Otak ini tidak boleh menerima perubahan, dan sukar sekali untuk membuat perubahan. Seperti halnya apabila kita menggunakan sebuah seterika untuk menggosok baju, sepatutnya kita tidak perlu menunggu seterika tersebut panas baru menggosok, tetapi jadikan seterika itu panas dengan menggosok!

Umat Islam perlu berubah

Perubahan perlu dilakukan sebagai suatu kemestian yang “dharuri” bagi menghadapi cabaran zaman, terutama apabila berhadapan dengan gelombang materialisme, liberalisme, pluralisme dan atheisme yang mengancam Islam.

Kedudukan umat Islam sebagai “Khaira Ummah” dan “Ummatan Wasata” seperti yang difirmankan Allah dalam al-Quran mengukuhkan lagi keperluan mempersiap diri dengan persiapan yang mencukupi syarat untuk menunaikan tugas perubahan yang diinginkan, malah ia menjadi suatu tanggungjawab agama yang tidak seharusnya diabaikan atau dipermudah-mudahkan.

Seorang Muslim yang cemerlang sentiasa menuntut dirinya untuk berubah pada setiap hari. Jika semalam dia cuma bersedekah RM10 maka hari ini dia mahu membuat perubahan yang lebih baik dengan bersedekah sebanyak RM15 pula, dan begitulah seterusnya setiap hari. Demikian jugalah dalam hal dosa, pada hari ini dia menyesali dan berazam untuk tidak mengulangi dosa yang semalam. Seorang Muslim yang soleh dan seorang Muslim yang bermaksiat hanya dipisahkan oleh sebuah pintu yang bernama “Taubat”. Perubahan melalui individu-individu Muslim akan memberi perubahan dalam bentuk “ummah” pula kemudiannya.

Jika kita amati, sangat banyak perubahan yang perlu kita lakukan. Bukan sahaja dari aspek otak dan material, tetapi yang lebih penting ialah pada cara hidup beragama. Apakah kita tidak terdetik langsung di hati untuk menambah pahala? Atau hati kecil tidak bersuara langsung untuk meninggalkan dosa?

Kritikan itu “Rezeki”

Jika ada yang datang kepada kita dan ingin membetulkan kesilapan dan kesalahan kita, maka anggapkan itu adalah “rezeki” daripada Allah untuk “menyelamatkan” kita daripada segala bentuk kesilapan dan kesalahan lalu.

Jika datang seseorang memberitahu kita bahawa ada seekor ular sedang menyelinap di kaki dan ingin mematuk kita, dan di tangan kita kini ada sebatang kayu, apakah kita ingin memukul orang yang memberitahu kita, atau ular yang sedang bersedia mematuk kita?

Ya, kita rupanya selalu sibuk mempertikai dan terus menyalahkan orang yang mengkritik daripada sibuk berusaha menjauhkan diri dari “bahaya” yang sedang menimpa diri sendiri. Lapangkanlah hati dalam menerima kritikan, kerana hati yang lapang itu adalah tanda hati yang hidup dan mendapat cahaya petunjuk daripada Allah s.w.t.

“Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Az-Zumar : 22)

Lakukanlah perubahan. Seorang yang ingin berubah perlu “pekak” dengan perli dan cela, perlu “buta” dengan sikap takabbur dan pongah orang lain, perlu berani menawan malu dan segan. Lakukan perubahan secara beransur-ansur kerana Allah, tetapi istiqamah, dan usah sesekali takut dengan kalimah “berubah”. Justeru mulakan perubahan melalui dua asas yang utama:

  • Niat dan matlamat yang betul
  • Wasilah dan caranya bertepatan dengan kehendak syarak

Islam melihat perubahan itu bukan sahaja dari segi tujuan tetapi juga dari segi wasilah (jalan) bagi menegakkan perintah Allah dan melaksanakan hukum-Nya. Dan insya-Allah, perubahan yang ingin kita lakukan akan istiqamah, kerana perubahan kita bukan kerana makhluk yang selalu leka dan akan musnah, tetapi perubahan kita adalah kerana Allah, yang tidak pernah lalai dan sentiasa kekal hidup.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *